Kapal Pengangkut Dron Iran Shahid Mahdavi Kini di Malaysia Untuk “Lawatan Operasi” ??
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh akaun Facebook milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kedua-dua aset Tentera Laut Republik Islam Iran yang berkunjung ke Malaysia buat pertama kalinya itu adalah kapal Auxiliary Shahid Mahdavi dan kapal friget Dena.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejarah telah tercipta apabila buat julung-julung kalinya, dua buah kapal perang Tentera Laut Republik Iran telah berkunjung (Port of Call) ke Malaysia dalam apa yang dinyatakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai “lawatan operasi.”
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh akaun Facebook milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kedua-dua aset Tentera Laut Republik Islam Iran yang berkunjung ke Malaysia buat pertama kalinya itu adalah kapal Auxiliary Shahid Mahdavi dan kapal friget Dena.
“Dua aset Tentera Laut Republik Islam Iran telah tiba ke Malaysia buat pertama kali untuk lawatan operasi hari ini. Aset terdiri daripada kapal jenis Auxiliary (ocean liner – 110-3) SHAHID MAHDAVI serta sebuah kapal kelas frigate I.R.I.N.S DENA.”
“Lawatan ini melakar satu catatan sejarah yang akan menjadi antara asas kepada pengukuhan hubungan dua hala TLDM dan Tentera Laut Republik Islam Iran pada masa hadapan. Selamat datang ke Malaysia!,” menurut kenyataan oleh TLDM itu.
Pengarah Pembangunan Sumber Manusia TLDM Kepten Erman Shahril Adlan telah mengetuai delegasi TLDM menyambut ketibaan kedua-dua kapal tersebut dengan iringan Pancaragam Pusat TLDM.
Turut hadir Duta Besar Iran di Malaysia, TYT Valiollah Mohammadi Nasrabadi.

Apa yang menjadikan kunjungan dua buah kapal Tentera Laut Republik Islam Iran kepada Malaysia itu menjadi “lebih menarik” adalah salah sebuah kapal perang Iran yang berkunjung ke Malaysia iaitu Shahid Mahdavi, dilaporkan adalah kapal pengangkut dron milik negara itu.
Shahid Mahdavi merupakan satu daripada dua buah kapal pengangkut dron milik Iran. Sebuah lagi kapal pengangkut dron milik Iran dikenali dengan nama Shahid Bagheri.
Menurut laporan media antarabangsa sebelum ini, Shahid Bahgeri dan Shahid Mahdavi merupakan sebuah kapal perang yang didakwa dioperasikan oleh Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGCN).
Shahid Mahdavi pada asalnya merupakan sebuah kapal kontena yang dibina pada tahun 2000 oleh Hyundai Heavy Industries di Ulsan, Korea Selatan, dan telah melalui beberapa nama seperti Iran Isfahan, Sarita, Dandle, Twelfth Ocean, dan Sarvin.
Pada Julai 2021, kapal ini mula diubah suai menjadi kapal perang di limbungan kapal Shahid Darvishi Marine Industries berhampiran Bandar Abbas dan secara rasmi ditauliahkan pada Mac 2023.
Kapal Shahid Mahdavi yang didakwa dioperasikan oleh IRGCN itu memiliki panjang keseluruhan 240 meter, lebar 32 meter, berat diantara 36,000 tan hingga 40,000 tan.

Ia memiliki kelajuan maksimum 18 knot dan mampu berlayar sejauh 18,000 batu nautika tanpa pengisian semula bahan bakar
Selain diubahsuai untuk membawa helikopter dan dron, kedua-dua kapal pengangkut dron milik Kor Pengawal Revolusi Islam Iran itu, Shahid Bagheri dan Shahid Mahdavi sebagaimana dinyatakan oleh media Iran, Press TV itu juga dilengkapi dengan sistem persenjataan yang lain seperti meriam, peluru berpandu anti-kapal, peluru berpandu kruis, sistem pertahanan udara dan juga bot-bot laju membawa roket.
Kapal-kapal Shahid Bagheri dan Shahid Mahdavi itu juga dilengkapi dengan radar 3D Phased Array dan kelengkapan bagi peperangan elektronik.
Berdasarkan kepada gambar yang dikeluarkan oleh media-media Iran pertengahan tahun lepas, kapal pengangkut dron pertama negara itu Shahid Bagheri kini dilengkapi dengan sistem “ski jump launch” sebagaimana yang dimiliki oleh kapal pengangkut pesawat “Admiral Kuznetsov” milik Russia dan juga kapal-kapal pengangkut pesawat kelas-Queen Elizabeth milik United Kingdom.
Dipetik oleh media Iran, pegawai kanan tentera Iran menyatakan bahawa kapal-kapal seperti Shahid Bagheri dan Shahid Bagheri akan menjadi seperti “bandar maritim” bergerak yang bersedia untuk melaksanakan tugasan di lautan.
Kedua-dua buah kapal pengangkut dron itu dilaporkan boleh beroperasi di lautan selama setahun tanpa perlu ulang bekal.


