Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Menteri Pertahanan Setuju Cadangan Bina Pangkalan di Beting Patinggi Ali, Tetapi …

“Pangkalan tentera di Beting Patinggi Ali. Saya amat bersetuju dengan (cadangan Ahli Parlimen) Arau tetapi kita kena ada kekuatan. Tidak guna kita bina penempatan, tetapi kita tidak boleh kawalnya. Jadi kita bina kekuatan dahulu.” -- Menteri Pertahanan

0 2,142

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan persetujuannnya terhadap cadangan anggota Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim supaya kerajaan membina pangkalan tentera di Beting Patinggi Ali.

Bagaimanapun beliau menjelaskan bahawa kerajaan akan hanya membina pangkalan tentera di Beting Patinggi Ali selepas “memiliki kekuatan.”

“Pangkalan tentera di Beting Patinggi Ali. Saya amat bersetuju dengan (cadangan Ahli Parlimen) Arau tetapi kita kena ada kekuatan. Tidak guna kita bina penempatan, tetapi kita tidak boleh kawalnya. Jadi kita bina kekuatan dahulu.”

“Insyallah, selepas ada kekuatan, sudah ada pangkalan laut Markas Wilayah Laut 4, 31 Briged di Bintulu, open base TUDM di Bintulu kita akan beransur-ansur perkasakan supaya kita pastikan kedudukan kita di situ tidak dapat dicabar,” kata beliau.

Menteri Pertahanan berkata demikian selepas menjawab soalan Shahidan pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan, di Dewan Rakyat hari ini.

Beting Patinggi Ali
Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals).

 

Beting Patinggi Ali terletak pada berkedudukan batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak dan terletak dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia.

Beting ini berada di kedudukan paling selatan dalam gugusan Kepulauan Spratly dan sejak beberapa tahun lepas kawasan perairan di sekitar beting ini sering diceroboh oleh kapal-kapal pengawal pantai China.

Kawasan perairan di sekeliling Beting Patinggi Ali menyimpan kandungan minyak dan gas yang besar.

Laporan daripada Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) yang berpengkalan di Washington menyatakan bahawa kapal-kapal pengawal pantai China melakukan rondaan di Beting Patinggi Ali sebanyak 316 hari dalam setahun pada tahun lepas.

Walaupun Menteri Pertahanan memberikan reaksi positif terhadap cadangan ahli Parlimen Arau supaya didirikan sebuah pangkalan tentera di Beting Patinggi Ali, sebagaimana dilakukan oleh kerajaan di Pulau Layang-Layang, namun jawapannya di Dewan Rakyat pada Jun lepas adalah berlainan.

Walaupun perairan sekitarnya kerap diceroboh oleh kapal-kapal pengawal pantai China, namun Kementerian Pertahanan menurut Mohamad Hasan, tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membangunkan Stesen Luar Pantai di Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals).

Kapal China
Gambar Kapal Pengawal Pantai China di platform minyak dan gas dipercayai di luar pantai Sarawak. (ehsan pembaca Defence Security Asia)

 

Ia dinyatakan sendiri oleh Menteri Pertahanan dalam jawapan bertulis kepada soalan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Dr Haji Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) pada 14 Jun yang lalu.

Dzulkefly yang merupakan bekas Menteri Kesihatan bertanya sama ada kementerian mempunyai perancangan membangunkan Stesen Luar Pantai di Beting Patinggi Ali untuk meletakkan aset-aset ketenteraan negara, sebagaimana apa yang dilakukannya di Sabah dan Semenanjung Malaysia.

“Kementerian Pertahanan tidak berhasrat untuk melaksanakan pembangunan di Beting Patinggi Ali (BPA),” kata Mohamad Hasan dalam jawapan bertulis beliau itu. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...