Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Penduduk Kuala Terengganu Temui Objek Seakan Torpedo. Adakah Ia Dron Dasar Laut (UUV) ???

Adakah objek seakan-akan torpedo yang ditemui oleh orang ramai di Pantai Seberang Takir, Kuala Terengganu itu adalah sebuah Dron Dasar Laut (UUV-Unmanned Underwater Vehicle) yang mempunyai dwi-kegunaan iaitu untuk penyelidikan marin dan juga ketenteraan?

0 12,787
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Satu objek besi berbentuk seakan-akan sebuah torpedo telah ditemui oleh orang awam terdampar di Pantai Seberang Takir, Kuala Terengganu kira-kira 7.30 pagi tadi, dalam berita yang disiarkan oleh agensi berita nasional Malaysia (Bernama).
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 7.30 pagi tadi yang memaklumkan penemuan objek berbentuk seakan torpedo sepanjang 2.7 meter.
Dipetik oleh Bernama, beliau berkata pemeriksaan dijalankan oleh unit pemusnah bom di lokasi mendapati objek seberat 70 kilogram (kg) berbentuk torpedo yang mempunyai banyak pendawaian itu bukanlah bom seperti disangka oleh orang ramai.
 Hasil ujian juga mendapati objek itu bebas daripada bahan radiasi berbahaya, katanya.
“Sebaliknya ia adalah alat kajian marin yang dianggar bernilai RM1 juta,” katanya dan menambah bahawa pihak polis sedang mengesan pemilik objek tersebut yang dipercayai dihanyutkan ombak Monsun Timur Laut (MTL).
“Kita sedang mengesan pemilik objek berkenaan. Tiada tanda ia milik syarikat…kita percaya ia milik sebuah universiti tempatan,” kata beliau sebagaimana menurut laporan oleh Bernama.
Walaupun pihak polis tempatan hanya menyatakan objek tersebut seakan-akan sebuah torpedo, tetapi ia sudah pasti bukan sebuah torpedo.
UUV
Objek seakan torpedo ditemui di pantai di Kuala Terengganu.
Terdapat kemungkinan ia adalah sebuah Dron Dasar Laut atau Underwater Unmanned Vehicle (UUV).
Beberapa tahun kebelakangan ini, nelayan-nelayan di Indonesia dan Filipina turut telah menemui beberapa objek berbentuk seakan-akan torpedo di perairan mereka, yang kemudiannya telah disahkan oleh pakar-pakar tempatan sebagai Dron Dasar Laut atau UUV.
Walaupun Dron Dasar Laut (UUV) ini sememangnya bertujuan untuk kajian dan penyelidikan marin, tetapi dalam masa yang sama juga ia mempunyai fungsi ketenteraannya.
Dron Dasar Laut ini boleh disifatkan sebagai alatan yang mempunyai dwi-kegunaan (dual-use) iaitu untuk awam dan ketenteraan.
Insiden terbaru penemuan UUV oleh nelayan Filipina berlaku di pesisir pantai di Masbate, hanya pada Disember tahun lepas.
Menurut laporan media tempatan, seorang nelayan telah menemui sebuah kenderaan Dron Dasar Laut (UUV) kira-kira enam batu nautika (sembilan kilometer) dari pesisir perairan daerah San Pascual, Masbate — sebuah wilayah kepulauan yang terletak di bahagian tengah Filipina — pada 30 Disember 2024.

UUV

Dron Dasar Laut sepanjang kira-kira dua meter itu kemudiannya diserahkan kepada Polis Kebangsaan Filipina (PNP) sebelum diserahkan seterusnya kepada Tentera Laut Filipina untuk tindakan lanjut.
Gambar-gambar yang dikeluarkan oleh Polis Kebangsaan Filipina (PNP) menunjukkan tanda “HY-119” dan “HY-L0119” tertera pada bahagian belakang dron tersebut.
“Berdasarkan hasil penyelidikan sumber terbuka di internet… HY-119 merujuk kepada sistem navigasi dan komunikasi bawah laut buatan China,” kata Pengarah Polis Wilayah Bicol, Brigedier Jeneral Andre Dizon kepada media tempatan Filipina.
“Objek ini ini dilengkapi dengan antenna dan lensa yang berfungsi untuk tujuan visual. Berdasarkan maklumat yang diperoleh, ia berkemungkinan digunakan bagi tujuan pemantauan dan peninjauan.”
Dron Dasar Laut yang ditemui berhampiran perairan San Pascual, Filipina itu kelihatan hampir sama, sekurang-kurangnya dari segi luaran, dengan objek yang pernah dijumpai oleh nelayan Indonesia dalam sekurang-kurangnya tiga insiden berasingan antara tahun 2019 hingga 2020.
Dron-dron dasar laut yang ditemui di perairan Filipina dan Indonesia itu juga menunjukkan persamaan ketara dengan model UUV jenis peluncur laut (sea-glider) jenis “Sea Wing” buatan China, yang dibangunkan oleh Akademi Sains China (CAS), sebuah institusi penyelidikan milik kerajaan China, lebih sedekad lalu.
UUV
Drone Dasar Laut China ditemui nelayan Filipina Disember lepas.
Laporan sebelum ini oleh media China menyatakan bahawa dron dasar laut Sea Wing mampu beroperasi sehingga 30 hari dan menyelam pada kedalaman hampir empat batu nautika.
Nelayan-nelayan Indonesia telah menemui apa yang disyaki adalah Dron Dasar Laut pada 19 Januari 2021 di kawasan tepi pantai di  Air Putih, Pulau Anambas.
Objek berwarna biru berukuran 1.5 meter dan seberat 25 kilogram itu yang ditemui oleh nelayan Indonesia dan anaknya itu mempunyai tulisan Cina yang sudah pudar disisinya.
Menurut pakar kapal selam dikenali H I Sutton dari Covert Shores di platform Twitter (kini X) @CovertShores, beliau percaya objek berwarna biru yang ditemui oleh nelayan Indonesia adalah sensor dasar laut (underwater sensor) milik China.
Sensor Dron Dasar Laut itu dan tulisan berbahasa Cina di objek itu menunjukkan ia berkemungkinan adalah floating sensor untuk kegunaan remote sensing atau radio communications.
Pada 20 Disember, 2020, seorang nelayan di Indonesia dikenali dengan nama “Saeruddin” dilaporkan telah menemui Dron Dasar Laut atau UUV jenis Sea Wing dipercayai milik China di perairan Pulau Selayar, Selatan Sulawesi.
uuv
Dron Dasar Laut ditemui nelayan Indonesia pada 2016.
UUV
Sebuah dron dasar laut ditemui nelayan Indonesia pada 2020.
Penemuan UUV itu berhampiran Selat Sunda menimbulkan kemungkinan bahawa China sedang memeta laluan dasar laut bagi membolehkan kapal selamnya belayar daripada Laut China Selatan ke Lautan Hindi.
Selat Sunda dan Selat Lombok merupakan selat yang menghubungkan Laut China Selatan dengan Lautan Hindi.
Sekiranya Selat Melaka ditutup pada sebarang aktiviti perkapalan berikuta konflik, maka China dipercayai akan menggunakan laluan alternatif bagi kapal-kapalnya termasuk kapal selam.
Pada Januari 2020, sebuah dron dasar laut Sea Wing juga telah ditemui di Masalembu yang terletak kira-kira 400 batu di barat Pulau Selayar, manakala pada Mac 2020 pula, objek yang sama juga telah  ditemui di kepulauan Riau, berhampiran dengan Natuna.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.