Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kerja Pemodenan Kapal Perang Nuklear Russia Admiral Nakhimov Hampir Selesai, Reaktor Nuklear Sudah Diaktifkan

Sebagaimana dilaporkan oleh agensi berita Russia, TASS pada 4 Februari yang lalu,  reaktor nuklear yang pertama telah diaktifkan pada Disember 2024, diikuti oleh reaktor kedua telah diaktifkan pada 2 Februari 2025

0 4,138
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal kruiser tempur berkuasa nuklear kelas-Kirov Tentera Laut Russia, Admiral Nakhimov telah memasuki fasa baru dalam program pemodenan dan naiktarafnya apabila kedua-dua reaktor nuklearnya telah diaktifkan baru-baru ini.
Sebagaimana dilaporkan oleh agensi berita Russia, TASS pada 4 Februari yang lalu,  reaktor nuklear yang pertama telah diaktifkan pada Disember 2024, diikuti oleh reaktor kedua telah diaktifkan pada 2 Februari 2025
“Ia mengesahkan tahap kesiapsiagaan sistem pendorongan (propulsion) nuklear kapal kruiser tempur tersebut.”
“Ketika ini berlabuh di Limbungan Kapal Sevmash, Admiral Nakhimov dijadualkan memulakan ujian di lautan pada musim panas 2025, dengan ujian negara dirancang (state trial) sebelum ditauliahkan pada 2026,” menurut laporan oleh TASS itu.
Selepas menjalani kerja-kerja pemodenaan dan naiktaraf, kapal kruiser tempur berkuasa nuklear Admiral Nakhimov itu bakal mempunyai keupayaan peluru berpandu yang lebih tinggi berbanding kapal-kapal destroyer kelas- Zumwalt dan Arleigh Burke milik Tentera Laut Amerika Syarikat.
Selepas 26 tahun “tersadai” di limbungan kapal menjalani pelbagai kerja pembaikan dan naiktaraf, akhirnya kapal kruiser kelas-Kirov Tentera Laut Russia Admiral Nakhimov dilaporkan akan memulakan ujian penerimaan di lautan (Sea Acceptance Trial) tidak lama lagi.
Admiral Nakhimov
Kapal kruiser tempur berkuasa nuklear Russia, “Admiral Nakhimov”
Ia adalah suatu detik bersejarah kerana selepas 26 tahun kerja-kerja pembaikan dan naiktaraf yang berhadapan dengan pelbagai masalah dan kelewatan, reaktor nuklear kapal perang itu telah beroperasi semula menandakan Admiral Nakhimov telah memulakan ujian di lautan.
“Jantung kapal perang itu (Admiral Nakhimov) telah berdegup kembali,” menurut saluran Telegram Military Maps yang mempunyai hubungan yang rapat dengan tentera Russia baru-baru ini.
Kapal kruiser kelas-Kirov Admiral Nakhimov itu akan berkhidmat semula dengan Tentera Laut Russia selepas ujian di lautan itu selesai.
Russia dikatakan telah membelanjakan US$2 billion (RM9 billion) untuk memperbaiki dan menaiktaraf Admiral Nakhimov, tetapi kos itu dipercayai telah meningkat kepada dua kali ganda, menurut penganalisis.
Kerja-kerja pembaikan dan naik-taraf terhadap kapal cruiser kelas-Kirov Tentera Laut Russia itu bermula pada 1999 di Limbungan Kapal Sevmash.
Tentera Laut Russia menyifatkan kapal perang permukaan berkuasa nuklear, Admiral Nakhimov yang memiliki berat keseluruhan 28,000 tan (full load) sebagai kapal perang permukaan (surface ship) yang paling berkemampuan dimilikinya.
Admiral Nakhimov dan sebuah lagi kapal kruiser kelas-Kirov Pyotr Velikiy merupakan dua buah kapal perang permukaan milik Tentera Laut Russia berkuasa nuklear.
Admiral Nakhimov
Admiral Nakhimov
Tentera Laut Russia bercadang menamatkan khidmat Pyotr Velikiy apabila kerja-kerja pembaikan dan naiktaraf “Admiral Nakhimov” selesai dan di mula beroperasi.
Beberapa bulan lalu, Limbungan Kapal Sevmash menyatakan bahawa ia telah memulakan proses latihan bagi anak-anak kapal Admiral Nakhimov.
Antara kerja-kerja pembaikan dan naik-taraf yang dilakukan terhadap kapal perang berkuasa nuklear itu adalah menukar uranium di dalam reaktor nuklear miliknya serta memasangnya dengan beberapa sistem persenjataan yang baru termasuk peluru-peluru berpandu kruis.
Ia akan dilengkapi dengan 176 sel-sel bagi Vertical Launch System (VLS) bagi melancarkan peluru-peluru berpandu sasaran darat dan sasaran udara.
Antara sistem persenjataan baru yang bakal dibawa oleh Admiral Nakhimov termasuklah peluru berpandu hypersonik Tsirkon, dengan pemerhati ketenteraan Russia menyatakan bahawa kapal perang “terkuat” Russia itu akan dilengkapkan dengan 60 butir peluru berpandu hypersonik itu
Dengan kelajuan melebih Mach 8, peluru berpandu hypersonik itu boleh dilengkapi dengan kepala peledak nuklear itu berkemampuan membedil sasaran sejauh 1,000km.
Selain Tsirkon, kapal perang itu juga akan dilengkapi dengan peluru berpandu kruis Kalibr dan sistem anti-kapal selam Paket-NK dan Otvet.
Admiral Nakhimov
“Admiral Nakhimov”
Pyotr Veliky
Kapal kruiser berkuasa nuklear kedua Russia, Pyotr Veliky akan dibersarakan selepas Admiral Nakhimov kembali beroperasi.
Sistem pertahanan udara Admiral Nakhimov juga telah mengalami peningkatan ketara, dengan sistem pertahanan udara S-300F yang sudah usang telah digantikan dengan varian tentera laut S-400.
Sementara itu, pertahanan jarak dekatnya diperkuat dengan sistem canggih Pantsir-ME serta varian tentera laut S-350 Vityaz, menggantikan sistem Osa-M yang lama.
Kapal kruiser kelas-Kirov Admiral Nakhimov itu telah ditauliahkan ke dalam tentera laut Kesatuan Soviet pada tahun 1988 selepas kerja-kerja pembinaannya yang bermula pada tahun 1983 disiapkan ketika era Komunis
Nama asalnya kapal perang Russia itu adalah Kalinin sehinggalah pada tahun 1992 apabila nama kapal itu diubah kepada Admiral Nakhimov.
Kapal perang permukaan terkuat Tentera Laut Russia itu, Admiral Nakhimov akan berkhidmat dengan Armada Utara (Northern Fleet) apabila kapal perang itu selepas menjalani ujian di lautan. 
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.