Radar Pertahanan Baru Awasi “Pergerakan Udara” Di Selatan Semenanjung Malaysia
Sememangnya tindakan menempatkan radar pertahanan udara yang baru dan lebih berkemampuan di selatan tanah air di selatan tanah air itu adalah amat tepat kerana sebagaimana yang kita tahu, terdapat banyak “pengerakan udara” di kawasaan selatan tanah air .
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan akan menggantikan radar pertahanan udara di Bukit Lunchu di Johor, yang memberikan pengawasan udara untuk kawasan di selatan Semenanjung Malaysia.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pada ketika ini radar pertahanan udara di Bukit Lunchu, Pasir Gudang itu menggunakan radar jenis Alenia buatan Itali.
Radar pertahanan udara sedia ada itu masih lagi dikategorikan sebagai “Full Mission Capability” (FMC).
“Ia bukan lagi partial tetapi ia masih lagi dalam kategori full (Full Mission Capability), boleh beroperasi tetapi sedikit demi sedikit kita akan menggantikannya macam di Labuan itu. Masih lagi beroperasi tetapi kapasiti tidak sampai 90 peratus.”
“Jadi, kita akan beransur-ansur akan menggantikannya,” kata Mohamad Hasan semasa menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Pasir Gudang Hasan Karim semasa sesi soal jawap di Parlimen semalam.
Beliau tidak memberitahu jenis radar pertahanan udara baru yang bakal menggantikan radar Alenia di Bukit Lunchu itu.
Proses penggantian radar pertahanan udara di Bukit Lunchu itu masih dilakukan, katanya sambil menambah bahawa usaha kawalan ruang udara negara masih lagi beroperasi dan diurus dengan amat baik sekali untuk masa kini.
“Cumanya tidak sampai 90 peratus. Akan tetapi dalam kawasan Semenanjung ini banyak lagi radar-radar kita, termasuk komersial ataupun The Civil Aviation Authority of Malaysia punya radar sebab itu saya kata tadi kita sudah guna sama. Kita sudah berkongsi maklumat.”
“Tidak ada lagi satu benda yang terbang di udara yang tidak dapat kita kesan. That is the assurance yang kita boleh bagi Tuan Yang di-Pertua, bahawa kita sudah boleh kenal pasti dan kita akan berkongsi maklumat ini tentang sebarang pergerakan yang bergerak di udara di negara kita,” kata Menteri Pertahanan.
Pada tahun lepas, Timbalan Menteri Pertahanan pada ketika itu Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz memaklumkan pada Dewan Rakyat bahwa radar pertahanan udara jarak jauh yang akan ditempatkan di Johor itu akan diperolehi pada suku pertama 2023.
Perolehan radar jarak jauh itu akan dilakukan secara tender terbuka antarabangsa.
Sememangnya tindakan menempatkan radar pertahanan udara yang baru dan lebih berkemampuan di selatan tanah air di selatan tanah air itu adalah amat tepat kerana sebagaimana yang kita tahu, terdapat banyak “pengerakan udara” di kawasaan selatan tanah air .
Banyak pangkalan udara negara-negara jiran juga terletak di selatan tanah air yang memerlukan pemantauan berterusan oleh pihak TUDM mengendalikan radar pertahanan udara jarak jauh itu.
Pangkalan-pangkalan udara milik negara jiran ini adalah pangkalan udara yang penting dan ia memerlukan pemantauan.
Selain Pangkalan Udara Tengah dan Pangkalan Udara Paya Lebar milik Tentera Udara Singapura, Indonesia juga memiliki Pangkalan Udara Hang Nadim di Pulau Batam, berhampiran Johor yang menempatkan aset-aset udaranya yang berpotensi melaksanakan pelbagai misi.
Mengikut portal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Skuadron 323 TUDM Bukit Lunchu berkuatkuasa mulai 15 Julai 1999 bagi mengawasi ruang udara selatan Semenanjung Malaysia.
Skn 323 TUDM Bukit Lunchu bertanggungjawab mengawasi ruang udara di bahagian selatan Semenanjung Malaysia dengan mengumpul maklumat yang diperolehi melalui radar.
Maklumat berkenaan akan disalurkan ke Markas No. 1 Divisyen Udara samada untuk arahan misi pemintasan atau lain-lain arahan.
Di dalam konteks Sistem Pertahanan Udara Nasional (NADS) semasa perang, Skn 323 TUDM Bukit Lunchu akan menghubungi skuadron-skuadron pesawat tempur di Kuantan dan Butterworth untuk tindakan pemintasan apabila radarnya mengesan kemaraan pesawat musuh. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]
Comments are closed.