Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TLDM Terima Kapal LMS Ke-4 Daripada China, KD Rencong

KD Rencong merupakan kapal LMS Keempat TLDM yang akan menyertai Skuadron LMS Ke-11 yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. Ia mula dibina pada 18 September 2019 dan dilancarkan ke permukaan air pada 16 Disember tahun lepas oleh Pasukan Projek LMS TLDM di Wuhan.

0 9,451

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima aset baharu iaitu kapal misi pesisir (LMS) keempat yang diberi nama KD Rencong, hari ini.

Dalam satu kenyataan, TLDM memaklumkan, penyerahan kapal tersebut dibuat di Limbungan Wuchuan, Pelabuhan Wucang, Qidong, Nantong City, China.

“Upacara Penyerahan Fizikal dan Penamaan LMS Keempat diadakan serentak dan disempurnakan oleh Sutinah Mohamad, isteri kepada Ketua Projek Pasukan Projek LMS manakala Laksamana Pertama Zahid Abd Aziz, Penasihat Pertahanan di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Republik Rakyat China mewakili kerajaan Malaysia bagi menandatangani Sijil Penyerahan Fizikal Rencong,” katanya.

Tambahnya, LMS tersebut dinamakan Rencong bersempena nama salah sebuah kapal ronda Kelas KRIS yang telah dilucut tauliah pada 2005.

Jelasnya, penggunaan nama Rencong itu merupakan senjata tradisional Melayu yang turut melambangkan simbol semangat kepahlawanan, perjuangan, keberanian dan kekuatan dalam menentang dan menangkis serangan musuh.

Rencong
Kredit TLDM

 

KD Rencong, katanya, merupakan kapal LMS Keempat TLDM yang akan menyertai Skuadron LMS Ke-11 yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

KD Rencong mula dibina pada 18 September 2019 dan dilancarkan ke permukaan air pada 16 Disember tahun lepas oleh Pasukan Projek LMS TLDM di Wuhan.

Jawatankuasa Penerimaan Akhir (JKPA) KD Rencong dianggotai seramai tiga orang wakil kerajaan yang diketuai oleh Laksamana Pertama Zahid Abd Aziz yang telah melaksanakan pemeriksaan dokumentasi, pemeriksaan fizikal dan turut mengikuti pelayaran demonstrasi keupayaan kapal.

Pada Oktober lepas, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga telah mentauliahkan kapal LMS yang ketiga, KD Badik di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Upacara pentauliahan KD Badik itu dilakukan oleh Panglima TLDM sendiri Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

KD Badik bernaung di bawah Markas Pemerintahan Armada Timur dan diletakkan di bawah Skuadron LMS ke-11 TLDM di pangkalan tersebut bersama dua lagi kapal LMS negara iaitu KD Keris dan KD Sundang.

Kapal LMS TLDM yang ketiga itu mula dibina pada 18 Sept 2019 di China dan diserah kepada Kerajaan Malaysia pada 14 Sept 2021.

Rencong
Kredit TLDM

 

Kehadiran KD Badik akan meningkatkan kemampuan armada TLDM dalam memelihara kedaulatan maritim negara, terutamanya apabila berhadapan dengan pencerobohan oleh kapal-kapal milik China di kawasan perairan milik negara di Laut China Selatan.

Malaysia memperolehi empat buah kapal LMS yang dibina secara bersama antara Boustead Naval Shipyard (BNS) dan China Shipbuilding and Offshore Corporation (CSOC) di Wuchang Shipyard di Qidong, China.

“Kapal LMS ini dilihat lebih sesuai beroperasi di perairan ini (perairan Markas Pemerintahan Armada Timur) dan kapal LMS ini memenuhi tugasan diperlukan TLDM, selain tiga ini kita ada satu lagi kapal LMS dijadual terima Disember ini.

“LMS keempat ini telah siap, kita sedang lakukan latihan dan selepas habis latihan kita bawa balik, kapal itu kita akan namakan Rencong, nama kapal ini juga kapal yang telah dilucut tauliah seperti Badik, Rencong kita guna semula bagi mengingati jasa kapal itu,” kata Panglima TLDM Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Kapal LMS
” KD Badik” (gambar kredit TLDM).

 

Panglima TLDM juga ditanya tentang  keperluan strategik meletak skuadron kapal LMS itu di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan bukan di Pangkalan TLDM Lumut, Perak

Mohd Reza berkata ia adalah sebahagian daripada persediaan TLDM untuk berhadapan dengan ancaman mendatang.

 “Ancaman itu kita kena bersedia, sepanjang masa kena bersedia, mana ada negara yang tidak bersedia menghadapi ancaman, saya tidak bolehlah nyatakan apa ancaman itu tetapi ancaman itu boleh datang bila-bila masa, sama ada ancaman kita tahu atau tidak tahu,” katanya.

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...