Usaha Bawa Keluar Rakyat Malaysia Dari Sudan Masuki “Fasa Kritikal” – Menteri Luar
Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata proses membawa keluar rakyat Malaysia telah memasuki fasa kritikal, tetapi enggan menjelaskan dengan lebih lanjut keberadaan mereka di atas faktor-faktor keselamatan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Usaha dan tindakan membawa keluar rakyat Malaysia dari kawasan pertempuran di ibu negara Sudan, Khartoum telah pun dilakukan, ketika pertempuran sengit antara tentera Sudan dan pasukan paramitari, Rapid Support Forces (RFS) meletus kembali selepas gencatan senjata diusaha sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri gagal bertahan.
Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, keberadaan mereka ketika ini belum boleh dikongsikan atas faktor keselamatan.
“Proses membawa keluar rakyat Malaysia telah memasuki fasa kritikal, susulan kedua pihak yang bersengketa tidak menghormati gencatan senjata.

“Saya memohon rakyat Malaysia mendoakan kesemua mereka selamat dan misi mengeluarkan mereka dari Sudan berjaya dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama TV di sini pada Isnin.
Dr. Zambry berkata, Wisma Putra dan lain-lain agensi di Pusat Operasi Ops Sudan terus gigih berusaha untuk membawa keluar rakyat Malaysia.
Sebelum ini, Dr. Zambry berkata Malaysia sudah menghubungi pentadbiran tertinggi Sudan bagi memohon kelulusan lintas udara dan mendarat di negara itu.
Ia susulan tindakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Sudan melanjutkan penutupan ruang udara negara itu sehingga 30 April.
Seramai 32 rakyat Malaysia dilaporkan berada di Sudan iaitu di tujuh tempat berbeza dan mereka dalam dalam keadaan selamat.
Pada 21 April lalu, dua rakyat Malaysia dibawa keluar dan dipindahkan ke tempat selamat.
Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), korban akibat pergolakan di Sudan sehingga kini meningkat kepada lebih 400 orang, manakala 3,500 lagi cedera.
Comments are closed.