Korea Selatan Bekal 200 Buah “K-9 Thunder” Bernilai RM6.8 Bilion Pada Mesir
Perjanjian untuk membekalkan sistem artilleri bergerak “K-9” kepada Mesir itu berlaku lebih daripada seminggu selepas Korea Selatan menandatangani perjanjian bernilai US$3.5 bilion (RM14 bilion) untuk membekalkan sistem pertahanan udara jarak sederhana “Cheongung II KM-SAM” kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Korea Selatan sememangnya sedang menuju untuk menjadi antara pemain utama industri persenjataan dunia, menyaingi Amerika Syarikat, Russia, Perancis, Britain dan lain-lain.
Terbaru, syarikat pertahanan negara itu, Hanwha Defense menandatangani perjanjian bernilai US$1.7 bilion (RM6.8 bilion) dengan Mesir untuk membekalkan sejumlah 200 buah sistem artilleri bergerak (tracked self-propelled howitzer) “K-9 Thunder” kepada negara Arab itu.
Perkara itu diumumkan oleh agensi Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA), yang turut menyatakan bahawa perjanjian antara kedua-dua negara itu turut meliputi perolehan kenderaan bekalan peluru dikenali “K10.”
Perjanjian untuk membekalkan sistem artilleri bergerak “K-9” kepada Mesir itu berlaku lebih daripada seminggu selepas Korea Selatan menandatangani perjanjian bernilai US$3.5 bilion (RM14 bilion) untuk membekalkan sistem pertahanan udara jarak sederhana “Cheongung II KM-SAM” kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ia merupakan eksport senjata terbesar pernah dimeterai oleh Korea Selatan, membuktikan bahawa negara Asia Timur itu kini merupakan pemain utama industri persenjataan dunia ketika ini.
Korea Selatan mula mengoperasikan sistem pertahanan udara KM-SAM itu pada tahun 2016.
Menurut DAPA, sebahagian besar daripada sistem artilleri bergerak itu akan dibina di kemudahan pembinaan peralatan pertahanan Mesir dikenali sebagai Factory 200, yang terletak di luar ibu kota negara itu, Kaherah.
Mesir merupakan negara ke-sembilan yang memperolehi sistem artilleri “K-9 Thunder” sejak ia diperkenalkan.
Pada ketika ini, tentera Mesir menggunakan sistem meriam bergerak M109 buatan Amerika Syarikat.
Sistem “K-9” itu dipercayai mengalahkan beberapa pesaing termasuk Nexter Caesar, Koalitsiya-SV daripada Russia dan PLZ-45 daripada China yang turut berminat untuk membekalkan sistem artilleri bergerak kepada tentera Mesir.
Comments are closed.