Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Korea Selatan Bekal 200 Buah “K-9 Thunder” Bernilai RM6.8 Bilion Pada Mesir

Perjanjian untuk membekalkan sistem artilleri  bergerak “K-9” kepada Mesir itu berlaku lebih daripada seminggu selepas Korea Selatan menandatangani perjanjian bernilai US$3.5 bilion (RM14 bilion) untuk membekalkan sistem pertahanan udara jarak sederhana “Cheongung II KM-SAM” kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

0 5,330

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Korea Selatan sememangnya sedang menuju untuk menjadi antara pemain utama industri persenjataan dunia, menyaingi Amerika Syarikat, Russia, Perancis, Britain dan lain-lain.

Terbaru, syarikat pertahanan negara itu, Hanwha Defense menandatangani perjanjian bernilai US$1.7 bilion (RM6.8 bilion) dengan Mesir untuk membekalkan sejumlah 200 buah sistem artilleri bergerak (tracked self-propelled howitzer) “K-9 Thunder” kepada negara Arab itu.

Perkara itu diumumkan oleh agensi Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA), yang turut menyatakan bahawa perjanjian antara kedua-dua negara itu turut meliputi perolehan kenderaan bekalan peluru dikenali “K10.”

Perjanjian untuk membekalkan sistem artilleri  bergerak “K-9” kepada Mesir itu berlaku lebih daripada seminggu selepas Korea Selatan menandatangani perjanjian bernilai US$3.5 bilion (RM14 bilion) untuk membekalkan sistem pertahanan udara jarak sederhana “Cheongung II KM-SAM” kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ia merupakan eksport senjata terbesar pernah dimeterai oleh Korea Selatan, membuktikan bahawa negara Asia Timur itu kini merupakan pemain utama industri persenjataan dunia ketika ini.

K-9 Thunder

Korea Selatan mula mengoperasikan sistem pertahanan udara KM-SAM itu pada tahun 2016.

Menurut DAPA, sebahagian besar daripada sistem artilleri bergerak itu akan dibina di kemudahan pembinaan peralatan pertahanan Mesir dikenali sebagai Factory 200, yang terletak di luar ibu kota negara itu, Kaherah.

Mesir merupakan negara ke-sembilan yang memperolehi sistem artilleri “K-9 Thunder” sejak ia diperkenalkan.

Pada ketika ini, tentera Mesir menggunakan sistem meriam bergerak M109 buatan Amerika Syarikat.

K-9 Thunder

Sistem “K-9” itu dipercayai mengalahkan beberapa pesaing termasuk Nexter Caesar, Koalitsiya-SV daripada Russia dan PLZ-45 daripada China yang turut berminat untuk membekalkan sistem artilleri bergerak kepada tentera Mesir.

“Ini merupakan perjanjian perolehan K-9 terbesar sejak kejayaan mengeksport sistem artilleri bergerak itu kepada negara-negara di Asia Pasifik dan Eropah, “ menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DAPA semalam.

Antara negara-negara yang telah memperolehi sistem “K-9” itu termasuk Korea Selatan, Turki, Poland, India, Finland, Norway, Estonia dan Australia.

K-9 Thunder

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Hanwha Defense merupakan anak syarikat Hanwha Group yang terlibat dalam pembangunan sistem pertahanan.

Memiliki berat 47 tan, meriam “K-9” itu boleh membedil sasaran sejauh 40km sebanyak enam hingga lapan kali di dalam tempoh satu minit.

Jika menggunakan peluru ER( Extended Range),  sistem artilleri “K-9” itu boleh membedil sasaran sejauh 50km hingga 60km. — DSA

 

 

Comments
Loading...