Muara Tebas Berkemungkinan Menjadi Pangkalan Operasi Hadapan Kapal Selam TLDM
Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia berkata, Muara Tebas tidak mempunyai masalah untuk menjadi transit kapal selam berikutan geografinya yang semula jadi seperti keadaannya yang landai dan mempunyai kedalaman laut sedalam 14 meter.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak menolak kemungkinan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) yang bakal dibina di Muara Tebas,Kuching boleh menjadi pangkalan operasi hadapan (forward operating base) untuk kapal-kapal selam miliknya.
Datuk Zulhelmy Ithnain berkata, Muara Tebas tidak mempunyai masalah untuk menjadi transit kapal selam berikutan geografinya yang semula jadi seperti keadaannya yang landai dan mempunyai kedalaman laut sedalam 14 meter.
“Untuk (Muara Tebas) masuk sebagai transit kapal selam, boleh tiada masalah. Namun, untuk kita aturkan kapal selam itu dari sini (Muara Tebas) sebagai pangkalan operasi hadapan, saya boleh katakan ada kemungkinannya.
“Untuk pelabuhan kapal, kita memang akan tengok kesesuaiannya sama ada kita boleh berlabuh untuk ulang bekal dan sebagainya,” katanya, sebagaimana dilaporkan oleh Bernama ketika melakukan lawatan ke Muara Tebas hari ini bersama-sama Panglima Angkatan Tentera Datuk Mohd Nizam Jaffar hari ini.
Beliau berkata kedalaman laut dan keluasan kawasan di Muara Tebas itu membolehkan kapal-kapal berukuran di antara 100 hingga 120 meter untuk beroperasi.
Panglima TLDM berkata, kajian kebolehlaksanaan pembinaan MAWILLA 4 itu akan dijalankan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) selaku tuan tanah tapak projek berkenaan yang dijangka siap suku pertama tahun depan.
“Kajian kini sedang dilaksanakan SEDC dan untuk proses pembinaan ia memakan masa kira-kira tiga tahun selepas mendapat kebenaran daripada Kementerian Pertahanan.”

“Kita perlu selaraskan dengan perbelanjaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan ini menjadi projek keutamaan kepada Angkatan Tentera Malaysia … Sekiranya mendapat kebenaran awal, kita boleh mula pembinaan lebih awal lagi,” katanya.
Muara Tebas tidak terletak secara langsung di kawasan Laut China Selatan, namun ia berada agak hampir dengan perairan tersebut.
Muara Tebas merupakan sebuah perkampungan nelayan kecil yang terletak di muara Sungai Sarawak, dalam Bahagian Kuching, Sarawak.
Dari lokasi ini, aliran Sungai Sarawak menuju terus ke Laut China Selatan, justeru, walaupun Muara Tebas berada di kawasan muara sungai, laut terbuka terletak hanya sekitar 20 hingga 30 kilometer dari situ, bergantung kepada laluan pelayaran yang digunakan.
Semalam, Panglima Angkatan Tentera mengatakan bahawa Muara Tebas dipilih sebagai lokasi pembinaan Markas Wilayah Laut 4 TLDM).
Keputusan itu diambil selepas meneliti pelbagai faktor termasuk kemudahan dan kos penyelenggaraan, dengan Muara Tebas didapati lebih sesuai sebagai pangkalan baru TLDM daripada lokasi asal yang dicadangkan iaitu Bintulu.
“Perbincangan awal dengan kerajaan negeri Sarawak telah diadakan, kedua-dua pihak (kerajaan negeri dan Angkatan Tentera Malaysia) bersetuju untuk pemindahan ke Muara Tebas atas pelbagai faktor.
