Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Australia “Tolak” Pesawat Pengebom B-21 Raider, Pilih Mahu Tambah F-35A

Pesawat pengebom B-21 Raider itu sekiranya diperolehi oleh Australia, bakal memberikan negara itu kemampuan untuk melakukan serangan udara pada jarak jauh menggunakan platform halimunan, sesuatu yang amat berguna dalam usahanya menangani kekuatan tentera China di Indo-Pasifik.

0 2,232

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Australia dilapor telah menimbangkan perolehan pesawat pengebom strategik B-21 “Raider” dalam usahanya meningkatkan kekuatan udaranya, dalam usaha negara Oceania itu untuk menangani peningkatan kekuatan tentera China di Indo-Pasifik.

Cadangan perolehan B-21 Raider oleh Australia, yang juga adalah negara anggota Peraturan Pertahanan Lima Negara (Five Power Defence Arrangement – FPDA) pernah menjadi topik perbincangan dikalangan penganalisis pertahanan negara itu dan malah Menteri Pertahanannya, Richard Marles mengakui ia sedang “mengkaji” opsyen perolehan pesawat pengebom itu.

Bagaimanapun pada akhirnya, negara itu memutuskan untuk menolak cadangan perolehan pesawat pengebom B-21 Raider ini dan sebaliknya memilih untuk menambah koleksi pesawat pejuang generasi kelima, F-35A dan F/A-18F Super Hornet.

B-21 Raider

Cadangan perolehan pesawat pengebom strategik B-21 Raider itu terkandung dalam laporan Defence Strategic Review yang dikeluarkan oleh kerajaan Australia.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Amerika Syarikat benar-benar telah menawarkan penjualan pesawat pengebom B-21 Raider itu kepada Australia.

“Defense Strategic Review telah melakukan perbincangan terperinci di Australia dan Amerika Syarikat berkenaan pesawat pengebom B-21 Raider sebagai opsyen untuk Australia.”

“Berikutan dengan keadaan strategik dan pembangunan kemampuan sebagaimana terkandung di dalam laporan itu, maka kami tidak mempertimbangkan B-21 sebagai opsyen yang bersesuaian untuk pertimbangan perolehan.”

Dibangunkan oleh syarikat Northrop Grumman, pesawat B-21 Raider merupakan pesawat pengebom pertama didedahkan oleh Amerika Syarikat dalam tempoh 30 tahun sejak ia memperkenalkan pesawat pengebom B-2 Spirit pada 1988.

F-35A
Pesawat pejuang generasi kelima F-35A milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) (Gambar Hiasan)

 

Apabila bilangan pesawat pengebom B-21 “Raider” semakin bertambah, ia dicadang untuk menggantikan pesawat pengebom yang dimiliki oleh Amerika Syarikat pada ketika ini iaitu B-1 Lancer dan B-2 Spirit.

Pesawat B-21 Raider berkemampuan membawa pelbagai senjata konvensional dan nuklear.

Tentera Udara Amerika Syarikat bercadang memiliki sehingga 100 buah pesawat pengebom B-21 Raider itu, dengan program pembangunan pesawat pengebom itu yang menjangkau tempoh selama 30 tahun dijangka menelan belanja sebanyak US$203 bilion (RM812 bilion).  

Kos-kos itu melibatkan US$25.1 bilion (RM100.4 bilion) untuk program pembangunannya, US$64 bilion (RM256 bilion) untuk fasa production dan US$114 bilion (RM456 bilion) untuk mengoperasikan kesemua 100 buah pengebom jarak jauh dan strategik B-21 Raider itu di dalam tempoh 30 tahun life-cycle aset terbaru Amerika Syarikat itu.

Pesawat pengebom B-21 Raider itu sekiranya diperolehi oleh Australia, bakal memberikan negara itu kemampuan untuk melakukan serangan udara pada jarak jauh menggunakan platform halimunan, sesuatu yang amat berguna dalam usahanya menangani kekuatan tentera China di Indo-Pasifik.

F-35A
Dua buah pesawat pejuang F-35A Tentera Udara Diraja Australia (RAAF)

 

Kehadiran pesawat pengebom B-21 Raider dalam inventori Australia itu akan memberikan ia kemampuan yang tidak pernah dimilikinya menerusi pemilikan pesawat-pesawat pejuang seperti F-35A dan Super Hornet.

Bagaimanapun kemampuan strategik B-21 Raider dalam melaksanakan serangan udara jarak jauh dalam keadaan halimunan (stealth) dan kecanggihan sistem pesawat itu menimbulkan persoalan sama ada kerajaan Amerika Syarikat bercadang mahu mengeksportnya.

Pesawat pengebom strategik B-21 Raider itu dilengkapkan dengan sistem dan teknologi yang terlalu rahsia dan sensitif, sehinggakan sekutu rapat Amerika Syarikat seperti Australia tidak dibenarkan untuk mempunyai akses kepadanya.

Jikalau Washington enggan mengeksport pesawat pejuang F-22 Raptor yang telah beroperasi puluhan tahun, apatah lagi B-21 Raider yang baru sahaja didedahkan kepada umum beberapa bulan lepas dan memiliki teknologi  yang jauh lebih rahsia daripada pesawat pejuang Raptor itu.

Satu lagi faktor yang mungkin menyebabkan Australia berfikir dua kali sebelum memperolehi B-21 Raider (sekiranya benar ia ditawarkan pesawat itu) adalah berkenaan kosnya yang keterlaluan tingginya,walaupun untuk Australia yang memiliki belanjawan pertahanan tahunan melebihi US$30 bilion (RM120 bilion).

Hornet
Pesawat F/A-18 E/F Super Hornet

 

Penganalisis pertahanan Australia menganggarkan negara itu memerlukan diantara US$20 bilion hingga US$25 bilion (RM80 bilion hingga RM100 bilion) untuk melakukan perolehan sebuah skuadron 12 buah pesawat pengebom strategik B-21 Raider.

Itu tidak termasuk lagi kos pengendalian 12 buah pesawat pengebom itu sekurang-kurangnya untuk tempoh 20 tahun lagi sehingga ke akhir hayatnya, yang bakal menelan belanja puluhan billion Dollar lagi yang perlu disediakan oleh Australia.

Ini ditambah pula dengan rancangan Australia untuk memperolehi sehingga lima buah kapal selam terpakai berkuasa nuklear kelas-Virginia daripada Amerika Syarikat bermula 2030-an dan beberapa buah kapal selam berkuasa nuklear baru kelas-AUKUS selepas 2040, yang menelan belanja puluhan billion Dollar. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...