Dua Lagi Kapal Peronda Pesisir Pantai Milik Maritim Malaysia Tetap Dibina – Menteri
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman telah dipertanggungjawabkan bagi meneliti perkara berkaitan termasuk mencari syarikat pembina kapal OPV milik Maritim Malaysia itu yang baru menggantikan THHE Destini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Projek pembinaan dua lagi buah kapal peronda pesisir pantai (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan diteruskan walaupun kontrak dengan syarikat pembina kapal yang asal telah ditamatkan tahun lepas.
Perkara itu telah diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini.
Menurut beliau, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman telah dipertanggungjawabkan bagi meneliti perkara berkaitan termasuk mencari syarikat pembina kapal OPV milik Maritim Malaysia itu yang baru menggantikan THHE Destini.
“Seperti yang diketahui, APMM hanya menerima satu daripada tiga OPV iaitu Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah yang sudah bertugas di menjaga perairan negara.
“Namun dua lagi (OPV) masih belum kesampaian dan akhirnya keputusan Kabinet supaya dilakukan mutual termination (penamatan dengan persetujuan bersama)… (Sehubungan itu), saya menetapkan hala tuju bahawa ia (OPV) mesti diteruskan,” kata beliau di Putrajaya hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan telah menamatkan kontrak dengan THHE Destini Sdn Bhd (TDSB) selepas ia gagal menyiapkan pembinaan dua lagi kapal peronda pesisir itu lagi.

Dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat minggu lepas, Saifuddin Nasution berkata penamatan kontrak itu ditandatangani pada 31 Disember 2024 dan syarikat berkenaan dikenakan Kadar Denda Dan Gantirugi Ditetapkan (LAD) lebih RM12 juta di atas kelewatan menyiapkan kapal OPV 2 dan OPV3.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata kerajaan sebelum ini telah membelanjakan lebih RM600 juta untuk projek pembinaan tiga OPV berkenaan namun syarikat itu hanya mampu menyiapkan sebuah kapal.
“Kita dah berhabis banyak, ini adalah hal yang kami warisi daripada pentadbiran lama, kami bukan hendak main ‘blame game’,” katanya.
Kerajaan memeterai perjanjian dengan THHE Destini pada 2017 untuk membekalkan tiga unit OPV pada kos RM740 juta untuk APMM dan kapal peronda berkenaan dijadual diserahkan pada 2022.
Bagaimanapun masalah kewangan syarikat induknya THHE serta pandemik COVID-19 menyebabkan kerja pembinaan kapal berkenaan di Pulau Indah tertangguh.
OPV1 milik APMM iaitu KM Tun Fatimah yang berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter itu mampu mencapai kelajuan 21 knot dengan fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter dan bilik tahanan diterima agensi itu pada tahun lepas.

