Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kereta Kebal T-90S/SK Bhishma Tentera Darat India Bakal Guna Trophy APS Buatan Israel

Sistem Trophy APS antara sistem pertahanan aktif kereta kebal yang paling popular di pasaran, dengan ia turut digunakan oleh kereta-kereta kebal lain termasuk M1A2 SEPv2, varian terkini Leopard 2, Challenger 3 dan Merkava.

0 3,540
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kereta-kereta kebal utama Tentera Darat India, T-90S/SK Bhishma berkemungkinan besar akan dilengkapi dengan Trophy Active Protection System (APS) buatan syarikat pertahanan Israel, Rafael Advanced Systems, sekaligus menunjukkan hubungan dan kerjasama pertahanan yang erat antara kedua negara itu.
Sistem Trophy APS antara sistem pertahanan aktif kereta kebal yang paling popular di pasaran, dengan ia turut digunakan oleh kereta-kereta kebal lain termasuk M1A2 SEPv2, varian terkini Leopard 2, Challenger 3 dan Merkava.
Malah, terdapat kemungkinan APS Trophy itu akan turut diperbuat di dalam India sekiranya ia bersetuju untuk melengkapkan kereta-kereta kebal utamanya dengan sistem pertahanan aktif itu.
Baru-baru ini, semasa Aero India 2025 yang baru sahaja selesai, syarikat Rafael itu telah menandatangani MoU dengan syarikat tempatan India, Larsen & Toubro (L&T) untuk membangunkan varian Trophy APS yang memenuhi keperluan spesifik tentera India.
“Kerjasama antara dua syarikat berasaskan teknologi, Rafael dan L&T, membawakan versi terbaru sistem perlindungan aktif (APS) Trophy yang telah terbukti dalam pertempuran sebagai penyelesaian khusus yang disesuaikan untuk platform tempur India. Sistem ini akan dihasilkan di India dengan keupayaan penyelenggaraan tempatan,” kata Naib Presiden Kanan & Ketua Kejuruteraan Ketepatan & Sistem L&T, Arun Ramchandani.
“Sistem APS ini akan meningkatkan keupayaan ketahanan platform tempur yang sedang beroperasi serta yang bakal diperkenalkan oleh Angkatan Bersenjata India pada masa hadapan.”
Pada awal Februari lalu, Tentera Darat India telah mengeluarkan permintaan untuk maklumat (RFI) mengundang syarikat tempatan dan antarabangsa untuk mengemukakan produk serta laporan mereka bagi pemerolehan sistem perlindungan aktif yang baharu.
T-90S/SK "Bhishma" India
T-90S/SK “Bhishma” India
Dokumen rasmi menyatakan bahawa sistem ini akan dipasang pada armada kereta kebal T-90S/SK Bhishma miliknya, iaitu kereta kebal utama negara itu.
Dibangunkan dengan kerjasama Russia dan dihasilkan secara besar-besaran di dalam India, kereta kebal T-90S Bhishma serta varian naiktarafnya menjadi tulang belakang kepada armada kereta kebal Tentera Darat India.
Sejak diperkenalkan pada awal 2000-an, India terus memperoleh kumpulan baru kereta kebal buatan Russia, dengan setiap pesanan baru menampilkan peningkatan dalam penggunaan komponen dan teknologi yang dibangunkan secara tempatan.
Evolusi terbaru dalam pembangunan ini adalah T-90 MK III, yang terhasil daripada perjanjian pembelian utama terakhir dengan Russia pada 2019, dengan penghantaran dijadualkan bermula pada 2024.
India memiliki sekitar 1,657 kereta kebal T-90 dalam perkhidmatan aktif, termasuk varian T-90S dan T-90 Bhishma Mk2.
Pada November 2019, India menandatangani kontrak untuk memperoleh tambahan 464 unit T-90 Bhishma Mk3, dengan penghantaran batch pertama sebanyak 10 unit dilakukan pada 13 Mei 2024.
 Dengan perolehan ini, jumlah keseluruhan kereta kebal T-90 yang dimiliki India dijangka meningkat kepada lebih daripada 2,100 unit.
Namun, seperti yang dilihat di banyak negara lain, konflik di Ukraine telah menekankan keperluan untuk melengkapi kereta kebal dengan keupayaan ketahanan yang lebih tinggi, dengan sistem perlindungan aktif menjadi antara peningkatan utama.
Meskipun T-90 buatan Rusia dilengkapi perisai reaktif letupan (ERA), kepala peledak tandem yang digunakan oleh peluru berpandu anti-kereta kebal Barat seperti Javelin dan NLAW mampu menembusinya.
T-90S/SK "Bhishma" India
T-90S/SK “Bhishma” India
T-90S/SK "Bhishma" India
T-90S/SK “Bhishma” India
RFI yang dikeluarkan itu menetapkan keperluan bagi sistem perlindungan aktif (APS) jenis soft-kill dan hard-kill untuk menangkis peluru berpandu anti-kereta kebal (ATGM), roket berpanduan, dron, serta projektil kinetik.
Sistem ini perlu disepadukan dengan lancar ke dalam kereta kebal T-90 Tentera Darat India tanpa menjejaskan prestasinya.
Syarikat Israel, Rafael menyatakan: “Sistem Trophy, yang dilengkapi keupayaan pengesanan tembakan musuh secara automatik, menawarkan prestasi yang tepat dan konsisten dengan kebarangkalian pemintasan melebihi 90 peratus. Sama ada pada jarak dekat atau jauh, dan bahkan ketika bergerak, Trophy memberikan perlindungan 360° dengan sudut elevasi yang tinggi. Langkah pertahanannya merangkumi pelbagai mekanisme pemintasan aktif, termasuk kesan letupan, serpihan, penetrator terbentuk letupan (EFP), dan peluru.”
Sistem Trophy baru-baru ini telah dinaik taraf dengan keupayaan pertahanan serangan dari atas bagi menghalang dron dan peluru berpandu daripada menyerang bahagian paling terdedah pada kenderaan, iaitu bahagian atas.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.