Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sekeping Gambar Buatkan Tentera Laut Amerika Syarikat Jadi “Bahan Lawak” Seluruh Dunia

Gara-gara sekeping gambar seorang komandernya memegang senjata dengan skop raifal yang terbalik, Tentera Laut Amerika Syarikat telah menjadi bahan lawak bukan sahaja dikalangan rakan seperjuangan dalam Angkatan Tentera Amerika Syarikat tetapi juga seluruh dunia.

0 36,682

(DEFENCE SECURITY ASIA) –Disebabkan sekeping gambar yang disiarkannya (sebelum ditarik balik), Tentera Laut Amerika menjadi bahan lawak bukan sahaja dikalangan rakan-rakan seperjuangannya dalam Angkatan Tentera Amerika Syarikat tetapi juga anggota tentera seluruh dunia.

Semuanya gara-gara sekeping gambar yang disiarkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat menerusi akaun Istagram miliknya beberapa hari lalu yang menunjukkan pegawai memerintah kapal destroyer USS John S.McCain Komander Cameron Yaste sedang memegang raifal M4 sambil melihat menerusi skop raifal (rifle scope).

Apa yang menarik perhatian ramai terhadap gambar yang dikeluarkan oleh akaun Instagram Tentera Laut Amerika Syarikat itu adalah kedudukan skop raifal digunakan oleh komander kapal perang Amerika Syarikat yang telah dipasang secara terbalik.

Malah kedudukan alat pemegang (foregrip) senjata api itu juga dipasang agak pelik.

Posting gambar Komander Cameron memegang senjata api dengan skop raifal jelas terbalik itu diiringi dengan kapsyen,”Daripada terlibat dengan latihan menembak, melaksanakan penyelenggaraan, menguji ketulenan bahan api dan terlibat dalam perkara-perkara di perairan dan lain-lain. Tentera Laut Amerika Syarikat sentiasa bersedia untuk berkhidmat dan menjadi pelindung.”

Amerika Syarikat
Kor Marin Amerika Syarikat mengeluarkan gambar menunjukkan anggotanya mengoperasikan senjata api dengan kedudukan skop raifal telah dipasang dengan betul. (USMC)

 

Gambar itu diambil ketika USS John S. McCain sedang bertugas di kawasan operasi Armada ke-7.

Kedudukan skop raifal yang secara jelas telah dipasang terbalik telah mengundang pelbagai reaksi daripada komuniti ketenteraan bukan sahaja di Amerika Syarikat tetapi juga di seluruh dunia, yang menganggap negara kuasa besar dunia itu sebagai kuasa ketenteraan nombor satu dunia.

Ada dikalangan netizan menyatakan bahawa Hollywood juga tidak mungkin melakukan kesilapan sebagaimana dilakukan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat yang memasang skop raifal secara terbalik.

Tidak lama selepas menyiarkan gambar itu yang telah mengundang pelbagai reaksi dan komen-komen nakal, Tentera Laut Amerika Syarikat telah menarik balik gambar itu.

Antara yang paling awal membuat lawak hasil daripada penyiaran gambar “komedi” oleh Tentera Laut Amerika Syarikat adalah Kor Marin Amerika Syarikat (USMC – United States Marine Corps).

Kor Marin Amerika Syarikat telah mengeluarkan sekeping gambar menunjukkan anggotanya sedang melepaskan tembakan menggunakan senjata api mereka sambil melihat menerusi skop raifal mereka yang dipasang dengan betul.

Amerika Syarikat
USS John S.McCain

 

Anggota Kor Marin Amerika Syarikat itu melepaskan tembakan dalam latihan di atas kapal Amphibious Assault Ship USS Boxer.

Kapsyen gambar oleh USMC itu diiringi dengan kapsyen,”Clear Sight Picture (Penglihatan Yang Jelas)”, yang merupakan satu sindiran bahawa anggota Kor Marin itu dapat melihat dengan jelas sasarannya kerana skop raifalnya telah dipasang dengan betul.

Wakil rakyat negara itu, Perwakilan Mike Collins (Republikan) turut tidak terlepas dalam memberikan sindirannya dengan menyatakan bahawa Tentera Laut Amerika Syarikat kini mempunyai senjata baru.

“Ini adalah senjata baru yang digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat,” katanya menerusi akaun X (dahulu dikenalisebagai X). — DSA

 

Comments
Loading...