Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] SMART Dikerah Ke Turkiye, Korban Gempa Bumi Lebih 1,000 Orang

Presiden Turki Recep Tayyep Erdogan ketika melawat agensi koordinasi bencana alam Turki (AFAD) mengatakan bahawa gempa bumi yang berlaku di selatan Turki hari ini adalah yang paling besar dialami oleh negara Mediterranean itu sejak kejadian gempa bumi di Erzincan pada tahun 1939.

0 1,398

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan bertolak ke Turkiye malam ini untuk terlibat sama membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi Turkiye, yang sehingga kini telah mengorbankan lebih daripada 1,000 orang.

Lebih daripada 5,385 orang tercedera apabila gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter mengegar bumi selatan Turki pada 4.17 pagi waktu tempatan, dengan gegaran berpusat di wilayah Pazarchik di Kahramanmaraş.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata 75  anggota SMART akan digerakkan ke Turkiye malam ini menerusi penerbangan Turkish Airlines.

Anggota SMART itu turut membawa bersama peralatan-peralatan yang akan digunakan di dalam operasi berkenaan.

“Proses penghantaran pasukan SMART dibuat setelah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menerima pengesahan keperluan bantuan daripada Kerajaan Turkiye,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Katanya pasukan SMART telah menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada tahun 2016 yang membolehkan pasukan itu dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara.

Setakat ini Kementerian Luar (Wisma Putra) melaporkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi berkenaan.

Sementara itu Presiden Turki Recep Tayyep Erdogan ketika melawat agensi koordinasi bencana alam Turki (AFAD) mengatakan bahawa gempa bumi yang berlaku di selatan Turki hari ini adalah yang paling besar dialami oleh negara Mediterranean itu sejak kejadian gempa bumi di Erzincan pada tahun 1939.

Selain 1,014 nyawa terkorban dan 5,385 cedera akibat gempa bumi setakat ini, sejumlah 2,818 buah bangunan runtuh akibat bencana alam itu.

“Kejadian gempa bumi itu telah memusnahkan Kahramanmaraş, dan juga Hatay, Gaziantep, Kilis, Osmaniye, Malatya, Adıyaman, Diyarbakır, Şanlıurfa, Adana,” kata Erdogan.

SMART
Pasukan SMART Malaysia

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE 

 

Menteri Dalam Negeri Turki Suleyman Soylu pula berkata, negara itu telah mengalami enam kejadian gempa bumi pada hari Isnin.

Kejadian gempa bumi turut melanda negara jiran Turki iaitu Syria.

Agensi berita nasional negara itu, SANA melaporkan bahawa lebih 200 orang terkorban dan 600 lain tercedera di Aleppo, Latakia dan Hama. — DSA

 

Comments
Loading...