Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Aset Malaysia Di 169 Buah Negara Berisiko Dirampas – Peguam Sulu

Ketua peguam bersama bagi waris Kesultanan Sulu, Paul Cohen berkata, arahan penggantungan penguatkuasaan Final Award sebanyak RM62.59 bilion itu hanya terpakai di Perancis dan bukannya di negara lain yang menandatangani Konvensyen Timbang Tara New York.

0 5,949

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Peguam kepada waris Kesultanan Sulu memberitahu bahawa aset-aset milik Malaysia di 169 buah negara masih berisiko untuk dirampas walaupun Mahkamah Rayuan Paris baru-baru ini membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung (stay order) penguatkuasaan Final Award bagi tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris dan successors-in-interest kepada Kesultanan Sulu.

Bercakap kepada agensi berita antarabangsa Reuters, ketua peguam bersama bagi waris itu, Paul Cohen berkata arahan penggantungan penguatkuasaan Final Award sebanyak RM62.59 bilion itu hanya terpakai di Perancis dan bukannya di negara lain yang menandatangani Konvensyen Timbang Tara New York.

Peguam itu mendakwa, penganugerahan yang dikeluarkan pada Februari lepas di Perancis itu adalah sah di semua negara yang menandatangani konvensyen terbabit.

Petronas

Pada Februari lepas, laporan media luar negara melaporkan bahawa mahkamah timbang-tara di Perancis telah memerintahkan supaya kerajaan Malaysia membayar sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Kesultanan Sulu.

Ia adalah akibat pelanggaran perjanjian 1878 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al Alam, Baron de Overbeck dan Alfred Dent milik syarikat British Utara Borneo

Kerajaan Malaysia dilaporkan telah berhenti membayar wang pemisahan tahunan RM5,300 kepada waris sultan Sulu sejak 2013 berikutan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu.

Kenyataan oleh ketua peguam kepada waris Kesultanan Sulu itu menyusul keputusan Mahkamah Rayuan Paris beberapa hari lepas membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung (stay order) penguatkuasaan Final Award itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata asas keputusan Mahkamah Rayuan Paris ialah Final Award bertarikh 28 Feb 2022 yang dikeluarkan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa melalui prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol itu tidak akan menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

Sulu

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

“Perintah Penggantungan itu adalah hasil daripada pelbagai tindakan perundangan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia bermula dari tuntutan tersebut difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan serta kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

“Oleh itu, kesan daripada Perintah Penggantungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai 2022 tersebut, Final Award tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris berkenaan dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan kejayaan memperoleh Perintah Penggantungan itu, Kerajaan Malaysia sedang membuat persiapan rapi untuk pendengaran bagi pembatalan Final Award dan tarikhnya belum ditetapkan.

Akhbar Financial Times melaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh waris Kesultanan Sulu yang menuntut US$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

Peguam waris Kesultanan Sulu dilaporkan merampas aset terbabit yang didaftarkan di Luxembourg iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih US$2 bilion (RM8.8 bilion).

Dalam satu kenyataan, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menyatakan bahawa kedua-dua anak syarikatnya,  Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan segala aset mereka di Republik Azerbaijan.

Ia berkata, segala hasil daripada perlupusan telah pun dikembalikan dengan sewajarnya.

“Petronas ingin menjelaskan bahawa kedua-dua anak syarikat ini, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan kesemua aset di Republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan ini telah pun dipulangkan (“repatriated”) dengan sewajarnya, “ kata syarikat minyak dan gas negara itu. — DSA

Comments
Loading...