Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Mesir Buka Pangkalan Laut Di Sempadan Libya, Sasaran Ditujukan Kepada Turki

Mesir dan Turki terlibat dalam “perebutan kuasa” di Libya, dengan kedua-dua kuasa itu menyokong pihak-pihak bertentangan dalam konflik perang saudara di negara yang kaya dengan sumber minyak dan gas itu.

0 1,687

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Mesir telah membuka sebuah pangkalan laut  serba moden, yang terletak berhadapan dengan laut Mediterranean dan tidak jauh daripada sempadan dengan Libya, dalam satu tindakan yang dipercayai disasarkan terhadap Turki.

Mesir dan Turki terlibat dalam “perebutan kuasa” di Libya, dengan kedua-dua kuasa itu menyokong pihak-pihak bertentangan dalam konflik perang saudara di negara yang kaya dengan sumber minyak dan gas itu.

Kaherah dan sekutunya termasuk UAE, Russia serta Perancis merupakan penyokong kuat kepada puak diketuai oleh panglima tentera Jeneral Khalifa Haftar manakala Ankara dan dibantu oleh Qatar pula merupakan sekutu kepada puak Government of National Accord (GNA).

GNA mempunyai pangkalannya di ibu negara Libya iaitu Tripoli manakala kekuataan Haftar pula adalah di Benghazi.

Pangkalan Laut terbaru Mesir itu dinamakan “3rd of July” bersempena dengan tarikh Presiden Abdel Fateh el-sisi mengambil alih tampuk pemerintahan negara itu selepas menumbangkan Presiden Mohamad Morsi lapan tahun lepas.

“Ia adalah pangkalan laut terbaru Mesir di Laut Mediterranean, ia akan memfokuskan usaha negara menjaga keselamatan dan kepentingan negara di perbatasan Barat dan utara,” kata Presiden Mesir itu di dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan itu, el-sisi tidak merujuk kepada Turki yang turut menempatkan tenteranya serta menyokong kumpulan-kumpulan bersenjata di Libya mahupun Ethiopia yang mencabar hak Mesir terhadap Sungai Nil dengan membina empangan di sungai terbabit.

Turut hadir pada perasmian pangkalan laut itu adalah Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Panglima Angkatan Tentera UAE Sheikh Mohamed Zayed al-Nahyan.

Pangkalan laut “3rd of July” itu terletak kira-kira 255km di barat Alexandria berhampiran dengan Libya, di mana Mesir menerima cabaran daripada segi kumpulan-kumpulan bersenjata serta kuasa-kuasa luar terutamanya, Turki.

Tidak ada wakil-wakil daripada Turki mahupun GNA dijemput pada perasamian pangkalan baru Mesir itu.

Dipengkalan itu, Mesir mempamerkan kapal pembawa helikopter “Mistal” yang dibelinya daripada Perancis, kapal frigate FREMM yang dibelinya daripada Itali serta kapal frigate Gowind juga daripada Perancis.

Pangkalan Laut “3rd of July” Mesir di sempadan Libya itu dilengkapi dengan jeti sepanjang 1,000 meter dan landasan kapal terbang.

Selain pangkalan laut terbaru itu, Kaherah yang telah membangunkan kemampuan tenteranya dengan agresif menerusi pembelian pelbagai jenis sistem persenjataan sejak el-sisi menjawat jawatan Presiden Mesir, negara itu juga memiliki tiga buah pangkalan laut lain di Laut Mediterranean dan sebuah di Laut Merah.

Mesir
Presiden Mesir menyambut kedatangan Putera Mahkota Abu Dhabi.

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...