Pesawat Leonardo M-346 Jumpa Pelanggan Terbaru….
Pesawat latihan lanjutan M-346 adalah pesawat latihan yang moden dan sesuai untuk transisi juruterbang kepada pesawat-pesawat pejuang generasi ke-4+++ dan generasi ke-5 termasuk untuk pesawat F-35.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Negara Teluk, Qatar menjadi pelanggan terbaru bagi pesawat latihan, M-346 yang dibangunkan oleh syarikat Itali, Leonardo yang mengesahkan perolehan pesawat itu oleh negara berkenaan baru-baru ini.
Leonardo juga dikatakan menawarkan pesawat M-346 kepada Malaysia untuk memenuhi keperluan Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Syarikat itu berkemungkinan menawarkan kombinasi varian M-346 untuk latihan lanjutan juruterbang serta M-346 (Fighter Attack) yang khususnya untuk tujuan serangan ringan bagi memenuhi keperluan TUDM.
Syarikat Leonardo mengesahkan perolehan enam buah pesawat latihan lanjutan M-346 oleh Qatar selepas tiga buah daripada pesawat itu terlibat dalam lintas udara di negara berkenaan.
Tahun lepas, syarikat menyatakan bahawa ia telah menjual sejumlah pesawat latihan kepada sebuah negara yang tidak didedahkan identitinya, yang berkemungkinan merujuk kepada Qatar sebagai negara yang membeli itu.

Selain daripada Qatar, pesawat latihan itu turut dibeli oleh Singapura yang memperolehi 12 buah pesawat, 16 buah oleh Poland dan 30 buah oleh Israel.
Greek juga dilaporkan memperolehi 10 buah pesawat latihan itu dalam kerjasama dengan Israel untuk melatih juruterbang-juruterbangnya.
Leonardo memberitahu media pertahanan antarabangsa, Defense News bahawa perolehan enam buah pesawat M-346 oleh Qatar itu merupakan sebahagian daripada perjanjian perolehan pesawat dan latihan yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak pada November tahun 2020.
Perjanjian itu menyaksikan juruterbang pelatih Qatar akan berlatih di sekolah juruterbang yang diuruskan oleh Leonardo dan Tentera Udara Itali di pangkalan udara Galatina di selatan Itali.
Sekolah berkenaan kini memiliki 18 buah pesawat latihan M-346.
Comments are closed.