Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

PETRONAS Tidak Akan “Tunduk” Dengan Tindakan Sudan, Bawa Pertikaian Ke Bank Dunia

PETRONAS telah membelanjakan berbilion-bilion Ringgit untuk membangunkan industri minyak dan gas Sudan serta membantu negara Afrika itu untuk muncul sebagai antara negara pengeksport minyak dan gas di benua Afrika.

0 17,232

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS tidak akan “tunduk tanpa memberikan sebarang tentangan” terhadap tindakan kerajaan sementara Sudan merampas aset-asetnya yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit di negara Afrika itu.

PETRONAS telah mengemukakan permohonan arbitrasi di “International Centre for Settlement of Investment Disputes (ICSID) “ atau “Pusat Antarabangsa Bagi Penyelesaian Pertikaian Pelaburan,” yang merupakan sebuah unit di bawah Bank Dunia.

“Syarikat minyak dan gas negara itu mendakwa bahawa haknya terhadap tanah dan Kompleks PETRONAS di Khartoum, Sudan diperolehi selari dengan undang-undang yang berkaitan.”

“PETRONAS juga telah bekerjasama dengan Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) untuk menggunakan segala saluran diplomatik dengan pihak berkuasa di Sudan untuk menyelesaikan perkara ini dengan baik.”

— kenyataan oleh PETRONAS.

Memandangkan tiada perkembangan yang positif setakat ini, PETRONAS telah mengemukakan permohonan arbitrasi kepada ICSID berkenaan isu terbabit.

PETRONAS

Kerajaan sementara Sudan dilaporkan telah bertindak merampas aset-aset milik syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS dipercayai bernilai berbilion-bilion Ringgit di negara Afrika itu, dakwa sebuah akhbar Turki, Daily Sabah.

Kerajaan sementara Sudan merampas aset-aset milik PETRONAS selepas mendakwa syarikat negara itu memiliki aset-aset terbabit menerusi cara-cara haram ketika pemerintahan bekas presiden negara itu, Omar al-Bashir.

Presiden Omar al-Bashir telah digulingkan oleh tentera negara itu sendiri pada 2019 dan setahun selepas itu, kerajaan negara itu  bersetuju untuk menyerahkan bekas presiden itu untuk diadili oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas pelbagai dakwaan jenayah perang.

Pada ketika ini kerajaan Sudan dipimpin oleh Perdana Menteri Abdallah Hamdok.

Akhbar Daily Sabah itu yang memetik sumber-sumber dalam laporannya, mengatakan PETRONAS  membantah keras tindakan yang diambil oleh kerajaan sementara Sudan itu dalam merampas aset-aset minyak dan gasnya di negara Afrika itu.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada bantahan keras oleh PETRONAS mendapat sebarang respons daripada kerajaan Sudan itu.

“Menurut akhbar Daily Sabah, tanah yang menempatkan Kompleks PETRONAS Sudan telah diambilalih dan didaftarkan dibawah Nada Properties Co Ltd (NPCL), yang merupakan anak syarikat kepada PETRONAS di Sudan.”

“Laporan akhbar itu mendakwa bahawa kerajaan sementara Sudan telah memindahkan pemilikan NPCL itu kepada Kementerian Kewangan Sudan dan menafikan hak PETRONAS terhadap syarikat berkenaan.”

— Akhbar Turki, “Daily Sabah”  

Akhbar, Daily Sabah itu mengatakan selepas kejatuhan Presiden Omar al-Bashir, kerajaan sementara negara itu telah meluluskan satu peruntukan undang-undang dan menubuhkan Jawatankuasa Anti-Rasuah dan Mendapatkan Semula Wang yang diperolehi menerusi cara-cara haram ketika pemerintahan kerajaan terdahulu.

Ketika menjalankan siasatan terhadap bekas Presiden Omar al-Bashir dan sekutu rapatnya, jawatankuasa itu telah mensasarkan dan mendakwa pelabur-pelabur asing di Sudan serta merampas aset-aset mereka.

PETRONAS
Ibu pejabat PETRONAS di Khartoum,Sudan.

 

Menurut laporan akhbar itu, maklumat yang diperolehi oleh kerajaan sementara Sudan itu tidak dikongsi dengan pihak berkuasa Malaysia berkenaan jenayah rasuah membabitkan Omar al-Bashir di Malaysia.

Akhbar Daily Sabah itu mengatakan PETRONAS telah melakukan bantahan keras terhadap tindakan kerajaan sementara Sudan merampas aset-asetnya di negara itu dan mengkritik tindakan yang diambil oleh Khartoum.

PETRONAS, sebagaimana diperkatakan oleh akhbar itu, mengatakan bahawa syarikat NPCL merupakan sebuah yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat Sudan.

Syarikat minyak dan gas negara mengatakan perkara itu di dalam proses rayuannya terhadap tindakan yang diambil oleh kerajaan sementara Sudan itu

Sumber-sumber yang dipetik oleh akhbar terbabit mengatakan bahawa pelabur-pelabur asing di Sudan termasuk daripada Pakistan, Qatar dan Turki turut berhadapan nasib yang sama seperti PETRONAS.

Syarikat minyak dan gas negara itu dikatakan telah beroperasi di Sudan selama 20 tahun dan telah membantu negara Afrika itu untuk muncul sebagai negara pengeluar minyak.

PETRONAS telah melabur berbilion dolar Amerika di Sudan untuk mencarigali minyak dan gas di negara Afrika itu.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...