Israel “Pujuk” Amerika Kekalkan Pangkalan Tentera Russia di Syria Untuk Kekang Pengaruh Turkiye
Israel berpendapat pengaruh Turkiye di rantau itu terutamanya di Syria mengancam keselamatan Israel dan oleh kerana itu Tel Aviv yakin bahawa kehadiran berterusan tentera Russia di negara Timur Tengah itu perlu dikekalkan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Israel dilaporkan sedang berusaha “memujuk” Amerika Syarikat supaya membenarkan Russia mengekalkan pangkalan tenteranya di Khemeimim dan Tartus di Syria bagi melemahkan pangaruh Turkiye di rantau itu.
Israel berpendapat pengaruh Turkiye di rantau itu terutamanya di Syria mengancam keselamatan Israel dan oleh kerana itu Tel Aviv yakin bahawa kehadiran berterusan tentera Russia di negara Timur Tengah itu perlu dikekalkan.
Dilaporkan pada Februari lalu, wakil-wakil Israel telah membentangkan cadangan mereka supaya Russia dibenarkan mengekalkan pangkalan udaranya di Syria di Khemeimim dan pangkalan laut di Tartus, tetapi Amerika Syarikat belum membuat keputusan.
Pegawai-pegawai kanan Amerika Syarikat cuba menyakinkan Israel bahawa Turkiye yang merupakan anggota NATO boleh menjadi penjamin kepada keselamatan Tel Aviv.
Bagaimanapun Israel tidak bersetuju dengan pandangan pegawai-pegawai Amerika itu, walaupun mereka menekankan bahawa kekuatan pengaruh Turkiye di Syria menimbulkan pelbagai risiko di rantau itu.
Tel Aviv bimbang peningkatan pengaruh Turkiye di Syria boleh menyebabkan ketidakstabilan dan meningkatkan ancaman terhadapnya.

Turkiye menentang kehadiran berterusan tentera Russia di Syria, dan masih terdapat keraguan sama ada kerajaan baru Syria akan membenarkan Moscow mengekalkan pangkalan-pangkalan tenteranya di negara itu.
Sejak campur tangan ketenteraannya di Syria pada 2015, Rusia telah mengukuhkan kehadirannya melalui dua pangkalan strategik—Pangkalan Udara Khmeimim di Latakia dan Pangkalan Tentera Laut Tartus.
Kedua-duanya berperanan penting dalam menyokong kerajaan Syria pimpinan Presiden Bashar al-Asssad serta memperluaskan pengaruh Moscow di Timur Tengah dan Mediterranean.
Terletak di Latakia, pantai barat Syria, Pangkalan Udara Khmeimim berfungsi sebagai “jantung” operasi udara Russia di negara itu sejak 2015.
Pangkalan ini menjadi landasan utama bagi pesawat tempur Russia, termasuk Su-35, Su-34, dan Su-30, yang digunakan dalam serangan udara menyokong tentera rejim Bashar al-Assad dan menentang kumpulan pemberontak serta pengganas.
Dilengkapi dengan sistem pertahanan udara S-400, Khmeimim bukan sahaja berperanan sebagai pusat serangan udara tetapi juga sebagai kubu strategik untuk mempertahankan kepentingan Russia di rantau ini.
