Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pakar Bom Abu Sayyaf Masih Hidup, Polis Kerah Komando UTK Ke Pantai Timur Sabah

Kerahan pasukan komando polis itu juga adalah untuk menangani isu berkaitan kumpulan pengganas Abu Sayyaf (ASG), terutamanya berikutan laporan pakar pembuat bom kumpulan pengganas it,  Mudzrimar@Mundi Sawadjaan masih hidup.

0 2,899

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Anggota Komando Unit Tindakan Khas (UTK) akan dikerah ke kawasan pantai timur Sabah sebagai sebahagian daripada usaha Polis Diraja Malaysia untuk meningkatkan tahap keselamatan kawasan tersebut.

Kerahan pasukan komando polis itu juga adalah untuk menangani isu berkaitan kumpulan pengganas Abu Sayyaf (ASG), terutamanya berikutan laporan pakar pembuat bom kumpulan pengganas it,  Mudzrimar@Mundi Sawadjaan masih hidup.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali berkata walaupun sudah lebih dua tahun tidak berlakunya kes-kes penculikan khususnya di pantai timur Sabah, tetapi tahap kawalan keselamatan tetap dipertingkat.

“Hal ini juga berikutan maklumat mengenai sub ketua kumpulan Abu Sayyaf yang juga pakar pembuat bom iaitu Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan disahkan masih hidup, jadi kawalan akan diperketatkan.

“Pihak keselamatan akan sentiasa mendapatkan maklumat daripada Western Mindanao Command (J2 WESTMINCOM),” katanya kepada pemberita di Kelantan.

UTK
Pakar bom Abu Sayyaf, Mudzrimar@Mundi Sawadjaan disahkan masih hidup.

 

Status berkenaan Mudzrimar yang dikehendaki di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) telah disahkan hasil perkongsian maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina melibatkan Joint Task Force Sulu (JTFS) serta J2 WESTMINCOM kerana terbabit dalam beberapa siri pertempuran dan pertembungan dengan pasukan keselamatan Filipina sejak Julai 2021.

Berdasarkan maklumat risikan, kali terakhir dia dilihat adalah pada 10 Jan lepas di sebuah kawasan di Sulu ketika keluar mengambil makanan.

Selain mempunyai kepakaran dalam membuat bom, Muzdrimar yang juga anak saudara kepada pemimpin kanan Abu Sayyaf iaitu Hatib Hajan Sawadjaan, turut dikenal pasti sebagai perancang letupan beberapa insiden di Jolo, Filipina pada tahun 2020, termasuk insiden letupan bom di ‘The Our Lady Of Mount Carmel Cathedral Jolo’ yang mengorbankan kira-kira 20 orang.

UTK
Hatib Sawadjaan

 

Bapa saudara Mudzrimar iaitu Hatib merupakan ketua kumpulan faksi kumpulan Abu Sayyaf yang menyokong perjuangan kumpulan pengganas, Islamic State (IS) atau Daesh.

Sementara itu, mengulas mengenai kawalan sempadan darat di sempadan Malaysia-Thailand, Hazani berkata Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan ditempatkan di Kelantan pada Mac nanti.

“Ketika ini, proses tinjauan sedang dilakukan di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand bagi mengenal pasti bentuk muka bumi, kawasan rondaan serta kawasan sering berlakunya penyeludupan.

UTK

 

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

“Kita juga sedang meninjau lokasi sesuai untuk menempatkan kuda-kuda ini sama ada di Pengkalan Kubor, Tumpat atau Rantau Panjang,” katanya.

Beliau berkata dengan adanya bantuan daripada Unit Berkuda FRU itu ia mampu meningkatkan lagi kawalan di sepanjang Sungai Golok serta keberkesanan dalam menangani kes penyeludupan. — DSA

UTK

 

Comments
Loading...