Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Semua Kapal “Arleigh Burke” Dilengkapi Peluru Berpandu Hypersonic

0 556

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam menangani ancaman China dan Russia,  tentera laut Amerika Syarikat merancang untuk melengkapkan kesemua kapal perang pemusnahnya (destroyer) daripada jenis “Arleigh Burke” dan “Zumwalt” dengan peluru berpandu Hypersonic.

Perkara itu diumumkan oleh penasihat keselamatan dalam negeri Amerika Syarikat Robert O’ Brien.

Usaha melengkapkan kapal-kapal pemusnahnya dengan senjata yang lebih menggerunkan akan melibatkan 69 buah kapal keseluruhannya dan kos puluhan billion dollar.

CPS
Peluru berpandu Hypersonic “Conventional Prompt Strike” ketika menjalani ujian pelancaran pada Mac lepas. (sumber internet)

Kapal-kapal selam negara itu daripada kelas “Virginia” juga akan memiliki kemampuan peluru berpandu Hypersonic itu.

Dan peluru berpandu Hypersonic yang akan melengkapkan kapal-kapal “Arleigh Burke” dan “Zumwalt” itu pula dikenali dengan nama “Conventional Prompt Strike” (CPS) yang telah pun menjalani ujian pelancaran pada Mac tahun ini.

“Peluru berpandu CPS akan memberikan tentera laut Amerika Syarikat kemampuan untuk membedil sasaran pada jarak yang lebih jauh,” kata O’ Brien.

CPS
Imej pelancaran peluru berpandu Hypersonic “Conventional Prompt Strike.” (sumber internet)

Peluru berpandu hypersonic adalah peluru berpandu yang memiliki kelajuan melebihi Mach 5 atau 3,836 batu satu jam.

Kelajuan sebenar peluru berpandu CPS milik Amerika Syarikat itu masih menjadi teka-teki dikalangan penganalisis pertahanan.

Walaupun begitu, terdapat penganalisis pertahanan yang mendakwa kelajuan sebenar peluru berpandu CPS adalah kira-kira Mach 17 dengan kemampuan jaraknya adalah ribuan kilometre.

Amerika tidak mendedahkan kelajuan dan jarak peluru berpandu CPS kerana ia adalah maklumat strategik.

Arleigh
Kapal pemusnah “Arleigh Burke.”

Pada Mac lepas, Setiausaha Usaha Tentera Darat Amerika Syarikat berkata peluru berpandu CPS dalam ujian tembakan telah mengenai di dalam lingkungan enam inci daripada sasaran, menjadikan ia peluru berpandu hypersonic yang amat tepat.

China juga memiliki kemampuan peluru berpandu Hypersonic di dalam bentuk DF-17 yang memiliki kemampuan untuk menembak sasaran sehingga 2,500km.

Beijing dilaporkan mengerahkan peluru-peluru berpandu Hypersonic DF-17 di wilayah-wilayah yang berhampiran dengan Taiwan, dalam apa yang penganalisis lihat persediaan terakhir sebelum melancarkan perang terhadap negara pulau itu.

DF-17
Peluru hypersonic China “DF-17” dalam satu perarakan tentera tahun lepas. (sumber internet)

Kehadiran peluru berpandu Hypersonic DF-17 itu juga bertujuan memberi amaran kepada kuasa asing yang bercadang mencampuri urusan Taiwan.

Manakala bag Russia pula, tentera laut negara itu baru sahaja menjalankan ujian peluru berpandu Hypersonic “Tsirkon” baru-baru ini.

Tsirkon
Pelancaran peluru berpandu hypersonic Russia “Tsirkon” baru-baru ini. (sumber internet)

Peluru berpandu Hypersonic “Tsirkon” itu dilancarkan oleh kapal friget Admiral Gorshkov di Laut Putih.

Ia mengenai sasaran yang jaraknya terletak kira-kira 450km jauhnya dengan kelajuan Mach 8.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...