Hyundai Heavy Industries (HHI) Saingan Kuat Untuk Bekal Kapal MRSS Pada TLDM
Perolehan dua buah kapal MRSS untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu merupakan inisiatif utama (key initiatives) dibawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), yang akan bermula tahun depan sehingga tahun 2030. Kapal ketiga MRSS milik TLDM itu dijangka diperolehi pada tempoh RMK-14 (2031-2035).
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan Malaysia dijangka akan membuka tender perolehan dua buah kapal Multi Role Support Ship (MRSS) pada Oktober tahun ini, yang bakal menarik penyertaan beberapa buah syarikat pembina kapal terkemuka dunia.
Perolehan dua buah kapal MRSS untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu merupakan inisiatif utama (key initiatives) dibawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), yang akan bermula tahun depan sehingga tahun 2030.
Kapal ketiga MRSS milik TLDM itu dijangka diperolehi pada tempoh RMK-14 (2031-2035).
Perolehan strategik kapal-kapal MRSS itu yang sudah tertangguh beberapa kali bertujuan memperkukuhkan lagi keupayaan TLDM serta meningkatkan lagi infrastruktur pertahanan maritim negara.
Kapal MRSS direka untuk melaksanakan pelbagai tugasan di lautan, termasuk sokongan logistik, bantuan perubatan, operasi mencari dan menyelamat serta penempatan pasukan-pasukan tentera.
Salah satu syarikat yang dijangka akan menawarkan kapal MRSS mereka adalah Hyundai Heavy Industries (HHI), sebuah syarikat pembina kapal dan kejuruteraan luar pesisir terkemuka dunia dari Korea Selatan.

Syarikat pembina kapal Korea Selatan itu dijangka akan menawarkan kapal MRSS seberat 10,000 tan yang telah diubahsuai (customised) mengikut keperluan TLDM — berdasarkan kepada rekabentuk asasnya (base model) kapal MRSS HDL-13000 keluaran HHI.
Memiliki panjang keseluruhan di antara 130 hingga 150 meter, kapal MRSS keluaran syarikat pembina kapal Korea Selatan itu berkemampuan mencapai kelajuan pelayaran di antara 11 hingga 14 knot, menjadikannya berkeupayaan tinggi dalam melaksanakan pelbagai misi dalam keadaan persekitaran maritim yang amat mencabar.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem navigasi dan komunikasi dalaman (ICS) yang bersepadu dan canggih, sistem kawalan tempur dan persenjataan bagi membolehkannya beroperasi dengan cekap dan selamat dalam situasi aman dan konflik.
Bagi sistem persenjataannya pula, kapal MRSS keluaran Hyundai Heavy Industries yang ditawarkan kepada Malaysia itu menampilkan meriam utama berkaliber 57mm atau 76mm.
Jika mengikut maklumat tentang base model HDL-13000, kapal MRSS itu berkemampuan melaksanakan misi-misi amfibia, dengan membawa sehingga 16 buah kereta kebal utama, enam buah kereta perisai pelbagai guna serta ratusan anggota tentera yang lengkap bersenjata.


Manakala di dek penerbangan kapal MRSS itu pula, ia boleh menempatkan sehingga tiga buah helikopter untuk menyokong operasi kapal terbabit.
Selain HHI menunjukkan minat memenuhi keperluan TLDM bagi kapal MRSS, beberapa syarikat lain PT PAL daripada Indonesia, Damen dari Belanda, Naval Group dari Perancis, CSOC dari China, Mitsui dari Jepun dan TAIS dari Turkiye turut dijangka akan bersaing hebat dalam tender yang bakal dibuka itu tidak lama lagi.
Panglima TLDM sebelum ini, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob pernah berkata bahawa keperluan kapal-kapal MRSS adalah amat penting.
“Dengan kedudukan geografi negara yang terbahagi kepada dua wilayah dan dipisahkan oleh Laut China Selatan dengan jarak terdekat sejauh 568.42 kilometer, kita memerlukan platform sebegini bagi bantuan logistik dan mengukuhkan keperluan.”
MRSS menurut beliau dalam temuramah dengan akhbar tempatan berkata, kapal MRSS dilihat sebagai keperluan yang sangat penting dan perolehannya wajar disegerakan.
— DEFENCE SECURITY ASIA
Nak beli dari manapun …. ok.
Jangan beli dari negara sebelah tu, sudah!!!
Kelak banyaklah caci-maki yang bakal netizan Malaysia dapatkan …