Amerika Cadang Jual Enam Buah Kapal LCS Terpakai. Berminat?
Jika ada negara yang berminat, mereka boleh menimbangkan untuk memiliki salah satu daripada enam memiliki kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang Amerika Syarikat cadang untuk menjualnya pada tahun 2025. Setiap satu kapal perang LCS itu dianggarkan bernilai US$500 juta (RM2 bilion).
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Amerika Syarikat bercadang menjual enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) daripada kelas-Independence dan kelas-Freedom menerusi program Foreign Military Sales (FMS) pada tahun 2025.
Keenam-enam buah kapal LCS itu masih baru,dengan kapal perang termuda baru sahaja berusia tiga tahun manakala yang tertua pula berusia lapan tahun.
Tentera Laut Amerika Syarikat mula menimbulkan kemungkinan untuk menjual beberapa buah kapal LCS miliknya pada tahun lepas, dengan setiap satu kapal perang terbabit dianggarkan bernilai US$500 juta (RM2 bilion).
Pada ketika ini, negara kuasa besar itu memiliki 13 buah kapal LCS kelas-Independence sementara empat buah yang lain sedang proses pembinaan, manakala pada masa yang sama ia juga memiliki 10 buah kapal LCS kelas-Freedom.
Lima buah kapal LCS kelas-Freedom juga sedang dibina.
Tentera Laut Amerika Syarikat mengoperasikan kapal-kapal perang LCS kelas-Independence yang berbentuk Trimaran untuk misi anti-periuk api manakala untuk kapal-kapal LCS kelas Freedom pula, negara itu mengoperasikannya untuk misi-misi permukaan.
Beberapa tahun lepas, Tentera Laut Amerika Syarikat telah melucut tauliah dua buah kapal LCS kelas-Independence dan sebuah kapal LCS kelas-Freedom.
Kapal-kapal LCS kelas-Independence yang bakal dijual oleh negara itu adalah USS Jackson (LCS 6) dan USS Montgomoery (LCS 8) yang hanya ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut Amerika Syarikat pada 2015 dan 2016.
Manakala kapal-kapal kelas-Freedom yang bakal dijual adalah USS Wichita (LCS 13), USS Billings (LCS 15), USS Indianapolis (LCS 17) dan USS St Louis (LCS 19), yang hanya ditauliahkan ke dalam perkhidmatan tentera laut negara itu pada 2019 dan 2020.
Walaupun ada negara-negara berminat untuk membeli kapal-kapal perang LCS yang terpakai itu, namun kos untuk mengendalikannya yang tinggi mungkin akan membatalkan niat sesetengah negara yang berminat itu.
Menurut laporan sebelum ini, kos pengendalian sebuah kapal LCS dianggarkan US$70 juta (RM280 juta) setahun berbanding US$81 juta (RM324 juta) yang diperlukan untuk mengendalikan kapal destroyer kelas-Arleigh Burke bagi setahun.
Selain, kos yang tinggi amat diperlukan jika negara-negara pembeli kapal-kapal LCS itu mahu mengubahsuai kapal perang terbabit bagi mengatasi beberapa masalah yang sering dihadapinya sebelum ini berkaitan dengan “structural defects”.
Kapal-kapal LCS kelas-Independence dibina menggunakan aluminium dengan rekabentuk Trimaran serta mempunyai kelajuan yang tinggi mencecah 44 knot bagi membolehkan ia dikerah ke kawasan operasi dengan pantas.
Kapal LCS kelas-Independence yang memiliki berat lebih daripada 3,000 tan itu direkabentuk dengan kelajuan yang tinggi, manakala kawasan operasi utamanya adalah di kawasan pesisir pantai.
Setiap kapal LCS kelas-Independence itu memiliki kira-kira 40 krew asas.
Dilengkapi dengan meriam dan sistem peluru berpandu anti-kapal, Tentera Laut Amerika Syarikat turut mengerah beberapa kapal LCS ke rantau Asia Pasifik untuk menjalankan rondaan di perairan Indo-Pasifik,bagi menangani sikap agresif tentera China.
Kapal-kapal LCS Amerika Syarikat yang “bertugas” di Indo-Pasifik itu menjadikan Singapura sebagai pangkalannya.
Manakala bagi setiap kapal LCS-kelas Freedom pula, ia membawa di antara 50 hingga 65 krew dan dilengkapkan dengan lapan pelancar peluru berpandu anti-kapal “Naval Strike Missile” (NSM) yang dibangunkan oleh firma Kongsberg daripada Norway. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]
Comments are closed.