Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Kami Jadikan F-22 Raptor Sebagai Makan Tengahari” – Juruterbang Typhoon Jerman

Menurut artikel pada majalah Air Combat pada 2012,  imej pesawat air-dominance Amerika Syarikat, F-22 Raptor itu sedikit tercalar apabila ia “ditewaskan” dalam satu latihan udara yang berprestij tinggi dan menarik perhatian ramai dipanggil “Red Flag” yang berlangsung pada tahun itu di Alaska, Amerika Syarikat.

0 11,622

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat telah membelanjakan sejumlah US$64 bilion (RM256 bilion) untuk membangunkan pesawat air-dominance dengan kemampuan halimunan (stealth) dinamakan F-22 “Raptor” miliknya yang telah melakukan penerbangan sulungnya pada 1997.

Pesawat F-22 Raptor itu direkabentuk khusus sebagai pesawat “Air Dominance” untuk menguasai ruang udara dan menumpaskan pesawat pejuang musuh dalam mana-mana pertempuran udara “dogfight”, selain berkemampuan juga untuk melaksanakan misi air-to-ground.

Sehingga Ogos 2022, Tentera Udara Amerika Syarikat memiliki sejumlah 183 buah pesawat F-22 Raptor.

Bagaimanapun menurut artikel pada majalah Air Combat pada 2012,  imej pesawat air-dominance Amerika Syarikat, F-22 Raptor itu sedikit tercalar apabila ia “ditewaskan” dalam satu latihan udara yang berprestij tinggi dan menarik perhatian ramai dipanggil “Red Flag” yang berlangsung pada tahun itu di Alaska, Amerika Syarikat.

Latihan itu berlangsung selama dua minggu dan ia membabitkan beberapa jenis pesawat pejuang daripada beberapa buah negara.

F-22 Raptor
Pesawat F-22 Raptor

 

Pada latihan yang mendapat perhatian ramai itu, Tentera Udara Jerman (Luftwaffe) telah menghantar lapan buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon daripada 74th Tactical Air Force Wing.

Kedua-dua pesawat pejuang air-superiority itu mula diperkenalkan dalam tempoh yang hampir sama, dengan penerbangan sulung pesawat Eurofighter Typhoon berlaku pada tahun 1994 manakala F-22 Raptor pada 1997.

Pesawat Eurofighter Typhoon yang lebih tua selama tiga tahun berbanding pesawat pejuang Raptor bolehlah dianggap sebagai “abang”. 

Kedua-dua pesawat mula beroperasi dengan tentera udara masing-masing pada awal 2000-an.

Seperti dijangkakan, pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tentera Udara Jerman unggul di dalam pertempuran udara “Within Visual Range” (WVR) di mana pesawat-pesawat F-22 Raptor tidak dapat menggunakan kelebihan dimilikinya daripada segi stealth dan radar serta sensornya yang lain.

Jikalau simulasi pertempuran udara itu diadakan dalam sesi “Beyond Visual Range” (BVR), sudah pasti pesawat Eurofigher Typhoon Tentera Udara Jerman itu akan menjadi “lauk” kepada pesawat F-22 Raptor Amerika Syarikat itu.

Typhoon
Pesawat Eurofighter Typhoon Jerman

 

Dalam pertempuran BVR pula, pesawat F-22 Raptor dengan keupayaan sensor-fusion yang berkuasa tinggi sudah pasti dapat mengesan kehadiran Eurofighter Typhoon jauh lebih awal sebelum pesawat Typhoon Tentera Udara Jerman itu mengetahuinya kehadiran musuhnya.

Ia akan memberikan peluang lebih awal kepada F-22 Raptor untuk menembak jatuh pesawat Eurofighter Typhoon itu.

Selain itu, pesawat F-22 Raptor Tentera Udara Amerika Syarikat yang terlibat dalam simulasi pertempuran WVR dalam latihan Red Flag itu dikatakan membawa external fuel tanks yang membataskan kelincahannya dan halimunan.

Selalunya, pesawat pejuang akan menggugurkan tangka minyak luaran itu apabila mengetahui ia perlu terlibat dalam pertempuran udara.

Manakala bagi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, ia bukan sahaja tidak membawa tangki minyak luar sebagaimana pesawat F-22 Raptor, tetapi ia juga tidak dilengkapi dengan sebarang sistem persenjataan, sekaligus meningkatkan lagi tahap kelincahannya ketika beraksi di udara.

Typhoon
Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tentera Udara Jerman ketika Latihan Red Flag 2012.

 

Sesi pertempuran udara WVR di antara pesawat Typhoon dan F-22 Raptor sememangnya dijangka dimenangi oleh pesawat Tentera Udara Jerman daripada awal berikutan tahap kelincahannya.

“Terdapat dua pagi dimana kami (pesawat Typhoon) menentang mereka (F-22)  di dalam situasi satu lawan satu. Kami menanggalkan semua tangki minyak luaran untuk mendapatkan sudut serangan (terbaik): pesawat Typhoon adalah ‘haiwan digeruni’ tanpa sebarang tangki minyak luaran,” kata juruterbang pesawat Typhoon Jerman,Mejar Marc Gruene yang terlibat dalam latihan terbabit.

 

Bercakap kepada majalah Combat Aircraft,  beliau juga berkata, Thrust Vector Control (TVC) milik pesawat F-22 Raptor itu juga didapati telah membataskan kemampuan pesawat itu apabila ia “bertempur” dengan pesawat Typhoon dalam jarak dekat.

“Kuncinya adalah untuk merapati F-22 dan kekal di situ. Mereka (F-22) tidak menjangkakan kita untuk bertindak dengan agresif,” kata beliau.

Sejurus selepas Latihan Red Flag di Alaska itu, juruterbang-juruterbang Typhoon Jerman itu telah di Pameran Udara Farnborough di United Kingdom pada 2012 dimana mereka telah membincangkan tentang kejayaan menewaskan F-22 Raptor dalam simulasi pertempuran udara WVR itu.

Ada di antara juruterbang Typhoon Tentera Udara Jerman itu dilaporkan berkata, “Kami jadikan ‘F-22” sebagai makan tengah hari.” — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...