Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Selamat Tinggal Aermacchi MB-339CM, Apakah Ada Pengganti?

Ketujuh-tujuh buah pesawat latihan lanjutan Aermacchi MB-339CM itu akan digantikan dengan pesawat Forward Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) yang akan diperolehi oleh TUDM tidak lama lagi.

0 10,894

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun hanya baru 12 tahun menabur bakti kepada negara ini, namun tujuh buah pesawat latihan lanjutan (advanced trainer) Aermacchi MB-339CM yang dibangunkan oleh Alenia Aermacchi SpA daripada Itali telah mencapai penghujung jangka hayat perkhidmatannya dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Jangka hayat 12 tahun untuk mana-mana pesawat sama ada pejuang atau latihan adalah suatu tempoh yang amat singkat, namun “perpisahan” mungkin terpaksa dilakukan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan lagi.

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, ketujuh-tujuh pesawat Aermacchi MB-339CM milik TUDM bakal digantikan dengan pesawat yang mempunyai keupayaan dwifungsi iaitu sebagai pesawat latihan lanjutan atau “Fighter Lead-In Trainer” dan pesawat tempur ringan “Light Combat Aircraft” (FLIT/LCA).

Beliau berkata pesawat Aermacchi MB-339CM itu memasuki perkhidmatan TUDM pada 2009 tetapi kini digantung operasinya sejak 2018 berikutan kemalangan dialami pesawat latihan itu di Kuantan, Pahang dan beberapa masalah teknikal berkaitan enjin pesawat itu.

“Berdasarkan tempoh hayat ekonomi pesawat pejuang dan Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM, pesawat ini (Aermacchi MB-339) dirancang ditamatkan pengoperasian pada 2028.

Aermacchi MB-339CM

“Perolehan pesawat baharu yang berupaya melaksanakan dwifungsi bukan sahaja mampu memberi pulangan penjimatan kepada kewangan kerajaan, malah turut meningkatkan keupayaan pertahanan negara,” katanya di dalam Dewan Rakyat tahun lepas.

Sebagaimana yang kita telah ketahui bahawa Kementerian Pertahanan telah pun mengeluarkan iklan tender untuk memperolehi 18 buah pesawat FLIT/LCA untuk kegunaan TUDM pada Rancangan Malaysia ke-12 dan lagi 18 buah kemungkinan pada RMK-13, menjadikan keseluruhan perolehan sebanyak 36 buah.

Terdapat juga laporan mengatakan bahawa syarikat Leonardo yang juga pemilik kepada syarikat Alenia Aermacchi bersedia mengambil balik kesemua pesawat MB-339CM milik Malaysia itu sekiranya negara bersetuju untuk membeli pesawat M-346 Fighter Attack keluarannya sebagai pesawat FLIT/LCA.

Leonardo
Pesawat M-346 Fighter Attack yang dibangunkan oleh Leonardo

 

Bagaimanapun tiada pengesahan rasmi mengenai cadangan oleh Leonardo itu.

Pesawat FLIT/LCA M-346FA keluaran syarikat Leonardo merupakan salah sebuah pesawat yang dikatakan menyertai persaingan tender bagi 18 buah pesawat FLIT/LCA Kementerian Pertahanan.

Sumber mengatakan pesawat M-346FA adalah antara pesawat pilihan untuk memenangi tender Kementerian Pertahanan itu.

Aermacchi
Sebuah pesawat Aermacchi MB-339CM yang berpengkalan di Pangkalan TUDM di Kuantan terhempas di Nenasi, Pekan pada 2016 ketika melakukan penerbangan latihan.

 

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dilaporkan berkata bahawa lapan buah syarikat telah menyatakan minat untuk menyertai tender oleh Kementerian Pertahanan itu.

Antara syarikat-syarikat yang menunjukkan minat terhadap tender Kementerian Pertahanan yang dianggar bernilai berbilion ringgit itu adalah Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Corporation (CAC) daripada untuk pesawat JF-17 “Thunder”, Hongdu Aviation Industry Group (HAIG) untuk pesawat Hongdu L-15B dan Leonardo untuk pesawat Aermacchi M-346.

Syarikat-syarikat lain termasuk Irkut Corporation untuk pesawat Yak-130 dan Boeing untuk pesawat T-7 Red Hawk, Korea Aerospace Industries (KAI) pesawat FA-50 serta Hindustan Aeronautics Limited (HAL) yang menawarkan pesawat Tejas.

Terdapat juga laporan mengatakan syarikat pembuat pesawat daripada Republik Czech iaitu Aero Vodochody Aerospace menawarkan pesawat L-39 Albatros untuk tender TUDM.

Ikmal Hisham berkata, hala tuju pesawat pesawat Aermacchi MB-339CM itu juga akan ditentukan selepas Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) melaksanakan audit ke atas pihak pengeluar peralatan tulen (OEM).

aermacchi

“Audit ini dijadual tahun lalu, tetapi ditangguhkan atas faktor pandemik,” katanya.

Ikmal Hisham berkata tujuh pesawat berkenaan sudah melengkapkan sebanyak 5,961 jam penerbangan setakat ini.

FLIT/LCA
Pesawat Leonardo M-346

Pesawat MB-339CM terbabit dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan moden termasuk Head Up Display (HUD) dan Multi Function Display (MFD) di kokpit depan dan belakang bagi membolehkan latihan sebenar kepada bakal-bakal juruterbang pesawat pejuang.

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Pada 17 Mei 2016, sebuah pesawat Aermacchi MB-339CM yang berpengkalan di Pangkalan TUDM di Kuantan terhempas di Nenasi, Pekan ketika melakukan penerbangan latihan.

Bagaimanapun kedua-dua juruterbangnya terselamat selepas berjaya menggunakan kerusi anjal.

Menurut Panglima TUDM pada ketika itu,  Jeneral Tan Sri Roslan Saad, punca awal nahas dipercayai lebih menjurus kepada masalah teknikal.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...