Sistem MERAD TUDM Bakal Undang Persaingan Sengit Syarikat Antarabangsa
Setakat ini Defence Security Asia dimaklumkan bahawa beberapa syarikat antarabangsa telah pun membuat “promosi awal” kepada Kementerian Pertahanan dan TUDM, dengan jangkaan bahawa Kementerian Pertahanan akan membuka tender perolehan sistem MERAD (Medium Air Defence System) itu sama ada tahun ini atau tahun depan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada tahun 2024 dan 2025, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan mengoperasikan tujuh aset baru termasuk sistem pertahanan udara jarak sederhana (MERAD – Medium Range Air Defence).
Baru-baru ini Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dalam satu temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Melayu negara berkata, TUDM telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk memperolehi satu bateri sistem MERAD.
Bagaimanapun Kementerian Kewangan sebagai pemegang kantung duit negara masih belum memberikan kelulusan berkenaan permohonan daripada TUDM itu.

TUDM merancang perolehan satu bateri sistem pertahanan udara jarak sederhana dalam setiap Rancangan Malaysia bermula daripada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) hingga ke RMK15.
“Permohonan perolehan satu Bateri MERAD di dalam setiap RMK bermula RMKe-12 sehingga RMKe-15 bagi melengkapkan keperluan satu rejimen MERAD (4 Bateri). Buat masa ini permohonan 1 x Bateri di dalam RMKe-12 masih belum diluluskan di peringkat MOF (Kementerian Kewangan),” kata beliau dalam temuramah itu.
RMK-12 bermula daripada tahun 2021 hingga 2025 manakala RMK-13 (2026 hingga 2030), RMK-14 (2031 hingga 2035) dan RMK-15 daripada tahun 2036 hingga tahun 2040,” kata Panglima TUDM itu.
Walaupun permohonan TUDM untuk memperolehi satu bateri sistem MERAD masih lagi belum diluluskan oleh Kementerian Kewangan, tetapi ia tidak menghalang syarikat-syarikat pembuat sistem MERAD untuk menonjolkan sistem mereka bagi tujuan menarik perhatian TUDM dan Kementerian Pertahanan.
Setakat ini Defence Security Asia dimaklumkan bahawa beberapa syarikat antarabangsa telah pun membuat “promosi awal” kepada Kementerian Pertahanan dan TUDM, dengan jangkaan bahawa Kementerian Pertahanan akan membuka tender perolehan sistem MERAD itu sama ada tahun ini atau tahun depan.

Syarikat-syarikat terbabit juga telah menyediakan pakej yang menarik kepada Malaysia sekiranya negara memilih sistem MERAD mereka, terutamanya membabitkan isu Transfer-Of-Technology (TOT).
Walaupun TUDM merancang untuk memperolehi satu bateri sistem MERAD pada RMK12, tetapi jangkaannya adalah perolehan satu bateri ini adalah menyusul dengan pembelian bateri-bateri sistem MERAD seterusnya pada Rancangan Malaysia yang berikutnya.
Comments are closed.