Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Syarikat Tempatan Perhati Penuh Minat Projek Pembinaan Kapal LMS Batch II TLDM

Kita mengetahui bahawa beberapa buah syarikat tempatan termasuk Boustead sedang memerhati dengan penuh minat tender yang bakal diiklankan oleh Kementerian Pertahanan untuk memperolehi lapan buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch II bagi menambah empat buah kapal LMS sedia ada.

0 8,714

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah pun menyatakan bahawa projek pemnbinaan kumpulan kedua lapan buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) akan bermula sama ada tahun ini atau tahun depan.

Batch Kedua kapal-kapal LMS itu akan menambah empat buah kapal LMS Batch 1 yang telah pun selamat diterima oleh TLDM.

Empat buah kapal LMS daripada Batch 1 yang dibina di China iaitu KD Keris, KD Sundang, KD Badik dan KD Rencong telah pun ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata pihak sedang berusaha memastikan projek pembinaan lapan buah kapal LMS Batch II itu berjaya dilaksanakan.

“Kita jangkakan kapal-kapal LMS batch kedua akan dapat direalisasikan pada tahun ini atau tahun depan, kita sedang usahakan ke arah itu,” kata beliau kepada pemberita pada majlis pentauliahan kapal LMS keempatnya iaitu KD Rencong di Pangkalan TLDM, Sepanggar, Sabah baru-baru ini.

LMS
Kapal LMS TLDM yang keempat dan terakhir, “Rencong” selamat tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. (TLDM)

 

Setakat ini katanya, pihak TLDM masih belum memutuskan pihak mana yang akan membuatnya atau rekabentuk pilihan pihak terhadap kapal-kapal LMS Batch II itu.

Bagaimanapun kita mengetahui bahawa beberapa buah syarikat tempatan termasuk Boustead sedang memerhati dengan penuh minat tender yang bakal diiklankan oleh Kementerian Pertahanan untuk memperolehi lapan buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch II bagi menambah empat buah kapal LMS sedia ada.

Antara syarikat yang dikatakan berminat untuk membekalkan kapal LMS Batch II adalah Boustead Heavy Industries Corp (BHIC), dimana anak syarikatnya,  Boustead Naval Shipyard yang turut terlibat dalam pembinaan empat buah kapal LMS Batch I bersama rakan syarikat Chinanya, China Shipbuilding and Offshore Corporation (CSOC).

Kenyataan tentang minat Boustead untuk terlibat dalam pembinaan lapan buah kapal LMS Batch II telah disuarakan oleh syarikat milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu dalam satu kenyataan pada September tahun lepas.

“Dengan kemudahan dan kakitangan yang berpengalaman, kami mempunyai rekod di dalam pembinaan kapal-kapal tentera laut. BHIC berharap memperolehi kontrak untuk (membina) kapal-kapal LMS yang seterusnya,” katanya.

LMS
KD Sundang

 

Kenyataan dikeluarkan oleh ketua pegawai eksekutif Boustead Heavy Industries Corporation  Sharifuddin Md Zaini Al-Manaf tidak lama selepas TLDM menerima kapal LMS yang ketiga, KD Badik pada September tahun lepas.

Semasa pameran DSA 2018, BHIC telah mendedahkan reka bentuk konsep kapal LMS Batch 2 yang ternyata lebih panjang dan besar berbanding empat buah kapal LMS Batch 1 yang dibina di limbungan kapal di China ketika ini.

Rekabentuk konsep yang dipamerkan pada DSA 2018 itu menunjukkan kapal LMS Batch 2 Boustead  mampu menampung sebuah helikopter bersaiz Super Lynx serta meriam Bofors 40mm serta mesingan.

Bagaimanapun, imej BHIC dan BNS mungkin sedikit sebanyak terjejas akibat kelewatan dalam menyiapkan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) bernilai RM9 bilion. Adakah BHIC dan BNS akan menerima kesan daripada kontroversi pembinaan kapal-kapal LCS itu?

Sebuah lagi syarikat tempatan, Destini Berhad juga dilaporkan berminat untuk menyertai persaingan membekalkan lapan buah kapal LMS Batch II dengan bekerjasama dengan syarikat Damen.

APMM
OPV Damen 1800

 

Rekabentuk kapal sebagaimana cadangan yang dikemukan oleh Destini dan Damen adalah  sepanjang 83 meter hampir menyamai kapal OPV (Offshore Patrol Vessel) yang sedang dibina oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Sementara itu, syarikat tempatan TH Heavy Engineering Bhd (THHE) sebagaimana dilaporkan oleh media baru-baru ini, dikatakan telah menjalin kerjasama dengan syarikat pembuat kapal China, LIREN Marine Technology Co Ltd dan menyertai persaingan untuk membekalkan lapan buah kapal LMS Batch II.

LMS
Kapal Littoral Mission Vessel (LMV) kelas-Independence Tentera Laut Singapura.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Menurut laporan akhbar kewangan, The Edge baru-baru ini, THHE telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan APO Integrated Services Sdn Bhd, yang merupakan wakil eksklusif LIREN bagi tujuan kerjasama itu pada Selasa.

LIREN dikatakan merupakan pemilik perkapalan di Foshan, Guandong di selatan China.

“MoU itu membolehkan syarikat (THHE) dan APO untuk meneroka dan bersetuju dengan terma usahasama itu untuk sama-sama membida projek berkenaan,” menurut THHE sebagaimana dipetik dalam laporan oleh akhbar kewangan itu. — DSA

 

Comments
Loading...