Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Perang Turki, “Anadolu” Bakal Menjadi Kapal Pengangkut Dron Pertama Dunia

“Anadolu” dirancang untuk membawa di antara 30 hingga 50 dron “Bayraktar TB3” serta pesawat pejuang tanpa pemandunya yang baru, “MIUS”, yang juga sedang dalam peringkat pembangunan.

0 6,128

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal Penyerang Amfibia (Amphibious Assault Ship) Tentera Laut Turki “Anadolu” dijangka menjadi kapal pengangkut dron pertama di dunia apabila ia mula beroperasi dengan negara Mediterranean itu pada tahun depan.

“Anadolu” dirancang untuk membawa di antara 30 hingga 50 dron “Bayraktar TB3” serta pesawat pejuang tanpa pemandunya yang baru, “MIUS”, yang juga sedang dalam peringkat pembangunan.

Perkara itu didedahkan oleh Selcuk Bayraktar, pemilik syarikat Bayraktar yang menghasilkan dron tersebut.

“Dron Bayraktar TB3 yang masih dalam proses pembangunan, lebih besar dan lebih berkemampuan berbanding Bayraktar TB2 ,” menurut Selchuk yang juga merupakan ketua pegawai teknologi syarikat beberapa hari yang lalu.

Dron terbaru Turki itu bakal mempunyai berat 1,450 kilogram dan berkemampuan untuk terbang selama 24 jam di dalam sehari, selain di altitude yang tinggi manakala sayapnya boleh dilipat bagi membolehkan ia beroperasi di atas kapal pengangkut pesawat.

Anadolu

Selain membawa dron,”Anadolu” juga berkemampuan membawa helikopter, kereta kebal dan kereta perisai.

Sementara itu “MIUS” yang menggunakan enjin jet “A1 25” buatan syarikat Ukraine, Ivchenko Progress memiliki kemampuan untuk terbang selaju 1.5 Mach dan setinggi 40,000 kaki, selain membawa 1.5 tan senjata terdiri daripada bom, peluru berpandu udara-ke-udara dan peluru berpandu udara-ke-darat.

Mengikut perancangan, “Anadolu” dijangka akan mengoperasikan dua jenis dron berkipas.

Pada awalnya, kapal penyerang amfibia Turki itu sepatutnya membawa pesawat pejuang F-35B Lightning II VSTOL (Vertical Short Take Off and Landing)  , sebelum negara Mediterranean itu dikeluarkan daripada program pembinaan pesawat Gen-5 itu disebabkan kedegilannya untuk memperolehi sistem pertahanan udara S-400 daripada Russia.

Disebabkan perkara itu, Turki kini tidak mempunyai pesawat VSTOL yang sesuai untuk menggantikan F-35B yang sepatutnya beroperasi daripada atas dek “Anadolu” itu.

Bayraktar TB2
UAV “Bayraktar TB2”

 

Oleh kerana itulah, ia memilih dron Bayraktar TB3 untuk beroperasi di atas kapal penyerang amfibia itu untuk menggantikan pesawat F-35B.

Dibina di limbungan kapal Sedef di Istanbul, kapal TCG Anadolu ini memiliki sekurang-kurangnya 70 peratus komponen tempatan walaupun rekabentuk kapal itu dilakukan di luar negara.

Kapal ini yang direkabentuk seperti LHD Juan Carlos 1 adalah seberat 27,000 tan dan sepanjang lebih kira-kira 300 meter panjang.

Mius
Pesawat kombat tanpa pemandu berkuasa enjin jet “MIUS” dibangunkan oleh syarikat Baykar.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...