Memeranjatkan! Tetapi Russia Hanya Miliki Sebuah Kapal Pengangkut Pesawat
Walaupun dianggap sebagai kuasa tentera dunia,tetapi Russia hanya memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat dinamakan "Admiral Kuznetsov" berbanding Amerika 11 buah kapal pengangkut pesawat. Malah China juga telah melancarkan kapal pengangkut pesawatnya yang ketiga hari ini
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun dianggap sebagai kuasa tentera dunia yang hanya mampu disaingi oleh Amerika Syarikat, namun adalah amat memeranjatkan kerana Russia sebagai kuasa tentera dunia hanya memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat (aircraft carrier) dinamakan Admiral Kuznetsov yang seberat kira-kira 58,000 tan (full displacement).
Ia adalah satu kenyataan yang amat menakjubkan bahawa Russia hanya mempunyai sebuah kapal pengangkut pesawat berbanding Amerika Syarikat yang sehingga bulan April 2022 memiliki 11 buah kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear manakala China pula hari ini telah melancarkan kapal pengangkut pesawatnya yang ketiga “Fujian.”
Apa yang lebih “menyedihkan” adalah– kapal pengangkut pesawat tunggal Russia itu sering mengalami kerosakan, menyebabkannya menghabiskan lebih banyak masa di limbungan kapal untuk kerja-kerja penyelenggaran daripada melaksanakan operasi di lautan.

Di seluruh dunia pada ketika ini, terdapat 47 kapal pengangkut pesawat yang dioperasikan oleh 14 buah tentera laut.
Amerika Syarikat bukan sahaja memiliki 11 buah “super carrier” dengan berat mencecah 100,000 tan, tetapi ia juga memiliki sembilan buah Amphibious Assault Ship yang kerap kali digelar kapal pengangkut pesawat mini yang bukan sahaja berkemampuan membawa pelbagai helikopter tetapi juga sehingga 20 buah pesawat Vertical Take Off Landing (VTOL) seperti pesawat F-35B.
Malah,negara jiran kita iaitu Thailand juga memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat iaitu RTN Chakri Naruebet, walaupun ia tidak memiliki pesawat pejuang moden untuk beroperasi di atas dek penerbangan kapal itu.
Seringkali kapal Chakri Naruebet itu dianggap sebagai “gajah putih” yang kegunaannya adalah untuk bermegah tanpa sebagai keperluan sebenar operasi.

Lain-lain negara yang memiliki hanya sebuah kapal pengangkut pesawat selain Russia termasuklah India dan Perancis serta Britain,
Persoalannya, mengapa Russia yang menganggap diri negara kuasa tentera dunia hanya memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat?
Jawapannya, berkemungkinan adalah kerana doktrin tentera laut Russia tetapi juga keana Moscow tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang meluas dalam operasi kapal pengangkut pesawat, sekaligus membataskan hasratnya untuk memiliki lebih banyak kapal pengangkut pesawat.




Comments are closed.