Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turkiye Tolak “Permintaan” Amerika Mintanya Hantar S-400 Ke Ukraine

“Kami juga ditawarkan supaya menghantar sistem pertahanan udara S-400 (milik Turkiye) kepada Ukraine, tetapi kami tidak boleh melakukannya,” kata Menteri Luar negara itu Mevlut Cavusoglu kepada stesen televisyen Turkiye,Haberturk.

0 1,789

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Luar Turkiye Mavlut Cavusoglu menyatakan bahawa Amerika Syarikat menggesa Ankara supaya menghantar sistem pertahanan udara S-400 yang diperolehinya daripada Russia ke Ukraine.

Bagaimanapun, Ankara telah menolak  “permintaan” daripada Washington itu.

 “Terdapat beberapa cadangan daripada Amerika Syarikat mengenai sistem pertahanan udara S-400 itu. Kami diberitahu (oleh Amerika Syarikat) supaya memberi mereka kawalan. Ini adalah cadangan yang menjejaskan kemerdekaan kami. Dimanakah kemerdekaan kami?.”

Turki
Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu

 

“Kami juga ditawarkan supaya menghantar sistem S-400 itu kepada Ukraine, tetapi kami tidak boleh melakukannya,” kata beliau kepada stesen televisyen Turkiye,Haberturk.

Sementara itu beliau juga bahawa cadangan pihak pembangkang negara itu supaya Turkiye turut serta mengenakan sekatan ekonomi terhadap Russia sebagaimana dilakukan oleh negara-negara Eropah, Cavusoglu berkata, tindakan sekatan ekonomi itu amat berisiko.

“Kenyataan ini (oleh ahli pembangkang) adalah amat berisiko kepada ekonomi Turkiye dan sektor tenaga. Kita harus memahaminya,” kata Menteri Luar itu.

Ahli-ahli politik pembangkang Turkiye ketika berkempen mahu Ankara turut sama mengenakan sekatan ekonomi terhadap Russia.

Turkiye akan mengadakan pilihanraya presiden dan parlimen pada 14 Mei ini.

S-400
S-400

 

Diperolehi pada 2019, sistem pertahanan S-400 yang diperolehi Turki itu merupakan punca kepada ketegangan hubungan di antara Ankara dan Washington.

Ankara menandatangani perjanjian dengan Moscow pada 2017 untuk memperolehi sistem S-400 yang dianggarkan bernilai US$2.5 bilion (RM10 bilion).

Rejimen pertama sistem S-400 itu telah dihantar ke Turkiye pada 2019.

Turkiye membuat keputusan untuk mendapatkan sistem pertahanan udara S-400 selepas rundingannya untuk mendapatkan sistem pertahanan udara Patriot daripada Amerika Syarikat gagal.

Amerika Syarikat tidak memberikan alasan mengapa ia enggan menjual sistem pertahanan udara Patriot kepada Turkiye.

Patriot
Sistem pertahanan udara “Patriot”

 

Kegagalan memperolehi sistem pertahanan udara Patriot itu membuatkan Turki bertekad untuk mendapatkan S-400 daripada Russia yang menawarkan pakej menarik kepada Ankara termasuk pemindahan teknologi dan membuat sistem peluru berpandu itu di Turki sendiri.

Turki menjalankan ujian penembakan peluru berpandu S-400 di Sinop akhir tahun lepas.

Disebabkan “kedegilan” Turkiye untuk memperolehi sistem pertahanan udara S-400 itu, Ankara menerima kesannya apabila ia dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi ke-lima F-35.

Turkiye juga tidak dibenarkan meneruskan pembelian 100 buah pesawat F-35 walaupun ia telah membayar wang pendahuluan sebanyak US$1.4 bilion.

Malah, enam buah pesawat F-35 milik Turkiye telah pun siap dibina di Amerika Syarikat, tetapi kini tersadai di hangar di negara itu, disebabkan keputusan Washington mengenakan sekatan ketenteraan terhadap Ankara. — DSA

APPPS

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...