Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Petronas Telah Lupus Aset Di Azerbaijan, Hasil Telah Dikembalikan

Syarikat minyak dan gas negara itu menganggap tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukan Petronas dari segi undang-undang dalam hal ini.

0 18,330

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam satu kenyataan lewat malam ini, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menyatakan bahawa kedua-dua anak syarikatnya,  Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan segala aset mereka di Republik Azerbaijan.

Ia berkata, segala hasil daripada perlupusan telah pun dikembalikan dengan sewajarnya.

“Petronas ingin menjelaskan bahawa kedua-dua anak syarikat ini, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan kesemua aset di Republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan ini telah pun dipulangkan (“repatriated”) dengan sewajarnya, “ kata syarikat minyak dan gas negara itu lewat malam ini.

Azerbaijan
Lapangan Gas Shah Deniz di Azerbaijan.

 

Petronas merujuk kepada laporan media Financial Times bertajuk “Petronas subsidiaries seized as lawyers press $15bn claim on Malaysia.”

“Kami mengesahkan bahawa kedua-dua anak syarikat dalam laporan tersebut telah menerima notis ‘Saisie-arret’ pada 11 Julai 2022,” katanya.

Syarikat minyak dan gas negara itu menganggap tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukan Petronas dari segi undang-undang dalam hal ini.

Dalam laporan media pada Oktober tahun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keputusan penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan adalah berdasarkan penilaian komersial jangka masa panjang serta pemampatan kos untuk menjamin daya tahan dan kecemerlangan operasi serta komersial.

Keputusan penjualan itu katanya, juga bukanlah atas desakan politik dan aset di Azerbaijan telah dikenal pasti sebagai antara aset untuk dijual sejak 2019.

Shah Deniz
Jaringan paip-paip gas asli mamastikan gas asli daripada Lapangan Shah Deniz di Azerbaijan boleh dijual di benua Eropah.
Syarikat minyak dan gas negara, Petronas sebelum ini dilapor mengesahkan bahawa ia telah mencapai persetujuan dengan syarikat LUKOIL untuk menjual kepentingan perniagaan miliknya di Azerbaijan yang dianggarkan bernilai RM9.41 billion (AS$2.25 bilion).
Kepentingan Petronas di Azerbaijan itu turut meliputi keseluruhan 15.5 peratus pegangan syarikat minyak dan gas negara dalam projek gas asli di Shah Deniz yang terletak di Laut Kaspia.

Hari ini, media-media dalam dan luar negara menyatakan bahawa waris kesultanan Sulu yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia – telah merampas dua anak syarikat gergasi minyak Malaysia Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.

Menurut laporan Financial Times yang berpangkalan di London, peguam pihak yang menuntut merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion (RM8 bilion).

sulu

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Peguam berkata bailif di Luxembourg merampas syarikat induk bagi pihak pelanggan mereka pada Isnin.

Proses timbang tara itu dimulakan sebagai tindak balas ke atas Malaysia yang memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013.

Malaysia tidak mengambil bahagian dalam proses timbang tara di Perancis, dengan alasan bahawa pertikaian antara Malaysia dengan pihak yang menuntut bukanlah kontrak komersial dan dengan itu tidak tertakluk kepada timbang tara. — DSA

Comments
Loading...