Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal LCS Pertama Siap Seawal Julai 2024 – Tok Mat

Boustead Naval Shipyard (BNS) menyatakan sebelum ini, pembinaan LCS yang pertama berada di tahap 50 hingga 60 peratus manakala LCS kedua pula telah siap 48 peratus. LCS ketiga siap 43 peratus, kapal LCS keempat siap 36 peratus manakala kapal LCS kelima pula siap 20 peratus.

0 2,340

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal Littoral Combat Ship (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang pertama dijangka mula belayar seawal Julai 2024, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan.

Bagaimanapun beliau membayangkan bahawa TLDM mungkin akan hanya memperolehi empat dan bukan enam buah kapal LCS.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) menurut beliau akan merealisasikan pembinaan projek kapal-kapal LCS untuk TLDM demi mengukuhkan pertahanan perairan negara.

“Pertimbangan kami berdasarkan komersial semata-mata. Kita nak pastikan kapal ini siap. Tak dapat enam, dapat empat pun sudah cukup asalkan siap semasa saya berada di MINDEF ini.

“Saya akan meneruskan usaha-usaha yang dilaksanakan MINDEF, Angkatan Tentera Malaysia, pelbagai agensi lain serta Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera dalam merealisasikan penyiapan LCS ini,” katanya.

LCS
Lakaran grafik kapal LCS TLDM

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Amanat Menteri Pertahanan 2023 di Wisma Pertahanan.

Rundingan telah diadakan dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi supaya dapat berhubung isu LCS.

“Kami tidak berminat untuk menuduh sesiapa atau membelakangi seseorang, (tetapi) apa yang saya mahu melihat adalah kapal (LCS) berada atas air menjelang Julai 2024,” katanya.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany sebelum ini berkata rundingan dengan Original Equipment Maker (OEM) dan vendor-vendor yang terlibat dengan pembinaan kapal-kapal LCS berjalan dengan baik.

Fasa mobilisasi yang bermula Jun melibatkan pihak Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd yang melaksanakan rundingan bersama pihak OEM, bagi menggerakkan kerja-kerja pembinaan apabila berakhirnya fasa mobilisasi.

LCS

TLDM menurut Panglima, amat memerlukan kapal-kapal LCS itu  bagi menyokong strategi pertahanan maritim negara dan meneruskan semula pembinaan kapal-kapal itu akan meningkatkan dan membangunkan keupayaaan pertahanan maritim negara.

“Seperti yang umumnya sedia maklum, aset kombatan sedia ada telah berusia serta kos pengoperasian dan selenggaraan semakin meningkat, yang akan menjejaskan tahap kesiagaan TLDM dalam memastikan keselamatan maritim negara sentiasa terpelihara.

“TLDM tetap konsisten di dalam keperluan untuk kapal LCS ini dioperasikan secepat mungkin, seperti yang telah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.

Menurut Boustead Naval Shipyard (BNS) sebelum ini, pembinaan kapal LCS yang pertama berada di tahap 50 hingga 60 peratus manakala kerja-kerja menyiapkan kapal kedua LCS pula telah sampai ke tahap 48 peratus.

Kerja-kerja pembinaan kapal LCS ketiga pula telah siap 43 peratus, kapal LCS keempat telah siap 36 peratus manakala kapal LCS kelima pula telab siap 20 peratus.

Tok Mat
“Tok Mat” (kredit Kementerian Pertahanan)

 

Pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion yang direkabentuk mengikut kapal friget “Gowind” DCNS daripada Perancis itu bermula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya tamat pada 2 Oktober 2023 dengan kesemua enam buah kapal itu siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM.

Sebanyak RM6 billion telah dibayar oleh kerajaan setakat ini untuk perolehan enam buah kapal LCS terbabit.

Bagaimanapun sehingga 31 Oktober 2021, kemajuan projek pembinaan kapal-kapal LCS itu hanya mencapai 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dicapai dalam jadual asal.

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu katanya, telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan. — DSA

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

Comments
Loading...