Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“You Are In Our Territory” – Mesej Kepada Kapal “Penceroboh” China

“Hari-hari, pagi petang siang malam kita hantar mesej kepada mereka (kapal China). You are in our territory, you are in our territory,” kata Menteri Pertahanan.

0 13,885

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Aset-aset milik negara dikatakan telah menghantar mesej-mesej kepada kapal pengawal pantai China yang “menceroboh” perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik Malaysia di sekitar Beting Patinggi Ali, sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bercakap di Parlimen semalam, beliau berkata, setiap hari aset-aset milik negara telah menghantar mesej-mesej itu kepada kapal-kapal China.

“Hari-hari, pagi petang siang malam kita hantar mesej kepada mereka. You are in our territory, you are in our territory,” kata beliau sambil menambah bahawa mesej-mesej itu akan dijadikan bukti untuk dibawa ke peringkat antarabangsa.

Menteri Pertahanan bagaimanapun, tidak menyatakan apa reaksi kapal-kapal China itu apabila menerima mesej-mesej peringatan bahawa mereka berada di dalam wilayah Malaysia daripada aset-aset milik negara itu.

Beliau berkata, negara sentiasa meletakkan aset-asetnya di kawasan perairan ZEE milik negara itu untuk mengawasi kehadiran kapal-kapal China.

Minyak
Gambar Kapal Pengawal Pantai China berhampiran pelantar minyak dan gas Malaysia di perairan Sarawak. (ehsan pembaca Defence Security Asia)

 

Mengikut United Nations Convention on the Law of the Sea 1982 (UNCLOS), Beting Patinggi Ali terletak di dalam kawasan perairan ZEE negara dan adalah milik Malaysia.

“Ini adalah kawasan yang kita perlu berhati-hati kerana sebarang tindakan yang diambil kita tidak mudah mencetuskan apa-apa perbalahan. Kita mahu diselesaikan dengan baik, tetapi kita memang letak aset-aset kita,” kata Mohamad Hasan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh anggota Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman dalam sesi soal-jawap menteri.

Anggota Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu merujuk kepada laporan oleh Defence Security Asia baru-baru ini berkenaan kehadiran kapal pengawal pantai China, CCG 5901 yang juga dikenali sebagai “The Monster” di kawasan ZEE Malaysia di Beting Patinggi Ali baru-baru ini.

Pada 15 Januari lepas, Defence Security Asia melaporkan bahawa kapal pengawal pantai China CCG 5901 atau “The Monster” dilaporkan telah keluar-masuk perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia, Indonesia dan Vietnam di Laut China Selatan sejak beberapa bulan ini.

Beting Patinggi Ali
Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) dan kedudukannya di perairan Sarawak.

 

Tumpuan “kehadiran” kapal CCG 5901 aka “The Monster” dan beberapa buah kapal pengawal pantai China yang lain adalah kawasan-kawasan perairan EEZ milik ketiga-tiga negara Asia Tenggara itu yang diketahui kaya dengan sumber minyak dan gas.

Antara kawasan perairan tumpuan “The Monster” sejak kebelakangan ini adalah di Natuna (Indonesia), Beting Patinggi Ali (Malaysia) dan Vanguard Bank (Vietnam).

Dibina pada tahun 2016 oleh Jiangnan Shipyard di Shanghai, kapal CCG 5901 aka “The Monster” itu merupakan kapal pengawal pantai terbesar di dunia kerana beratnya yang mencecah sehingga 12,000 tan.

Berkemampuan meluncur selaju 25 knot, kapal gergasi itu telah digunakan oleh Beijing sejak seawal 2017 untuk melakukan rondaan di Laut China Selatan “bagi mempertahankan hak-hak maritim China.”

Tok Mat
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan

 

Dengan berat 12,000 tan itu, saiz kapal pengawal pantai China CCG 5901 itu menyamai atau lebih besar daripada kapal-kapal perang destroyer kelas-Arleigh Burke atau kapal perang cruiser kelas-Ticonderoga Tentera Laut Amerika Syarikat.

Untuk lebih tepat, saiz “The Monster” itu adalah kira-kira 30 peratus lebih besar daripada kapal-kapal perang kelas-Arleigh Burke dan Ticon Tentera Laut Amerika Syarikat . — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...