Russia Pertingkat Pengeluaran Su-57, Lengkapinya Dengan Teknologi Gen-6
Dengan Amerika Syarikat berusaha meningkatkan lagi keupayaan pesawat pejuang generasi kelimanya, F-35 Block 4 dengan pelbagai kemampuan baru dan terkini, Russia juga bertindak sama dengan menaiktaraf pesawat pejuang Su-57 dengan kemampuan pesawat pejuang generasi ke-enam.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun berhadapan dengan sekatan ekonomi yang ketat oleh masyarakat antarabangsa, namun industry pertahanan Russia masih mampu mengirimkan pesawat-pesawat pejuang baru kepada tentera udara negara itu.
Hanya beberapa hari lepas, syarikat pembuat pesawat negara itu telah berjaya mengirimkan pesawat-pesawat pejuang Su-57 “Felon” dan Su-35S kepada Tentera Udara Russia (dipanggil Russian Aerospace Force).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Russia, Yuri Gagarin Aviation Plant di Komsomolsk-0n-Amur yang bernaung di bawah United Aircraft Corporation telah berjaya menyiapkan kedua-dua jenis pesawat pejuang itu untuk kegunaan Tentera Udara Russia.
Selepas dilakukan segala ujian oleh kilang dan prestasi, pesawat-pesawat pejuang itu telah diserahkan kepada Tentera Udara Russia dan perkara ini telah disahkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Industri dan Perdagangan Denis Manturov.
Industri pertahanan Russia sepatutnya mula menghasilkan pesawat pejuang Su-57 “Felon” untuk tentera udaranya pada 2017, namun ia hanya berjaya berbuat demikian pada tahun 2021 berikutan kemalangan yang berlaku ketika melakukan penerbangan ujian pada 2019.
Pada ketika ini, Tentera Udara Russia memiliki bilangan pesawat pejuang Su-57 yang terhad dipercayai bawah 20 buah, tetapi telah bertindak meningkatkan lagi pengeluaran pesawat pejuang itu yang dikategorikan sebagai pesawat pejuang generasi kelima pertama bagi Russia.
Tidak ada jumlah terkini pegangan pesawat pejuang Su-57 dimiliki oleh Tentera Udara Russia, tetapi menurut perancangan perolehan oleh Kementerian Pertahanan negara itu, ia bercadang memiliki 76 buah pesawat pejuang generasi kelima itu pada 2027.
Ketua Pengarah United Aircraft Corporation Yuri Slyusar berkata, , UAC telah menerima peruntukan baru untuk memperolehi peralatan-peralatan teknikal dan memodenkan serta membesarkan lagi kemampuan produksinya.
Kesemua usaha itu akan membolehkan syarikat membantu syarikat meningkatkan produksi bukan sahaja pesawat pejuang Su-57,tetapi juga pesawat-pesawat pejuang Su-35S untuk Tentera Udara Russia yang kini digunakan secara aktif di Ukraine.
Peningkatan produksi pesawat-pesawat pejuang akan membantu “menggantikan” pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Russia termasuk Su-35 dalam konflik di Ukraine.
Comments are closed.