Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Perlukah M’sia Bayar RM63 Bilion Pada Warisan Sultan Sulu?

Pertikaian adalah berkaitan Surat Ikatan Penyerahan Hak 1878 antara Sultan Sulu ketika itu, iaitu Sultan Jamal al Alam, dengan Baron de Overbeck, Maharaja Sabah ketika itu dan Alfred Dent wakil Syarikat Borneo Utara British.

0 3,042

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Berita mengenai kerajaan Malaysia diarahkan oleh mahkamah timbang tara Perancis untuk membayar sekurang-kurangnya RM62.59 bilion (USD14.92 bilion) kepada keturunan Sultan Sulu terakhir menimbulkan gempar di media sosial.

Pada 28 Feb, penimbang tara, Gonzalo Stampa, memutuskan bahawa Malaysia melanggar perjanjian 1878 antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang pernah mentadbir kawasan yang kini dikenali sebagai Sabah.

Proses timbang tara itu bermula di Sepanyol, tetapi kini telah berpindah ke Paris.

Portal berita tempatan, Free Malaysia Today melihat isu ini dengan lebih dekat.

Apakah pertikaian itu?

Pertikaian itu sendiri adalah berkaitan Surat Ikatan Penyerahan Hak 1878 antara Sultan Sulu ketika itu, iaitu Sultan Jamal al Alam, dengan Baron de Overbeck, Maharaja Sabah ketika itu dan Alfred Dent wakil Syarikat Borneo Utara British.

Sulu

Di bawah perjanjian itu, Jamal menyerahkan kedaulatan ke atas sebahagian besar Sabah – dari pantai barat laut dan menjangkau ke pantai timur hingga ke Sungai Sibuco di selatan – kepada Dent dan Overbeck.

Sebagai pertukaran, Dent, Overbeck dan waris mereka akan membayar kepada waris Sultan sebanyak 5,000 dolar Mexico setiap tahun.

Pada 1936, Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf secara rasmi, Jamalul Kiram II, mangkat tanpa waris dan pembayaran dihentikan buat sementara waktu sehingga Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara Charles F Macaskie menamakan sembilan waris yang dilantik oleh mahkamah pada 1939.

Pembayaran kepada waris terbabit diteruskan hingga ke zaman moden apabila Malaysia menjadi penerus perjanjian itu berikutan kemerdekaan Sabah dan pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963.

Tetapi pada 2013, selepas pencerobohan Lahad Datu, Malaysia berhenti membayar pampasan tahunan kepada Sultan waris Sulu, iaitu bersamaan RM5,300.

Komando

Dalam buku Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, beliau berkata tiada bukti mengaitkan keturunan Sulu yang menerima bayaran tahunan daripada Malaysia kepada penceroboh bersenjata ke Lahad Datu.

Apakah yang sedang berlaku?

Pada 2017, peguam bagi waris memohon kepada mahkamah Sepanyol untuk menyediakan penimbang tara. Waris diwakili peguam Paul Cohen dan Elisabeth Mason yang berpangkalan di London.

Asas tuntutan Sepanyol ke atas Sabah berasal daripada penegasan bahawa Sepanyol pada masa itu mempunyai kedaulatan langsung ke atas kesultanan Sulu dan semua tanggungannya.

Bagaimanapun pada 2020, hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Martin Idang berkata, mahkamah Malaysia, bukan mahkamah Sepanyol, yang harus menyelesaikan pertikaian yang timbul daripada Surat Ikatan Penyerahan Hak 1878.

sulu

Ini kerana mahkamah Sepanyol katanya, tidak mempunyai kuasa atau bidang kuasa ke atas Malaysia.

Kes timbang tara ini pada asalnya dibicarakan di Madrid. Sumber menjelaskan bahawa walaupun kerajaan Malaysia dijemput dan dimaklumkan mengenainya, ia memilih untuk tidak terlibat.

Bagaimanapun pada 2021, Malaysia berjaya menghujahkan bahawa protokol komunikasi mahkamah Sepanyol dengan kerajaan tidak tepat. Atas asas itu Mahkamah Tinggi Madrid membatalkan pelantikan asal Stampa.

Semasa perkara ini dirayu, mahkamah Perancis menerima pakai timbang tara berkenaan yang diumumkan pada 28 Feb.

Semalam, laman berita Sepanyol La Información melaporkan, Stampa memutuskan bahawa perjanjian 1878 itu merupakan “perjanjian pajakan persendirian antarabangsa” komersial dan susulan itu sah.

kem

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Kesan-kesannya

Dalam autobiografinya, Thomas mengakui Malaysia melanggar perjanjian apabila bayaran dihentikan pada 2013.

Cohen memberitahu FMT bahawatimbang tara itu adalah mengenai pertikaian kontrak, bukan pertikaian lama mengenai kedaulatan.

“Kes ini bukan soal kedaulatan. Malaysia mengaku melanggar perjanjian lamanya dengan waris Sulu,” katanya.

“Oleh itu, persoalannya ialah bagaimana caranya untuk mengimbangkan semula bayaran itu memandangkan nilai semasa kontrak tersebut kepada Malaysia adalah tiga juta kali ganda berbanding persetujuan asal.”

Sementara itu sumber berkata, jika Malaysia enggan membayar, asetnya boleh dirampas secara global menurut Konvensyen New York yang membenarkan penguatkuasaan anugerah timbang tara.

“Ini boleh membawa kepada kempen rampasan meluas yang dibenarkan mahkamah di seluruh dunia,” kata sumber itu. — DSA

 

Comments
Loading...