Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Stesen TV Algeria Sahkan Juruterbang Negara Itu Sedang Berlatih Kendali Su-57 Felon di Russia

“Juruterbang Algeria sedang menjalani latihan di Russia, dan penghantaran (pesawat pejuang Su-57) itu dijangka dilakukan tahun ini." -- Stesen televisyen milik kerajaan Algeria

0 7,915
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Stesen televisyen milik kerajaan Algeria telah pun mengesahkan bahawa negara  Afrika itu adalah pelanggan eksport pertama bagi pesawat pejuang generasi kelima Russia, Sukhoi Su-57 Felon, sekaligus menamatkan teka-teki mengenai pelanggan eksport pertama bagi pesawat pejuang generasi kelima itu.
Pengesahan Algeria itu menyusuli kenyataan Ketua ROSOBORONEXPORT Alexander Mikheev beberapa hari lepas bahawa pelanggan eksport pertama pesawat pejuang Su-57E (varian eksport) itu akan menerima dan mengoperasikan pesawat pejuang pelbagai guna canggih itu pada tahun ini.
Beliau menyatakan perkara itu ketika hadir pada Aero India 2025 dimana Russia turut menghantar pesawat pejuang Su-57 milliknya itu untuk menyertainya.
Stesen televisyen Algeria itu menyatakan, “Juruterbang Algeria sedang menjalani latihan di Russia, dan penghantaran (pesawat pejuang Su-57) itu dijangka dilakukan tahun ini.”
Ia bagaimanapun tidak memberitahu jumlah pesawat pejuang Su-57 yang bakal diperolehi oleh Algeria serta kos perolehannya.
Terdapat laporan daripada sumber-sumber tidak rasmi menyatakan bahawa Algeria mungkin pada peringkat awal memperoleh hanya enam unit pesawat pejuang Su-57.
Su-57
Su-57
Jika benar, ini mungkin bermaksud kumpulan pertama akan digunakan untuk penilaian, dengan tambahan lagi dilakukan pada masa akan datang.
Ketika pameran aeroangkasa Airshow China 2024 di Zhuhai, China pada November tahun lepas,  Mikheev turut telah mengumumkan bahawa ia telah memeterai kontrak pertama bagi Su-57E Felon, varian eksport pesawat pejuang generasi kelima itu.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti negara yang menjadi pelanggan eksport pertama Su-57 itu.
“Kita telah menandatangani kontrak (penjualan kepada pelanggan asing) yang pertama,” katanya dan menambah bahawa minat terhadap pesawat pejuang generasi kelima buatan Russia itu adalah tinggi.
Pada ketika pengumuman itu, sememangnya Algeria di-spekulasikan sebagai pelanggan eksport pertama yang memperolehi Su-57.
Negara Afrika Utara, Algeria merupakan antara pasaran utama bagi sistem persenjataan Russia di benua Afrika selama ini, hanya dibelakang India.
Su-57
Su-57 di Pangkalan Udara Yehalanka, Bengaluru untuk menyertai Aero India 2025.
Tentera Udara Algeria mengoperasikan beberapa pesawat pejuang utama yang dikeluarkan oleh Russia termasuk Su-30MKA, MiG-29 dan Su-24.
Negara Afrika Utara itu telah menunjukkan minat terhadap pesawat pejuang Su-57 sejak beberapa tahun lepas, dengan laporan media sebelum ini mendakwa bahawa Tentera Udara Algeria mahu memperolehi sejumlah 14 buah pesawat pejuang generasi kelima keluaran Russia itu.
Pada 2020, laporan media menyatakan bahawa kerajaan Algeria telah memperuntukan sejumlah wang untuk perolehan sistem-sistem persenjataan moden dibawah program permodenan angkatan tenteranya untuk tempoh 2021 hingga 2027.
Perolehan pesawat pejuang Su-57 oleh Algeria itu dikatakan adalah sebagai langkah menangani tindakan negara jirannya, Maghribi yang memperolehi pesawat pejuang F-16 Block 70/72 daripada Amerika Syarikat.
Laporan media baru-baru ini menyatakan bahawa Maghribi yang mempunyai hubungan pertahanan yang rapat dengan Amerika Syarikat dan Israel juga bercadang memperolehi pesawat pejuang generasi kelima F-35 buatan syarikat Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat.
Pesawat pejuang Su-57E dilengkapi dengan sistem avionik canggih yang mengintegrasikan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) bagi membantu juruterbang, berfungsi sebagai pembantu maya.
Sistem radarnya, N036 Byelka, ialah radar Active Electronically Scanned Array (AESA) yang lebih maju berbanding Irbis-E yang digunakan oleh pesawat pejuang Su-35BM, menawarkan keupayaan pengesanan dan penjejakan yang lebih baik untuk pelbagai sasaran.
Varian terkini pesawat pejuang Su-57 kini dilaporkan dilengkapi dengan enjin terkini dipanhhil Product 30  (Izdeliye 30) atau AL-51F1, dengan muncung (nozzle) rata dan vektor tujahan (thrust vectoring) boleh ubah (deflectable).
Algeria
Pesawat pejuang Tentera Udara Algeria.
 Enjin tahap kedua AL-51F1 adalah komponen terakhir yang menjadikan pesawat pejuang Su-57 buatan Russia itu mematuhi sepenuhnya keperluan yang ditetapkan oleh negara itu bagi pesawat pejuang generasi kelima.
Keperluan tersebut merangkumi kebolehan pelbagai fungsi, teknologi halimunan, kelincahan ultra, kebijaksanaan serta kesedaran menyeluruh juruterbang terhadap persekitaran luaran, muatan kombat yang besar dengan peluru berpandu jarak jauh berketepatan tinggi, serta penerbangan supersonik dalam mod tanpa afterburner.
Pematuhan kriteria terakhir berkenaan penerbangan supersonik dalam mod ini dicapai melalui enjin peringkat kedua.
Pesawat pejuang Su-57 adalah pencapaian kejuruteraan yang mengagumkan.
Keupayaannya untuk mencapai kelajuan Mach 2 tanpa menggunakan afterburner membuktikan reka bentuk dan teknologinya yang canggih.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.