Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Helikopter Serangan Berat, ATAK-2 Sedia Terbang Akhir Tahun

Helikopter penyerang kelas berat T929 ATAK-2 itu adalah sama tarafnya dengan helikopter serangan kelas berat yang lain dipasaran pada ketika ini seperti, Apache AH-64 keluaran Amerika Syarikat dan Mi-28 serta KA-52 "Alligator" buatan Russia.

0 1,830

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Buat pertama kali, jurutera-jurutera Turkish Aerospace Industries (TAI) telah menghidupkan enjin helikopter serangan kelas berat T929 ATAK-2 (heavy class attack), selari dengan sasaran untuk melakukan penerbangan sulungnya pada akhir tahun ini.

Kejayaan TAI menghidupkan enjin helikopter penyerang kelas berat ATAK-2 buat pertama kali itu telah diumumkan oleh ketua pegawai operasi TAI Prof. Dr. Temel KOTİL ketika menghadiri “Teknofest Stakeholders Meet with Youth Programme” di bandar Üsküdar.

Helikopter penyerang kelas berat T929 ATAK-2 itu adalah sama tarafnya dengan helikopter serangan kelas berat yang lain dipasaran pada ketika ini seperti, Apache AH-64 keluaran Amerika Syarikat dan Mi-28 serta KA-52 “Alligator” buatan Russia.

Penerangan Kotil pada acara Teknofest itu menyertakan video ketika ATAK-2 menghidupkan enjinnya telah dikongsi di media sosial oleh ramai orang yang menghadiri acara tersebut.

Dalam video yang dikongsi, ATAK-2 kelihatan telah menghidupkan enjinnya dan memutar bilahnya di trek ujian enjin di TAI.

Dibangunkan sebagai sebahagian daripada Projek ATAK-2 yang dilancarkan oleh Presidensi Industri Pertahanan (SSB), Helikopter Serangan Kelas Berat T929 dijadual membuat penerbangan sulungnya pada akhir tahun ini.

Ka-52
Ka-52 “Alligator”

 

Berlainan dengan varian terdahulunya T129 ATAK yang menggunakan enjin buatan Amerika Syarikat-Britain (Honeywell dan Rolls Royce), helikopter serangan kelas berat ATAK-2 itu akan menggunakan enjin buatan Ukraine.

Kerana menggunakan enjin buatan Amerika-Britain, Turkiye berhadapan dengan masalah untuk mengeksport helikopter T129 ATAK apabila ia dikenakan sekatan ketenteraan oleh Washington apabila Ankara meneruskan rancangannya untuk membeli sistem pertahanan udara S-400 daripada Russia.

ATAK-2
ATAK-2

 

Disebabkan sekatan ketenteraan oleh Amerika, rancangan Turkiye untuk menjual 30 helikopter T129 ATAK kepada Pakistan terpaksa dibatalkan selepas Ankara gagal mendapat lesen eksport daripada Washington bagi enjin yang digunakan oleh helikopter penyerang itu.

Enggan “pisang berbuah dua kali”, Turkiye telah menjalin kerjasama dengan Ukraine dan negara Eropah Timur itu telah menghantar dua enjin TV3-117VMA-SBM1V-01T Turboshaft pertama, yang akan digunakan dalam prototaip pertama ATAK-II dengan nama T0, ke Turki pada 27 Januari 2023.

Menurut sumber Turki, dalam rangka perjanjian dengan syarikat Ukraine, “Motor Sich,” TAI akan dibekalkan dengan 14 buah enjin untuk helikopter serangan kelas berat itu.

Mi-28NE
Helikopter penyerang Mi-28NE “Night Hunter”

 

Turkiye akan hanya menggunakan enjin Ukraine untuk helikopter prototaip ATAK-2 kerana untuk pengeluaran bersiri, helikopter penyerang kelas berat itu akan menggunakan enjin yang dibangunkan oleh firma tempatan, Tusas Engine Industries (TEI).

ATAK-2 dijangka akan mula berkhidmat dengan Angkatan Tentera Turkiye pada tahun 2025, sebelum penggunaannya turut diperluas kepada mana-mana negara yang berminat untuk memperolehinya.

ATAK-2
ATAK-2

 

Mana tau pada masa depan, Angkatan Tentera Malaysia juga berminat untuk mendapatkan helikopter serang kelas berat ATAK-2.

Pengguna pertama helikopter serangan kelas berat T929 ATAK-2 adalah Tentera Darat dan Tentera Laut Turkiye.

ATAK-II adalah sebuah helikopter serangan berat Turki yang diterbangkan oleh krew dua orang.

Helikopter ini dijangka mampu terbang pada ketinggian hingga 20,000 kaki.

Helikopter ini dapat melaksanakan misi operasi pada waktu siang dan malam, dengan kelajuan terbang maksimum dijangka pada kira-kira 172 knots. 

T129 ATAK
Helikopter Penyerang T129 ATAK

 

Kabin akan dilindungi dengan armor yang tahan peluru sebesar 12.7mm.

Selain berkemampuan melancar pelbagai jenis peluru berpandu dan roket tidak berpanduan, ATAK-2 dilengkapi dengan sistem meriam 30mm.

Helikopter serangan kelas berat ATAK-2 direkabentuk untuk melaksanakan misi-misi serangan termasuk udara-ke-udara dan udara-ke-darat serta Close Air Support (CAS), peperangan elektronik dan pemantauan pada siapa dan malam tanpa mengira keadaan cuaca.

Apache
Helikopter AH-64 “Apache”.

 

Helikopter akan menyertakan beberapa sub-sistem dan komponen yang telah dibangunkan untuk helikopter T129 ATAK dan Gokbey.

ATAK-2 dibangunkan untuk memenuhi keperluan bagi helikopter serangan kelas berat Tentera Darat Turkiye dan juga Tentera Laut Turkiye terutamanya untuk beroperasi dari atas kapal Landing Helicopter Dock (LHD) “TCG Anadolu” yang baru sahaja ditauliahkan baru-baru ini. – – DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...