Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Penemuan Gas Di Perairan Sarawak Hari Ini Bakal Undang Pencerobohan Kapal China?

Namun apa yang lebih membimbangkan adalah sama ada penemuan telaga gas di kawasan perairan Sarawak itu hari ini akan hanya mengundang pencerobohan kapal-kapal pengawal pantai China, sebagaimana kerap dilakukan oleh mereka terhadap kawasan perairan Malaysia sejak kebelakangan ini.

0 5,213

(DEFENCE SECURITY ASIA) –  Syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS hari ini mengumumkan penemuan gas di telaga Nangka-1 di blok SK417, di perairan cetek Wilayah Baram, kira-kira 180 kilometer (km) di luar pesisir pantai Sarawak.

Namun apa yang lebih membimbangkan adalah sama ada penemuan telaga gas di kawasan perairan Sarawak itu hari ini akan hanya mengundang pencerobohan kapal-kapal pengawal pantai China, sebagaimana kerap dilakukan oleh mereka terhadap kawasan perairan Malaysia sejak kebelakangan ini.

Semua pihak tahu bahawa Beijing menggunakan kapal-kapal pengawal pantainya untuk menganggu aktiviti cari gali minyak dan gas oleh PETRONAS dan rakan-rakan asingnya di kawasan perairan negara di Sabah dan Sarawak.

Pada November lepas, Menteri Luar Saifuddin Abdullah menjangkakan lebih banyak pencerobohan kapal–kapal China terhadap perairan negara selagi PETRONAS membangunkan lapangan gas-nya di perairan Sarawak terutamanya membabitkan projek Lapangan Pembangunan Gas Kasawari.

“Saya merasakan selagi PETRONAS membangunkan Lapangan Gas Asli Kasawari, kita (kerajaan) boleh menjangkakan (lebih banyak kapal-kapal) China akan melawat kawasan perairan (milik Malaysia)  itu dengan lebih kerap.”

Petronas

“Kita sentiasa melakukan bantahan (terhadap China). Saya sudah tidak lagi mengira bilangan nota bantahan yang telah kita hantar kepada China. Kita akan terus memberikan respons secara diplomatik kepada mereka (China),” kata Menteri Luar Malaysia itu dalam satu webinar anjuran Foreign Policy Community di Jakarta baru-baru ini dan dipetik oleh versi online South China Morning Post.

Saifuddin juga berkata, beliau telah memberitahu Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz bahawa syarikat minyak dan gas negara itu mempunyai HAK SEPENUHNYA untuk mencarigali minyak dan gas di Lapangan Gas Asli Kasawari kerana kawasan projek itu terletak di dalam perairan negara dan Malaysia adalah sebuah negara berdaulat.

Menurut badan-badan antarabangsa seperti Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI), China sebenarnya mahu “berkongsi-sama” khazanah minyak dan gas yang dimiliki oleh negara-negara seperti Malaysia.

Mengenai penemuan gas hari ini, ia ditemui di Takungan Klastik Miocene Kitaran 6 tengah hingga akhir, sekali gus membuktikan potensi kewujudan hidrokarbon di kawasan sekitar.

Sebelum ini carigali di Nangka-1 berjaya mencapai kedalaman 3,758 meter pada September lepas.

Blok SK417 dioperasikan PTTEP HK Offshore Limited dengan 80 peratus pegangan manakala Petronas Carigali Sdn Bhd memegang 20 peratus kepentingan.

Blok itu dianugerahkan pada Mac 2018.

PETRONAS

Menurut Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Mohamed Firouz Asnan, kejayaan penemuan gas itu menjadikan ia yang kedua di Wilayah Baram untuk tahun ini.

“Penemuan gas kedua ini mencergaskan lagi Wilayah Baram, yang merupakan sebahagian daripada wilayah Delta Baram yang ditubuhkan, menandakan potensi untuk lebih banyak penemuan di kawasan berhampiran.

“Ketersediaan kemudahan sedia ada di rantau ini akan membolehkan Kontraktor Pengaturan Petroleum (PAC) mengewangkan penemuan mereka dengan lebih cepat dan lebih murah melalui penyelesaian ikatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Februari lalu, Petronas mengumumkan penemuan gas di Dokong -1, di blok sama.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...