(VIDEO) Pakistan Tonjol Kemampuan UCAV “Shahpar-II” Bedil Sasaran Dari 14 Ribu Kaki
(VIDEO) Dalam demonstrasi itu di salah sebuah pangkalan tentera, UCAV “Shahpar II” yang dikategorikan sebagai dron Medium Altitude Long Endurance (MALE) telah membedil sasaran daripada ketinggian 14,000 kaki menggunakan peluru berpandu udara-ke-darat panduan leser dibangunkannya sendiri “Burq”.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat pertahanan Pakistan,Global Industrial & Defence Solutions (GIDS) telah mempertonton kemampuan yang dimiliki oleh varian terkini, Unmanned Combat Aerial Vehicle (UCAV) keluarannya “Shahpar II” membedil sasaran kepada delegasi pegawai-pegawai tinggi tentera daripada 11 buah negara sahabat.
Dalam demonstrasi itu di salah sebuah pangkalan tentera, UCAV “Shahpar II” yang dikategorikan sebagai dron Medium Altitude Long Endurance (MALE) telah membedil sasaran daripada ketinggian 14,000 kaki menggunakan peluru berpandu udara-ke-darat panduan leser dibangunkannya sendiri “Burq”.
Ia adalah UCAV keluaran Pakistan yang telah dinaiktaraf daripada UCAV “Shahpar-I” sebelum ini yang turut dihasilkan oleh GIDS.
UCAV keluaran syarikat GIDS Pakistan milik kerajaan Pakistan itu berkeupayaan terbang selama 20 jam bagi misi-misi pemantauan manakala selama 14 jam jika untuk misi-misi serangan.
Pegawai-pegawai tinggi syarikat pertahanan Pakistan itu mendakwa UCAV “Shahpar II” keluarannya itu adalah lebih berkeupayaan dan lebih kos kompetitif berbanding pesaingnya di pasaran termasuk Bayraktar TB2 keluaran syarikat Baykar Technology daripada Turkiye dan CH-4 yang dibangunkan oleh China.
Ia juga mendedahkan bahawa UCAV Shahpar II itu akan melakukan ujian-ujian penembakan senjata yang lain pada April ini melibatkan peluru berpandu udara-ke-darat panduan laser “Burq II” yang dilengkapi dengan kepala peledak seberat 20kg.
Kepala peledak yang lebih berat itu membolehkan UCAV “Shahpar II” membedil sasaran-sasaran yang lebih besar.
Selain itu, UCAV Shahpar II keluaran GIDS itu juga akan melakukan ujian pelancaran bom-bom pintar (precision guided munitions) pada April ini.
Antara negara-negara sahabat yang dijemput untuk menyaksikan demonstrasi penembakan dilakukan oleh UCAV “Shahpar II” adalah daripada Arab Saudi, Azerbaijan, Kenya, Nigeria dan Kenya.
UCAV “Shahpar II” keluaran GIDS itu turut dilengkapi dengan sistem komunikasi satelit SATCOM bagi membolehkan ia berkomunikasi dengan stesen kawalan darat pada jarak yang lebih jauh, selain melaksanakan misi-misi pemantauan dan serangan pada jarak yang maksimum.
Ia juga dilengkapi dengan peralatan Elektro-Optik ZUMR-2 HD EO Sensor.
UCAV keluaran syarikat Pakistan itu boleh terbang setinggi di antara 21,000 hingga 23,000 kaki dan kelajuan 220 km sejam.
Disetiap sayap UCAV “Shahpar-II” itu, ia berkemampuan membawa berat muatan pelbagai peluru berpandu dan bom dengan berat mencecah 60kg.
Selain dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu keluaran GIDS sendiri, UCAV “Shahpar-II” itu juga boleh dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu keluaran syarikat lain termasuk daripada Turkiye seperti MAM-C dan MAM-L. — DSA