Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Komando Amerika Selamatkan 70 Kakitangan Kedutaannya Di Sudan. Bagaimana Wisma Putra?

Beberapa negara "berlumba-lumba" mahu menyelamatkan rakyat mereka daripada Sudan selepas Amerika Syarikat menghantar anggota komandonya dalam tiga buah helikopter Chinook untuk menyelamatkan kira-kira 70 kakitangan kedutaannya di Khartoum dan membawa mereka ke lokasi selamat. Bagaimanapula perancangan Wisma Putra untuk membawa rakyat Malaysia keluar daripada Sudan?

0 9,914

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Usaha menyelamat warga asing yang terperangkap di ibu negara Sudan, Khartoum diperhebat dengan beberapa negara “berlumba-lumba” untuk membawa keluar rakyat mereka daripada negara bergolak itu selepas gencatan senjata yang diusahakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri gagal bertahan dan pertempuran sengit antara kedua-dua pihak meletus kembali.

Kedua-dua pihak yang bertelagah, tentera Sudan dan pasukan paramilitari Rapid Support Forces (RSF) tidak menghiraukan gencatan senjata yang diisytihar dan pertempuran sengit berlaku di serata lokasi di Khartoum.

Amerika Syarikat menghantar pasukan khasnya terdiri daripada anggota tentera daripada SEALS dan pasukan khas tentera darat yang lain di bawah pemerintah Pusat Pemerintahan Afrika (AFRICOM) untuk menyelamatkan 70 orang kakitangan di kedutannya di Khartoum.

Komando

Turut diselamatkan adalah diplomat warga negara asing, tetapi Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat tidak mendedahkan kewarganegaraan mereka.

Perintah supaya operasi menyelamatkan kakitangan kedutaan Amerika Syarikat di Khartoum itu dikeluarkan oleh Presiden Jo Biden.

Menurut laporan, tentera Amerika Syarikat menggunakan tiga buah helikopter Chinook yang berlepas daripada Djibouti untuk mengisi minyak dan singgah sekali lagi di Eritrea, sebelum menuju ke bangunan kedutaan di Khartoum.

“Pasukan khas tentera Amerika Syarikat itu hanya mengambil masa satu jam untuk melaksanakan operasi menyelamat itu, tanpa melepaskan sebarang tembakan,” menurut laporan.

Walaupun berjaya menyelamatkan rakyatnya yang bertugas di kedutaan negara itu di Khartoum, tetapi dianggarkan terdapat kira-kira 16,000 rakyat Amerika Syarikat berada di negara Afrika yang sedang bergolak itu.

Komando

Selain Amerika Syarikat, Perancis dan beberapa negara Eropah juga sedang berusaha untuk menyelamatkan rakyat mereka yang terperangkap di ibu negara Sudan berikutan pertempuran sengit antara kedua-dua pihak yang bertelagah.

Kementerian Luar Perancis berkata ia sedang bekerjasama dengan beberapa negara Eropah dan rakan sekutunya untuk membawa keluar rakyat mereka dengan segera.

Britain dan Netherland juga sedang berusaha membawa keluar rakyat mereka daripada Sudan.

Bagi negara-negara serantau seperti Thailand, Kementerian Luarnya dan agensi-agensinya sudah berbincang untuk melaksanakan operasi menyelamat bersama untuk membawa keluar di antara 200 hingga 300 warga Thailand yang berada di Sudan.

Mereka bercadang mengumpulkan rakyat Thailand itu sama ada di Mesir atau Arab Saudi sebelum menerbangkan mereka balik ke Thailand.

Indonesia juga sudah menyiapkan pelan untuk memindahkan kira-kira 1,200 rakyatnya yang berada Sudan pada ketika ini manakala Jepun pula menyediakan sebuah pesawat tentera untuk membawa pulang rakyatnya daripada negara bergolak itu.

Komando
Keadaan di Khartoum

 

Rakyat Jepun itu terlebih dahulu akan dikumpulkan di Djibouti terlebih dahulu.

Manakala bagi Malaysia pula, kerajaan dilaporkan telah memohon bantuan daripada Jerman untuk membantu memindahkan rakyat Malaysia dari Sudan.

 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kiriman di Facebook baru-baru ini berkata beliau telah menerima panggilan telefon daripada Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier.

Ketika perbualan itu, Perdana Menteri berkata beliau berkesempatan memohon bantuan daripada pihak Jerman untuk membantu dalam usaha pemindahan rakyat Malaysia dari Sudan.

Setakat ini, terdapat 32 rakyat Malaysia di beberapa lokaliti di Sudan dan berada dalam keadaan selamat.

Kerajaan berkemungkinan meminta bantuan Jerman untuk memindahkan rakyat Malaysia daripada Sudan kerana menyedari negara Eropah itu telah pun melancarkan pelan perancangan untuk menyelamatkan 150 rakyatnya daripada negara bergolak itu.

Komando

Bagaimanapun, apa yang mungkin tidak disedari oleh kerajaan di Putrajaya adalah laporan media terkini di Berlin mengatakan kerajaan Jerman telah pun membatalkan rancangan rahsia mereka untuk memindahkan rakyatnya daripada Khartoum menggunakan tiga buah pesawat pengangkut Airbus A400M.

Rancangan pemindahan rakyat Jerman itu terpaksa dibatalkan berikutan pertempuran sengit yang terus berlaku di sekitar lapangan terbang antarabangsa di ibu negara Sudan.

Menurut laporan oleh akhbar “Der Spiegel”, ketiga-tiga pesawat pengangkut A400M Tentera Udara Jerman telah berlepas daripada negara Eropah menuju ke Sudan untuk menyelamatkan rakyat negara itu.

Bagaimanapun pada pagi, beberapa jam sebelum pesawat-pesawat pengangkut itu mendarat di Khartoum, Angkatan Tentera Jerman dan pasukan krisis Kementerian Luar negara itu memutuskan untuk membatalkan misi menyelamat itu.

Komando
Bangunan kedutaan Amerika Syarikat di Khartoum

 

Berikutan pembatalan misi rahsia itu, ketiga-tiga pesawat pengangkut A400M Tentera Udara Jerman yang berada di Greek itu telah diarah berpatah-balik ke Jerman.

Tiddak dapat dipastikan sama ada, Jerman telah menghidupkan kembali pelan untuk menyelamat rakyat mereka berikutan operasi menyelamat oleh pasukan khas Amerika Syarikat itu. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...