India-Perancis Muktamad Rundingan Perolehan 26 Rafale M Bernilai US$7.6 Billion (RM33.44 Billion)
Tentera Laut India akan memperoleh pesawat pejuang Rafale M bagi menggantikan MiG-29K dan MiG-29KUB yang kini dioperasikan oleh skuadron INAS 300 “White Tigers” dan INAS 303 “Black Panthers”.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — India dan Perancis dilaporkan telah memuktamadkan rundingan bagi perolehan 26 pesawat pejuang Rafale M dianggarkan bernilai US$7.6 bilion (RM33.44 billion), dengan perjanjian rasmi dijangka dimeterai pada April 2025 semasa lawatan Menteri Pertahanan Perancis ke India.
Tentera Laut India akan memperoleh pesawat pejuang Rafale M bagi menggantikan MiG-29K dan MiG-29KUB yang kini dioperasikan oleh skuadron INAS 300 “White Tigers” dan INAS 303 “Black Panthers”.
Pesawat pejuang baru dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation itu akan ditempatkan di kapal pengangkut pesawat Tentera Laut India, INS Vikrant dan INS Vikramaditya.
Walaupun komposisi sebenar pesanan pesawat pejuang Rafale M itu masih belum disahkan secara rasmi, laporan menyatakan bahawa ia akan merangkumi 22 pesawat pejuang Rafale M yang akan beroperasi di kapal pengangkut dan empat pesawat latihan dua tempat duduk Rafale B.
Rafale B tidak direka untuk operasi di kapal pengangkut dan dijangka digunakan bagi latihan di darat.
Penghantaran pesawat pejuang Rafale M kepada Tentera Laut India itu dijangka akan bermula pada 2029.
Laporan sebelum ini menyatakan bahawa kesemua 26 pesawat pejuang tersebut mungkin terdiri daripada varian Rafale M, dengan latihan juruterbang dijalankan di Perancis serta di INS Hansa, Goa, menggunakan simulator.

Bagaimanapun, butiran muktamad mengenai latihan dan varian pesawat masih tertakluk kepada pengesahan rasmi.
Sementara itu, Dassault Aviation dilaporkan sedang menilai kemungkinan untuk menubuhkan kemudahan pemasangan akhir di India bertujuan menyokong potensi tempahan masa hadapan serta selaras dengan inisiatif “Make in India” negara itu.
Dasar “Make in India” menetapkan bahawa 60 peratus daripada senjata yang diperoleh mesti dihasilkan di India.
India sebelum ini memperoleh 36 buah pesawat pejuang Rafale untuk Tentera Udara India menerusi kontrak yang dimeterai pada 2016, dengan penghantaran selesai sepenuhnya pada 2022.
Tempahan tambahan untuk Tentera Udara India kini sedang dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan pemodenan ketenteraan negara itu.
Dengan mengambil kira tempahan baru dari India, jumlah pesanan tertunggak Dassault Aviation bagi pesawat pejuang Rafale kini mencecah 256 pesawat, termasuk 190 buah untuk pelanggan antarabangsa dan 56 buah untuk Tentera Udara Perancis.
Pada kadar pengeluaran semasa yang dirancang untuk ditingkatkan kepada tiga pesawat sebulan, syarikat itu dijangka memerlukan kira-kira tujuh tahun untuk memenuhi keseluruhan pesanan sedia ada.


Sama seperti Tentera Udara India (IAF), Tentera Laut India juga telah memutuskan untuk menaik taraf pesawat pejuang ini dengan beberapa penambahbaikan tambahan bagi meningkatkan keupayaan serta kesesuaiannya dalam persekitaran operasi tentera laut negara itu.
Penambahbaikan tersebut merangkumi Helmet Mounted Display yang dipasang pada topi keledar yang baru serta perubahan perisian dalam mod udara-ke-laut bagi membolehkan Rafale-M mendarat di kapal pengangkut pesawat India.
Selain itu, peningkatan keupayaan gangguan dan keserasian elektromagnetik (EMI dan EMC) turut akan dilakukan, termasuk Electromagnetic Interference (EMI) and Electromagnetic Compatibility (EMC), altimeter radio yang lebih baik, serta high-frequecy decoys yang baru.
— DEFENCE SECURITY ASIA