Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TLDM Jangka Mula Bina Lapan Kapal LMS Batch-II Tahun ini Atau Tahun Depan

Perolehan Lapan Buah Kapal LMS Batch Kedua akan menambah keseluruhan kapal LMS milik TLDM kepada 12 buah termasuk empat buah yang diperolehinya daripada China.

0 7,421

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjangkakan akan memulakan projek pembinaan kumpulan kedua lapan buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) pada tahun ini atau pada tahun depan.

Panglimanya Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata TLDM sedang berusaha untuk memastikan projek pembinaan kapal-kapal LMS batch ke-2 berjaya dilaksanakan.

“Kita jangkakan kapal-kapal LMS batch kedua akan dapat direalisasikan pada tahun ini atau tahun depan, kita sedang usahakan ke arah itu,” kata beliau kepada pemberita pada majlis pentauliahan kapal LMS keempatnya iaitu KD Rencong di Pangkalan TLDM, Sepanggar hari ini.

Setakat ini katanya, pihak TLDM masih belum memutuskan pihak mana yang akan membuatnya atau rekabentuknya.

Ia menimbulkan persoalan sama ada kapal-kapal LMS batch kedua yang bakal diperolehi oleh TLDM akan dibuatkan di limbungan-limbungan dalam negara negara atau limbungan kapal luar negara, sebagaimana empat buah kapal LMS Batch Pertama yang dibina di China.

LMS
Kapal LMS keempat dan terakhir TLDM, KD Rencong. (gambar TLDM)

 

Terdapat laporan mengatakan bahawa TLDM akan memperolehi tiga buah kapal LMS Batch Kedua terlebih dahulu dalam fasa pertama manakala kapal-kapal selebihnya bakal diperolehi pada fasa kedua.

Perolehan lapan buah kapal LMS Batch Kedua pada Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) sudah semestianya akan meningkatkan kemampuan TLDM terutamanya dalam memelihara kedaulatan kawasan perairan negara terutama di Laut China Selatan yang sedang berhadapan dengan pencerobohan kapal-kapal pengawal pantai China.

Perolehan lapan buah kapal LMS Batch Kedua oleh TLDM itu turut diperkatakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz di Parlimen pada akhir tahun lepas.

LMS
TLDM

 

“Untuk memastikan kedaulatan sempadan maritim negara sentiasa terpelihara, TLDM akan memperolehi lapan buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) dan 13 buah Fast Interceptor Craft (FIC) di dalam RMK-12,” kata Ikmal.

Panglima TLDM hari ini mentauliahkan kapal LMS miliknya yang keempat iaitu KD Rencong di Pangkalan TLDM, Sepanggar.

Mohd Reza turut memakaikan insignia pemerintahan kepada Pegawai Memerintah Pertama KD Rencong kepada Komander Khairuddin Ahmad@Hassan.

LMS
TLDM

 

Mohd Reza berkata KD Rencong adalah sebuah daripada empat buah LMS yang telah diperoleh menerusi program transformasi TLDM 15 to 5.

“Dengan kehadiran LMS KD Rencong yang berpangkalan di Kota Kinabalu, saya yakin ia akan meninggkatkan lagi keupayaan Armada Timur bersama kapal LMS yang lain iaitu KD Keris, KD Sundang dan KD Badik,”kata beliau.

KD Rencong mula dibina pada 19 Sept 2019 di Wuhan, China sebelum belayar ke Malaysia sejauh 1,811 batu nautika pada 21 Dis tahun lepas dan tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 28 Dis.

LMS
TLDM

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Empat buah kapal LMS Batch 1 kelas-Keris yang dibina di China hasil kerjasama di antara firma  Boustead Naval Shipyard (BNS) dan China Shipbuilding and Offshore Corporation (CSOC) di Wuchang Shipyard di Qidong, China.

Kapal LMS pertama hasil kerjasama BNS dan CSOC, KD Keris  dan LMS kedua, KD Sundang telah pun memasuki perkhidmatan TLDM pada 31 Disember 2019 dan 14 Januari 2021 manakala LM3 ketiga, Badik telah pun diterima pada November tahun lepas. — DSA

 

 

 

Comments
Loading...