(VIDEO) Tentera Udara Turkiye Terima Kumpulan Pertama 20 Buah “KAAN” Pada 2028
(VIDEO) Penerbangan sulung “KAAN” itu menarik perhatian dunia kerana Turkiye berjaya menghasilkan pesawat pejuang generasi kelima di dalam tempoh yang amat singkat berbanding negara-negara lain seperti Amerika Syarikat menerusi pesawat F-22 Raptor, F-35, Russia dengan Su-57 dan China dengan J-20 “Mighty Dragon.”
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Empat hari lepas, pesawat pejuang generasi kelima buatan Turkiye “KAAN” telah melakukan penerbangan sulungnya dan ia adalah detik yang bersejarah kepada negara Mediterranean itu yang memulakan projek itu kira-kira lapan tahun yang lalu pada 2016.
Penerbangan sulung “KAAN” itu menarik perhatian dunia kerana Turkiye berjaya menghasilkan pesawat pejuang generasi kelima di dalam tempoh yang amat singkat berbanding negara-negara lain seperti Amerika Syarikat menerusi pesawat F-22 Raptor, F-35, Russia dengan Su-57 dan China dengan J-20 “Mighty Dragon.”
Pemerhati pertahanan menyatakan bahawa “KAAN” adalah projek pembangunan pesawat paling berjaya setakat ini.
Di dalam tempoh empat tahun selepas penerbangan sulungnya iaitu pada 2028, pesawat-pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu akan memasuki inventori Tentera Udara Turkiye dan menjadi satu lagi pesawat pejuang aktif di barisan hadapan negara itu.
“Kita merancang untuk membekalkan 20 buah pesawat pejuang generasi kelima ‘KAAN’ kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028,” kata orang penting dibelakang program pembangunan pesawat pejuang “KAAN” itu ketua pegawai eksekutif Turkish Aeropace Industries (TAI) Temel Kotil.
Pesawat pejuang “KAAN” itu akan menggantikan pesawat pejuang F-16 Tentera Udara Turkiye yang akan ditamatkan perkhidmatannya pada 2030-an.
Pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu direka untuk melakukan pelbagai tugas dan misi daripada pertempuran udara-ke-udara dengan sistem persenjataan generasi baru, serangan tepat, penggunaan teknologi Artificial Intelligence dan bantuan jaring neural.
Sementara itu Kotil juga mendedahkan bahawa, walaupun pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu baru sahaja melakukan penerbangan sulungnya beberapa hari lalu, tetapi usaha-usaha telah [un bermula untuk menjadikannya pesawat pejuang generasi ke-enam.
Dipetik sebagai berkata oleh media tempatan Turkiye, beliau berkata “KAAN” boleh bersaing dengan mana-mana pesawat pejuang yang ada di pasaran ketika ini.
TAI adalah kontraktor utama bagi projek pembangunan “KAAN” dan juga bertanggungjawab membangunkan dron “Anka” yang bakal dioperasi oleh Malaysia tahun depan, pesawat pejuang ringan “HURJET”, pesawat latihan asas “HURKUS” dan pelbagai produk aeroangkasa yang lain.
“Ini (projek pembangunan pesawat pejuang KAAN) adalah projek (pembuatan pesawat pejuang generasi kelima) paling berjaya dicapai dalam tempoh paling singkat di peringkat antarabangsa.”
“Tahap teknologi pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, F-16 dan Rafale adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan pesawat pejuang ‘KAAN’. “
“Projek pembangunan ‘KAAN” mencipta sejarah di peringkat antarabangsa kerana tidak ada pihak lain berjaya mencapai kejayaan secepat itu,” kata Kotil dalam temuramah dengan stesen televisyen tempatan TRT Haber baru-baru ini.
Ketika melakukan penerbangan sulungnya itu, pesawat pejuang generasi kelima Turkiye “KAAN” itu menurut beliau, berada di udara selama 13 minit dan mencapai kelajuan 230 knots pada ketinggian 8,000 kaki.
Penerbangan sulung itu dilakukan di utara Ankara.
“Penerbangan sulung adalah amat penting kerana ia melibat apparatus seberat 25 tan meliputi kesemuanya daripada sistem komputer kepada sistem hidrolik dan pelbagai lagi,” katanya.
Buat masa ini, hampir kesemua komponen pada pesawat-pesawat prototaip pejuang “KAAN” itu adalah buatan tempatan kecuali enjinnya dan kerusi injal (ejection seat).
Bagaimanapun pesawat-pesawat pejuang “KAAN” yang akan berkhidmat dengan Tentera Udara Turkiye bermula pada tahun 2028 akan menggunakan enjin buatan tempatan yang dihasilkan oleh syarikat negara itu sendiri, TUSAS Engine Industries (TEI) hasil kerjasama dengan syarikat pembuat enjin daripada Ukraine.
Turkiye mempergiatkan usaha membangunkan pesawat pejuang generasi kelimanya sendiri, selepas ia dikeluarkan daripada program F-35 oleh Amerika Syarikat selepas Ankara berkeras meneruskan hasratnya untuk membeli sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” buatan Russia.
Sebagai rakan pembangunan program pesawat pejuang F-35, Turkiye telah bersetuju untuk memperolehi 100 buah pesawat pejuang F-35 itu, tetapi, penyertaan Ankara dalam program pesawat pejuang generasi kelima buatan syarikat Lockheed Martin itu ditamatkan berikutan keputusannya membeli sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” daripada Russia. — DSA
(READ MORE: Lagi Artikel Tentang Pesawat Pejuang “KAAN”)
Comments are closed.