Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Peronda Maritim Amerika Ceroboh Ruang Udara Algeria Untuk “Buru” Kapal Selam Russia

Tindakan pesawat peronda maritim Tentera Laut Amerika Syarikat itu adalah selari dengan peningkatan aktiviti tentera laut Russia di sekitar Laut Mediterranean selepas tumbangnya rejim Bashar al-Assad di Syria, yang sebelum ini menempatkan ketumbukan tentera laut dan udara tentera Russia.

0 12,220
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah pesawat peronda maritim milik Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) P-8A Poseidon dilaporkan menceroboh ruang udara Algeria ketika mengekori (shadow) sebuah kapal selam Russia, Krasnodar (B-256) yang sedang menuju ke pelabuhan di negara Afrika Utara itu.
Menurut laman web pertahanan Arab, Defense Arabia, kehadiran kapal selam kelas-Improved Kilo itu diperairan Algeria itu diiringi oleh kapal lojistik Evgeniy Churov.
“Ini adalah kali pertama di mana pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat telah menceroboh ruang udara Algeria.”
“Pada 14 Januari, pesawat Boeing P-8A Poseidon milik Amerika Syarikat terbang selama beberapa jam dalam ruang udara Algeria berhampiran ibu negara,” menurut laman web itu.
Tindakan pesawat peronda maritim Tentera Laut Amerika Syarikat itu adalah selari dengan peningkatan aktiviti tentera laut Russia di sekitar Laut Mediterranean selepas tumbangnya rejim Bashar al-Assad di Syria, yang sebelum ini menempatkan ketumbukan tentera laut dan udara tentera Russia.
Sebelum kejatuhan rejim Bashar al-Assad di Syria, ketumbukan aset-aset tentera laut Russia ditempat di Pangkalan Laut Tartous.
Kilo
Kapal selam kelas-Improved Kilo Tentera Laut Russia “Krasnodar”
Kilo
(kredit Defense Arabia)
Kapal selam kelas-Improved Kilo Krasnodar itu merupakan sebahagian daripada Armada Laut Hitam Russia yang berpusat di Sevastopol.
Memandangkan kapal selam itu bersama-sama sebuah kapal selam lain, Novorossiysk  ditempatkan di perairan Mediterranean pada awal pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada Februari 2022, mereka tidak dapat kembali ke pelabuhan asal di Laut Hitam.
Menurut para penganalisis, kehadiran kapal selam Russia itu, Krasnodar di perairan Algeria berkemungkinan sedang menuju ke pangkalan Tentera Laut Algeria di Mers El-Kebir yang turut menempatkan kapal-kapal selam kelas-Kilo milik tentera laut negara Afrika Utara itu.
Memandangkan kedua-dua buah kapal itu adalah daripada jenis yang hampir sama, ia berpotensi mewujudkan sinergi dalam aspek bekalan dan penyelenggaraan.
Pada masa yang sama, terdapat spekulasi mengenai kemungkinan penempatan aset-aset tentera laut dan udara Russia di Libya.
Namun, sejauh mana infrastruktur yang mencukupi dapat dibangunkan di sana untuk operasi dan penyelenggaraan kapal selam masih menjadi persoalan.
Menurut penganalisis geo-politik, Tobruk berpotensi menjadi pangkalan Russia di Libya.
Poseidon
P-8A Poseidon
Russia telah menyokong Khalifa Haftar, komander Tentera Nasional Libya yang berpangkalan di Tobruk, dengan menghantar tentera upahan, membekalkan senjata, dan menyediakan bantuan latihan.
Para penganalisis bersetuju bahawa memiliki pangkalan tentera laut di rantau Mediterranean kekal sebagai kepentingan strategik bagi Moscow dan sehingga kini, Tartous merupakan satu-satunya pangkalan tentera laut Rusia di luar tanah besar.
Dari Tartous, serta pangkalan Tentera Udara Russia di Khmeimim di Syria, Moscow dapat menonjolkan kuasa tenteranya di rantau Mediterranean untuk melindungi kepentingan geopolitiknya.
Bagaimanapun, kejatuhan sekutunya Bashar al-Assad di Syria membuatkan kedudukan pangkalan-pangkalan tentera Russia di negara Arab itu iaitu Tartous dan Khmeimin menjadi terumbang-ambing terutamanya apabila Damsyik kini diperintah oleh pihak yang berlainan.
Terdapat beberapa petunjuk bahawa Libya sedang dipertimbangkan sebagai pengganti kepada Syria.
Selain itu, terdapat juga spekulasi mengenai kemungkinan penubuhan pangkalan tentera laut Rusia di Laut Merah, khususnya di Port Sudan.
Kilo
Kapal lojistik Evgeniy Churov
Kapal selam kelas-Improved Kilo Krasnodar telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh pengaruh strategik Russia di rantau Mediterranean.
Dengan keupayaan tempur canggih dan kehadiran yang sukar dikesan, ia menjadi aset bernilai dalam operasi ketenteraan Moscow, khususnya dalam mengimbangi dominasi kuasa maritim lain di wilayah tersebut.
Sebagai sebuah kapal selam serangan diesel-elektrik, Krasnodar berfungsi sebagai platform perisikan maritim yang berkeupayaan tinggi.
Ia digunakan untuk memantau pergerakan kapal perang NATO, mengesan kapal selam musuh, serta menilai aktiviti tentera laut negara-negara Mediterranean.
Dengan teknologi penyamaran akustik yang canggih, kapal selam ini mampu beroperasi secara senyap dalam tempoh yang panjang, membolehkannya mengumpul maklumat strategik tanpa dikesan pihak lawan.
Dilengkapi dengan sistem persenjataan moden, Krasnodar mampu melancarkan serangan tepat ke atas sasaran darat dan laut.
Senjata utamanya, peluru berpandu Kalibr, memberikan keupayaan serangan jarak jauh yang membolehkan kapal selam ini menggempur musuh dari bawah permukaan tanpa perlu mendedahkan kedudukannya.

Kilo

Dalam operasi ketenteraan Russia di Syria, Krasnodar pernah melancarkan beberapa serangan peluru berpandu terhadap kedudukan kumpulan bersenjata anti-kerajaan, menunjukkan keupayaan tempurnya dalam konflik sebenar.
Kehadiran Krasnodar di Mediterranean bukan sekadar meningkatkan pengaruh maritim Russia, tetapi juga menghantar mesej jelas kepada kuasa-kuasa Barat bahawa Moscow bersedia mempertahankan kepentingannya di rantau ini.
Selain operasi sebenar, Krasnodar juga digunakan untuk latihan bersama kapal perang Rusia di Mediterranean, serta menguji taktik peperangan kapal selam terhadap pasukan NATO yang kerap beroperasi di rantau ini.
Kapal selam Krasnodar ialah sebahagian daripada kelas Improved Kilo (Projek 636.3), yang merupakan versi yang dipertingkatkan daripada kapal selam diesel-elektrik kelas Kilo asal.
 Dikenali kerana operasi senyap dan keupayaan tempurnya yang berkesan, kapal selam ini direka khas untuk peperangan anti-kapal, anti-kapal selam, serta misi risikan dan pengawasan. Berikut adalah spesifikasi teknikal Krasnodar:

 

Spesifikasi Teknikal Kapal Selam Kelas-Improved Kilo (Projek 636.3) – Krasnodar
1. Dimensi dan Reka Bentuk
  • Panjang: 73.8 meter
  • Lebar: 9.9 meter
  • Draf: 6.2 meter
  • Berat (Displacement):
    • Di permukaan: ~2,350 tan
    • Ketika menyelam: ~3,950 tan
  • Reka bentuk: Reka bentuk berbentuk airfoil untuk mengurangkan seretan hidrodinamik dan meningkatkan kebolehgerakan bawah air.
2. Sistem Kuasa dan Kelajuan
  • Jenis enjin: Diesel-elektrik dengan bateri lithium-ion (hibrid)
  • Kapasiti kuasa: 5,500 hp
  • Kelajuan maksimum:
    • Di permukaan: 10 knot (19 km/j)
    • Di bawah air: 20 knot (37 km/j)
  • Kelebihan senyap: Mempunyai teknologi anechoic tiles dan sistem pengurangan bunyi untuk operasi senyap, menjadikannya sukar dikesan oleh sonar musuh.
3. Julat Operasi dan Ketahanan
  • Julat pelayaran: 7,500 batu nautika (13,900 km) pada kelajuan 7 knot
  • Ketahanan bawah air: Sehingga 45 hari dengan bekalan penuh
  • Kedalaman maksimum selaman:
    • Operasi biasa: 240 meter
    • Maksimum: 300 meter
Kilo
Krasnodar
4. Persenjataan
  • Tiub torpedo: 6 tiub torpedo berkaliber 533 mm
  • Peluru berpandu:
    • Peluru berpandu jelajah 3M-54 Kalibr (NATO: SS-N-27 Sizzler) – Mampu menyerang sasaran darat dan laut dengan jarak maksimum ~2,500 km.
    • Kemungkinan keupayaan peluru berpandu hipersonik dalam masa depan.
  • Torpedo:
    • Torpedo 53-65KE anti-kapal
    • Torpedo TEST-71 anti-kapal selam
  • Perluru berpandu anti-kapal selam: 91RE1 (varian Kalibr)
  • Peluru berpandu pertahanan udara: Sistem Igla-M (untuk menembak jatuh pesawat dan helikopter musuh)
  • Peralatan peperangan ranjau: Mampu membawa dan meletakkan periuk api laut untuk operasi sekatan maritim.
Krasnodar adalah kapal selam diesel-elektrik yang berkeupayaan tinggi, direka untuk memenuhi keperluan peperangan moden.
Dengan kebolehan serangan jarak jauh, teknologi penyamaran akustik yang canggih, dan keupayaan menjalankan operasi perisikan maritim, kapal selam ini merupakan aset strategik Russia dalam menghadapi cabaran geopolitik di Mediterranean dan seterusnya.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.