Kementerian Pertahanan UK Kemuka Dokumen Tawaran Penjualan Eurofighter Typhoon Kepada Turkiye
Kementerian Pertahanan Kebangsaan Turkiye dilaporkan sedang mengkaji dokumen tawaran penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang dikemukakan oleh Kementerian Pertahanan United Kingdom itu, menurut laporan oleh media-media Turkiye yang memetik sumber.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Usaha Turkiye untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon nampaknya berjalan lancar, dengan Kementerian Pertahanan United Kingdom dilaporkan telah mengemukakan dokumen tawaran penjualan pesawat pejuang itu kepada Kementerian Pertahanan Kebangsaan Turkiye.
Kementerian Pertahanan Kebangsaan Turkiye dilaporkan sedang mengkaji dokumen tawaran penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang dikemukakan oleh Kementerian Pertahanan United Kingdom itu, menurut laporan oleh media-media Turkiye yang memetik sumber.
“Kami sebelum ini mengumumkan bahawa satu dokumen rasmi telah disediakan berkaitan perolehan 40 pesawat Eurofighter Typhoon bagi memenuhi keperluan operasi tentera udara kami. Dokumen tersebut telah dihantar kepada Kementerian Pertahanan United Kingdom dan pengeluar (pesawat pejuang) berkaitan, dengan jangkaan menerima tawaran balas,” menurut sumber oleh media Turkiye itu..
“Tawaran yang dinantikan kini telah diterima oleh kementerian kami, dan proses penilaian sedang berlangsung.”
Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu dibangunkan oleh konsortium empat buah negara Eropah terdiri daripada United Kingdom, Jerman, Sepanyol dan Itali, dengan penjualannya memerlukan persetujuan daripada keempat-empat negara itu.
Usaha Türkiye untuk memperoleh pesawat pejuang Eurofighter Typhoon memperolehi momentum yang signifikan akhir tahun lalu, terutama selepas Jerman memberi kebenaran kepada konsortium syarikat pembuat pesawat itu untuk menjual kepada Turkiye, menandakan perubahan daripada pendirian sebelumnya yang lebih berhati-hati.
Sumber turut mendedahkan bahawa Menteri Pertahanan United Kingdom John Healey telah melawat Ankara dan bertemu dengan rakan sejawatnya daripada Turkiye.

Perbincangan mereka merangkumi isu pertahanan dan keselamatan dua hala serta serantau, termasuk kerjasama dalam industri pertahanan, dengan penekanan khusus terhadap situasi di Ukraine dan keselamatan Eropah.
Pada Disember tahun lepas, dua buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon milik Royal Air Force (RAF) telah mendarat di Pangkalan Udara Murted, Ankara, ibu negara Türkiye, untuk pemeriksaan oleh pegawai Turkiye.
Kehadiran kedua-dua buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu di Ankara menandakan kemajuan di dalam usaha Turkiye untuk memperolehi pesawat itu yang berhadapan dengan “masalah” penentangan daripada kerajaan Jerman terhadap perolehan itu sebelum ini.
Dan pada Sept tahun lepas, Ketua Staf Am Angkatan Tentera Turkiye Jeneral Metin Gurak telah melawat United Kingdom dan dalam lawatan itu beliau turut mengunjungi Pangkalan Udara Royal Air Force RAF) Coningsby yang menempatkan pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.
Beliau berpeluang melihat dengan lebih dekat pesawat pejuang yang cuba diperolehi oleh Turkiye sejak beberapa tahun lepas, tetapi rancangan itu dihalang oleh Jerman.
Difahamkan, usaha Turkiye untuk memperolehi pesawat pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu mendapat sokongan kuat daripada kerajaan-kerajaan United Kingdom, Itali dan Sepanyol.
Sejak beberapa tahun lepas, Turkiye telah menyatakan minatnya untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu untuk meningkatkan lagi kemampuan tentera udaranya selepas ia dikeluarkan daripada program F-35, tetapi hasratnya itu telah dihalang oleh Jerman.

