Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jika TUDM “Pelik”, Banyak Tentera Udara Negara Lain Juga “Pelik”

Keputusan TUDM menggunakan pesawat pejuang daripada dua blok kuasa yang berlainan tidak "pelik", kerana banyak tentera udara negara lain turut mempraktikkan perkara yang sama dengan menggabungkan pesawat-pesawat pejuang Russia dan negara Barat dalam angkatan tentera udara mereka.

0 1,939

Artikel ini pernah disiarkan pada 30 Oktober 2021

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini sebuah majalah terkenal Amerika Syarikat “Forbes” menyifatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai “di antara tentera udara yang pelik di dunia” (one of the world’s weirdest air forces) kerana mengoperasikan pesawat-pesawat pejuang keluaran syarikat daripada pelbagai negara seperti Amerika Syarikat, Russia, British, Perancis dan lain-lain.

Penulis artikel itu, David Axe menyifatkan kombinasi pesawat-pesawat pejuang yang digunakan oleh TUDM daripada Hawk 108 dan Hawk 208 Britain kepada Sukhoi Su-30MKM daripada Russia dan F/A-18D yang diperbuat oleh firma Amerika Syarikat adalah amat pelik.

“Kebanyakkan tentera udara cuba untuk meminimakan perbezaan (jenis dan pembuat) pesawat di dalam perkhidmatan mereka untuk memastikan kos penyelenggaraan dan latihan pada tahap yang rendah,” menurut penulis dalam artikelnya di majalah Forbes itu.

Pendapat penulis itu berkait dengan latihan udara pada 24 Sept yang lalu melibatkan sebuah pesawat pengebom B-52 “Stratofortress” United States Pacific Air Force (US PACAF) mengadakan latihan PASSEX (Passing Exercise) dengan pesawat-pesawat pejuang TUDM di Selat Melaka.

Apa yang “memeranjatkan” penulis artikel Forbes itu adalah, latihan pesawat pengebom B-52 Amerika itu membabitkan emlat jenis pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM ) yang berlainan iaitu Sukhoi Su-30 MKM, F/A-18D Hornet, Hawk 208 dan pesawat pengangkut A400M “Atlas.”

Russia, Amerika Syarikat, British dan Perancis. Itu yang menarik perhatian penulis terbabit.

TUDM
Pesawat-pesawat TUDM mengadakan latihan PASSEX dengan pesawat B-52 Stratofortress Tentera Udara Amerika Syarikat Pasifik (US PACAF) baru-baru ini. Gambar kredit TUDM

 

Bagi David,  apa yang menarik dilihat daripada latihan itu adalah bagaimana sebuah pesawat pengebom Amerika Syarikat telah “disambut” oleh kombinasi pesawat-pesawat pejuang dimiliki oleh TUDM.

Penggunaan pesawat-pesawat pejuang terutamanya daripada Amerika Syarikat dan Russia oleh TUDM itulah yang menarik perhatian penulis sehingga beliau melabel tentera udara kita sebagai “pelik”.

“Pemandangan tiga jenis pesawat berlainan, kesemuanya daripada sebuah tentera udara yang kecil, berkumpul di sisi pesawat pengebom Amerika Syarikat, ia adalah permandangan yang jarang-jarang berlaku,” kata David.

Bagaimanapun, bagi negara-negara yang mengambil pendekatan berkecuali (non-aligned) dalam dasar luar dan pertahanannya seperti Malaysia, ia bukanlah sesuatu yang pelik untuk membeli sistem pertahanan mereka daripada negara-negara blok kuasa yang berlainan.

Penulis majalah “Forbes” itu turut mengakui bahawa negara-negara berkecuali seperti Malaysia kadangkala cuba untuk mengekalkan hubungan diplomatik dengan pelbagai negara seperti Amerika Syarikat dan Russia dengan membahagi-bahagikan perolehan pesawat pejuang mereka

Keputusan TUDM menggunakan pesawat pejuang daripada dua blok yang berlainan juga seharusnya tidak dipandang pelik oleh mana-mana pihak, kerana banyak tentera udara negara lain turut mempraktikkan apa yang dilakukan oleh tentera udara negara kita iaitu menggabungkan pesawat Russia dan Barat dalam angkatan udara mereka.

Banyak negara lain mempraktikkanya selain daripada Malaysia dan TUDM.

TUDM
Hawk 208

Kita tidak perlu melihat dengan jauh kerana negara jiran terdekat itu iaitu Indonesia turut menggunakan pesawat pejuang daripada dua blok, iaitu Sukhoi Su-30 yang diperbuat oleh Russia dan F-16 daripada Amerika Syarikat.

Malah, Jakarta cuba untuk mengukuhkan “gabungan” teknologi dua blok ini dengan cadangan untuk memperolehi pesawat pejuang Sukhoi Su-35 buatan Russia dan Dassault Aviation “Rafale” daripada Perancis.

Tentera Indonesia bukan sahaja menggunakan pesawat-pesawat pejuang daripada dua blok, tetapi tentera daratnya juga menggabungkan sistem persenjataan daripada Russia dan Amerika Syarikat serta beberapa negara lain.

Selain Indonesia, Tentera Udara India turut menggabungkan pesawat pejuang daripada Russia, Su-30MKI, MiG-21 dan lain-lain dengan pesawat-pesawat pejuang Barat yang lain seperti Rafale dan Mirage.

Dan kini, Amerika Syarikat pula sedang mempromosi pesawat pejuang versi terbarunya, F-15 untuk menarik India untuk membelinya.

India dan Indonesia membuktikan bahawa TUDM bukanlah sebuah tentera udara yang pelik di dunia sebagaimana didakwa oleh penulis majalah “Forbes” itu, hanya kerana ia menggabungkan pesawat-pesawat pejuang daripada Russia dan Amerika Syarikat serta negara-negara Barat.

TUDM
Gambar kredit TUDM

 

India dan Indonesia adalah contoh terdekat, tetapi di seluruh dunia banyak lagi contoh-contoh negara yang “mengambil laluan yang sama” seperti TUDM dalam menggabung pesawat pejuang daripada dua blok yang dahulunya bertelagah daripada segi ideology.

Tentera Udara Jerman pada suatu ketika turut menggunakan MiG-29 Fulcrum yang diwarisinya daripada Jerman Timur.

Bagaimanapun, pada ketika ini banyak negara-negara yang pernah menganggotai Warsaw Pact  telah menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang buatan Russia dan menggantikannya dengan pesawat-pesawat pejuang Barat, tetapi ini berkemungkinan lebih disebabkan oleh “tekanan” geo-politik pihak tertentu daripada kelemahan teknologi blok Russia itu.

Kita semua tahu tentang CAATSA (Countering Americas Adversaries Through Sanctions Act (CAATSA).

Sebenarnya, bagi tentera udara Malaysia, India dan Indonesia serta banyak lagi tentera udara negara-negara di dunia yang memilih “laluan yang sama” iaitu menggabungkan pesawat pejuang daripada dua blok kuasa, mereka amat bertuah.

Bertuah kerana memiliki pesawat pejuang daripada dua blok kuasa yang berlainan telah membolehkan mereka menguasai dua jenis teknologi yang berlainan, iaitu teknologi Russia dan teknologi Amerika Syarikat dan Barat.

We are getting the best of both worlds, tetapi kelebihan itu sebenarnya datang dengan kos.

TUDM
Gambar kredit TUDM

 

Salah satu kos yang harus ditempuh oleh negara-negara yang memilih laluan “berliku” dengan menggabungkan pesawat pejuang daripada pelbagai negara melibatkan urusan logistik dan penyelenggaran pesawat yang “memeningkan kepala.”

Mungkin itu adalah salah satu sebab mengapa bekas negara-negara Warsaw Pact sedikit demi sedikit menamatkan khidmat pesawat pejuang legasi buatan Russia dan menggantikannya dengan pesawat buatan negara-negara Barat.

Mereka mahu meningkatkan hubungan dengan Amerika Syarikat selain elak memeningkan kepala dengan aspek dan budaya penyelenggaraan pesawat-pesawat buatan Russia.

Apa yang diperkatakan oleh penulis “Forbes” itu ada kebenaran, terutamanya bagi sebuah tentera udara yang kecil seperti TUDM dengan bajet yang terhad, ia sepatutnyanya streamline jenis-jenis pesawat pejuang yang digunakannya kepada satu atau dua sumber bagi mengurangkan kos penyelenggaran pesawat.

Lebih-lebih kita tahu (open to debate sama ada ia benar atau tidak) bahawa harga bagi pesawat-pesawat pejuang buatan Russia adalah lebih rendah ketika mula membelinya berbanding pesawat pejuang negara Barat, tetapi kos untuk menyelenggaranya dikatakan amat tinggi.

Terdapat juga dakwaan mengatakan untuk mendapatkan alat-alat ganti pesawat-pesawat pejuang Russia ini “memakan masa yang panjang” serta melibatkan proses yang amat kompleks.

TUDM
Pesawat F/A-18D Hornet TUDM .

 

 DEFENCE SECURITY ASIA

Jom folo Defence Security Asia di Telegram,Facebook dan Twitter untuk perkembangan terkini dunia pertahanan dan keselamatan.
Comments
Loading...