Varian Terkini JF-17 Block III Tentera Udara Pakistan Tonjol Kemampuan Dalam Spears of Victory 2025
Pesawat-pesawat pejuang JF-17 Block III Tentera Udara Pakistan yang mengambil bahagian dalam latihan udara pelbagai negara Spears of Victory 2025 anjuran Arab Saudi itu telah menunjukkan keupayaan tempurnya ketika berhadapan dengan pesawat pejuang yang lain, sekali gus meraih pengiktirafan atas kelebihan teknologi dan potensi operasinya.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, pesawat pejuang JF-17 Block III milik Tentera Udara Pakistan telah terlibat dengan latihan udara pelbagai negara Spears of Victory 2025 yang dianjurkan oleh Pusat Peperangan Udara (Air Warfare Center) Tentera Udara Diraja Arab Saudi.
Latihan udara pelbagai negara itu yang berlangsung daripada 26 Januari hingga 6 Februauri menghimpunkan pelbagai pesawat pejuang milik pelbagai tentera udara dan menguji pelbagai senario yang berkemungkinan dihadapi mereka dalam waktu konflik.
Spears of Victory 2025 tertumpu kepada menangani usaha ancaman semasa dan bakal menyusul, bertujuan meningkatkan lagi keupayaan taktikal serta menggalakkan strategi operasi bersama.
Sebagai penganjur, Tentera Udara Diraja Arab Saudi telah menampilkan pesawat-pesawat pejuang F-15, Eurofighter Typhoon dan Tornado miliknya manakala Tentera Bahrain telah mengerah pesawat-pesawat pejuang F-16 miliknya.
Tentera Udara Perancis menampilkan pesawat pejuang Rafale, Tentera Udara Qatar pula mengerahkan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, Emiriah Arab Bersatu (Mirage 2000-5), United Kingdom (Eurofighter Typhoon) manakala Amerika Syarikat pula telah menghantar peswat-pesawat pejuang F-16 miliknya.
Tentera Udara Australia, Mesir, Jordan, Itali, Maghribi dan Sepanyol pula telah menghantar pasukan pemerhati.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Inter-Services Public Relation (ISPR) Pakistan, untuk menyertai latihan udara pelbagai negara itu, pesawat pejuang JF-17 Block III milik Tentera Udara Pakistan telah melakukan penerbangan jauh tanpa henti daripada pangkalannya di Pakistan ke Arab Saudi dengan mengaplikasikan pengisian minyak di udara.
Ia adalah satu daripada pencapaian penting bagi pesawat pejuang itu, membuktikan kemampuannya daripada melaksanakan operasi jarak jauh tanpa masalah.
“Untuk penugasan antarabangsa ini, pesawat pejuang Tentera Udara Pakistan (JF-17 Block III) telah melaksanakan penerbangan tanpa henti dari pangkalan mereka di Pakistan ke Arab Saudi dan kembali, dengan menjalankan pengisian bahan api udara ke udara semasa penerbangan.”
“Ini menunjukkan keupayaan operasi jarak jauh pesawat JF-17 Block-III,” menurut kenyataan Inter-Services Public Relations (ISPR).
ISPR juga menyatakan bahawa pesawat-pesawat pejuang JF-17 Block III Tentera Udara Pakistan yang mengambil bahagian dalam latihan udara pelbagai negara Spears of Victory 2025 anjuran Arab Saudi itu telah menunjukkan keupayaan tempurnya ketika berhadapan dengan pesawat pejuang yang lain, sekali gus meraih pengiktirafan atas kelebihan teknologi dan potensi operasinya.
Pesawat pejuang JF-17 itu dibangunkan secara bersama oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG), dengan varian terkininya adalah Block III.
Pesawat pejuang JF-17 Block III dilaporkan memiliki DNA pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon”.
Varian terbaru pesawat pejuang JF-17 Block III itu lebih moden dan berkeupayaan kerana ia turut dilengkapi dengan teknologi pesawat pejuang generasi kelima, J-20 dan dibangunkan sejak dua tahun lepas.
Antara kemampuan terbaru JF-17 Block III berbanding JF-17 Block II adalah ia dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “KLJ-7A” yang dibangunkan oleh syarikat teknologi China iaitu China Electronics Technology Group.
Pesawat pejuang JF-17 Block III turut dilengkapi dengan Helmet Mounted Display and Sight (HMD/S) dan sistem bersepadu Electronic Countermeasures (ECM).
Penganalisis tentera China mendakwa radar AESA KLJ-7A adalah setanding dengan radar AN/APG-81 yang dimiliki oleh pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat, F-35 dan radar N036 phased array radar yang digunakan oleh pesawat Su-57 Russia.
Bagi sistem persenjataan udara-ke-udara pula, pesawat JF-17 Block 3 ini akan dilengkapi dengan dua jenis peluru berpandu iaitu PL-10 yang turut digunakan oleh pesawat termoden China, J-20 “Mighty Dragon.”
Peluru berpandu udara-ke-udara “PL-10” adalah peluru berpandu jarak dekat yang setanding dengan peluru berpandu AIM-9X buatan Amerika Syarikat.
Satu lagi peluru berpandu udara-ke-udara yang melengkapkan pesawat JF-17 Block 3 adalah “PL-15” yang memiliki jarak operasi sejauh 200km hingga 300km, memberikan kelebihan berbanding peluru berpandu udara-ke-udara dimiliki oleh pesawat-pesawat India.
PL-15 merupakan peluru berpandu udara ke udara (AAM) standard China yang dilengkapi panduan radar aktif, dan dikatakan direka bukan sahaja untuk menyamai tetapi mengatasi prestasi peluru berpandu udara ke udara AIM-120D AMRAAM buatan Amerika Syarikat.
Peluru berpandu udara ke udara PL-15 itu menggunakan motor roket dwi-nadi (dual-pulse motor) yang memberikan ia jarak operasi sehingga 124 batu (200 km).
Satu lagi ciri penting adalah “two-day datalink” yang membolehkan pesawat mengemaskini panduan (guidance) kepada peluru berpandu tersebut.
Seeker peluru berpandu udara ke udara PL-15 ini menggunakan teknologi Active Electronically Scanned Array (AESA) dengan mod aktif dan pasif, yang dikatakan menawarkan daya tahan lebih baik terhadap terhadap usaha-usaha countermeasures musuh berbanding peluru berpandu udara ke udara China sebelumnya.

