Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat “Second-Hand” Mirage 2000 Milik UAE Jadi Rebutan

Nampaknya bukan hanya Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berminat mendapatkan 33 buah pesawat pejuang “second hand” F/A-18 C/D milik Tentera Udara Kuwait,  malah banyak tentera udara negara lain juga berhasrat mendapat pesawat pejuang terpakai untuk menampung keperluan operasi mereka.

6,872

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa buah negara sedang bersaing dengan hebat dalam usaha mereka untuk membeli pesawat-pesawat pejuang Mirage 2000-9 milik Tentera Udara Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang bakal ditamatkan khidmatnya pada tahun 2026 apabila negara itu dijangkakan akan mula menerima pesawat pejuang Rafale buatan Perancis.

Nampaknya bukan hanya Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berminat mendapatkan 33 buah pesawat pejuang “second hand” F/A-18 C/D milik Tentera Udara Kuwait,  malah banyak tentera udara negara lain juga berhasrat mendapat pesawat pejuang terpakai untuk menampung keperluan operasi mereka.

Maklumlah dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini,banyak negara ini sedang berjimat-cermat dan opsyen memperolehi pesawat pejuang “second hand” yang mempunyai jangka hayat yang masih panjang adalah sesuatu yang amat menarik.

Mirage

Hasrat Malaysia untuk memperolehi pesawat pejuang terpakai F/A-18C/D Hornet milik Kuwait itu mungkin tidak kesampaian kerana laporan media sebelum ini mengatakan Kor Marin Amerika Syarikat berminat untuk memperolehi pesawat terpakai Tentera Udara Kuwait itu.

Di dalam isu 60 buah pesawat pejuang Mirage 2000-9 milik Tentera Udara UAE, negara Teluk yang kaya-raya itu memutuskan untuk membersarakan pesawat Mirage mereka apabila apabila mereka  mula menerima pesawat pejuang Rafale pada tahun 2026.

Tentera Udara UAE akan memperolehi sejumlah 80 buah pesawat Rafale F4 dan pesawat Mirage 2000-9 miliknya akan menjadi surplus kepada mereka.

Beberapa negara telah pun menunjukkan minat untuk memperolehi 60 buah pesawat pejuang Mirage 2000-9 milik Tentera UAE itu yang telah pun menjalani kerja-kerja naik taraf sebelum ini.

Negara-negara yang berminat mendapatkan pesawat pejuang “second hand” milik UAE itu termasuklah Maghribi, Mesir dan Greek.

Mirage

Bagaimanapun menurut maklumat terkini, Maghribi dan Mesir boleh mengucapkan selamat tinggal terhadap impian mereka untuk memiliki pesawat pejuang “second hand” Mirage 2000-9 milik UAE itu kerana nampaknya Athens menjadi pilihan Perancis.

Walaupun pesawat Mirage itu milik UAE, tetapi keputusan akhir mengenai penjualan pesawat itu kepada pihak ketiga tetap bergantung kepada Paris sebagai negara pembuat pesawat itu.

Ia samalah dengan niat kita untuk memperolehi 33 buah pesawat terpakai Hornet milik Kuwait, keputusan akhir sama ada kita dapat membelinya atau tidak bergantung kepada Amerika Syarikat dan bukannya Kuwait.

Memandangkan Greek mempunyai hubungan yang baik dengan Perancis, maka Presiden Emmanuel Macron dikatakan condong untuk menjual pesawat-pesawat itu kepada Greek, terutamanya selepas negara Mediterranean yang bermusuh dengan Turki itu telah pun memperolehi 24 buah pesawat Rafale.

Perancis dan Greek juga berkongsi agenda di Mediterranean terutamanya didalam menangani apa yang disifatkan mereka sebagai “dasar agresif Turki” di timur Mediterranean.

Mirage

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Selain itu Athens dan Abu Dhabi juga mempunyai hubungan diplomatik yang baik teruatamanya apabila kedua-dua negara menandatangani perjanjian persefahaman bersama di dalam bidang ketenteraan pada tahun 2020.

Berikutan perjanjian persefahaman itu, UAE telah mengerahkan empat buah pesawat F-16 miliknya ke Crete di Greek pada tahun lepas berikutan kehadiran kapal-kapal tentera laut Turki di kawasan perairan dituntut Athens di timur Mediterranean.

UAE memperolehi 60 buah pesawat Mirage pada 1986 dan 1998.

Greek dilaporkan berminat untuk memperolehi kira-kira 36 buah pesawat Mirage milik UAE itu daripada keseluruhan 60 buah yang dimilikinya,manakala pesawat Mirage selebihnya masih belum “”berpunca” dan Mesir dan Maghribi masih mempunyai peluang.

Pesawat-pesawat Mirage milik negara Teluk itu mempunyai keupayaan yang baik untuk melaksanakan operasi udara-ke-udara dan udara-ke-darat kerana dilengkapi dengan radar RDY-3, Sniper Advanced Targeting Pod, peluru berpandu udara-ke-udara “Mica”, peluru berpandu kruis SCALP-EG, peluru berpandu anti-kapal Exocet dan pelbagai bom panduan laser yang lain. — DSA

 

Comments are closed.