Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Putrajaya Mohon Bantuan Jerman Tapi “Misi Rahsia” Negara Itu Di Sudan Telah Dibatal

Bagaimanapun, kerajaan di Putrajaya mungkin tidak menyedari laporan media terkini daripada Berlin mengatakan bahawa kerajaan Jerman telah pun membatalkan rancangan rahsia mereka untuk memindahkan rakyatnya daripada Khartoum menggunakan tiga buah pesawat pengangkut Airbus A400M berikutan pertempuran sengit antara kedua-dua pihak bertelagah di kawasan lapangan terbang di Khartoum itu.

0 9,710

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kerajaan dilaporkan telah memohon bantuan daripada Jerman untuk membantu memindahkan rakyat Malaysia dari Sudan susulan konflik semakin meruncing antara Sudanese Armed Forces (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF) di kebanyakan lokasi di ibu negara itu, Khartoum.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kiriman di Facebook berkata beliau menerima panggilan telefon daripada Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier, semalam.

Ketika perbualan itu, Perdana Menteri berkata beliau berkesempatan memohon bantuan daripada pihak Jerman untuk membantu dalam usaha pemindahan rakyat Malaysia dari Sudan.

Sudan

Setakat ini, terdapat 32 rakyat Malaysia di beberapa lokaliti di Sudan dan berada dalam keadaan selamat.

Kerajaan berkemungkinan meminta bantuan Jerman untuk memindahkan rakyat Malaysia daripada Sudan kerana menyedari negara Eropah itu telah pun melancarkan pelan perancangan untuk menyelamatkan 150 rakyatnya daripada negara bergolak itu.

Bagaimanapun, apa yang mungkin tidak disedari oleh kerajaan di Putrajaya adalah laporan media terkini di Berlin mengatakan kerajaan Jerman telah pun membatalkan rancangan rahsia mereka untuk memindahkan rakyatnya daripada Khartoum menggunakan tiga buah pesawat pengangkut Airbus A400M.

Rancangan pemindahan rakyat Jerman itu terpaksa dibatalkan berikutan pertempuran sengit yang terus berlaku di sekitar lapangan terbang antarabangsa di ibu negara Sudan.

Menurut laporan oleh akhbar “Der Spiegel”, ketiga-tiga pesawat pengangkut A400M Tentera Udara Jerman telah berlepas daripada negara Eropah menuju ke Sudan untuk menyelamatkan rakyat negara itu.

Sudan

Pesawat-pesawat pengangkut itu kemudiannya mendarat di Greek untuk mengisi minyak tetapi tidak dapat meneruskan penerbangan ke Sudan selepas keadaan keselamatan terkini di lapangan terbang itu menunjukkan keadaan adalah amat berbahaya untuk rakyat Jerman jika operasi menyelamatkan mereka diteruskan.

Pertempuran antara kedua-dua pihak terus berlaku di dalam lapangan terbang dan kawasan sekitarnya.

Perancangan misi menyelamat itu melibatkan ketiga-tiga pesawat A400M Tentera Udara Jerman itu akan mendarat di Khartoum pada sekitar tengahari dan memindahkan kesemua rakyat Jerman yang terdiri daripada diplomat, anggota polis dan rakyatnya yang berada di Sudan.

Bagaimanapun pada pagi, beberapa jam sebelum pesawat-pesawat pengangkut itu mendarat di Khartoum, Angkatan Tentera Jerman dan pasukan krisis Kementerian Luar negara itu memutuskan untuk membatalkan misi menyelamat itu.

Berikutan pembatalan misi rahsia itu, ketiga-tiga pesawat pengangkut A400M Tentera Udara Jerman yang berada di Greek itu telah diarah berpatah-balik ke Jerman.

Sudan

Menurut laporan oleh media-media Jerman, misi menyelamatkan rakyat negara itu di Sudan melibatkan penggunaan anggota tentera payung terjun negara itu yang lengkap bersenjata bertujuan untuk mengawasi perimeter lokasi pemindahan rakyatnya itu di lapangan terbang.

Ketika ini, kesemua rakyat Jerman yang terperangkap di Sudan dilaporkan selamat dan kedutaan negara itu juga tidak terjejas.

Bagaimanapun, kerajaan Jerman tetap mahukan rakyat dikeluarkan daripada Sudan kerana terdapat kemungkinan pertempuran di antara kedua-dua pihak yang bertelagah itu anak menjadi semakin buruk pada hari-hari mendatang.

Selain itu, bekalan makanan dan minuman di Khartoum juga semakin berkurangan akibat pertempuran sengit di antara kedua-dua pihak yang bertelagah itu.– DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...